KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)
BAB
5
Bunyi telefon bimbit
mematikan langkahnya yang sedang menuju ke kafetaria. Dia mengeluarkan telefon
bimbit dari saku seluarnya. Nama yang tertara di skrin membuatkan dia mengeluh.
“Hello,” dengan malas, Tuah Iskandar
menjawab juga panggilan tersebut.
“Hai Tuah,” sapa Lilia girang.
“Kau nak apa?”
“Kau tengah buat apa tu?”
“Tak penting untuk kau tahu,”
Kedengaran Lilia mendegus kasar.
“Kau nak apa call aku?” tanya Tuah Iskandar untuk kali ke dua. Biasanya dengan
Lilia dia akan straight to the point.
Dia malas hendak melayan kerenah Lilia.
“Jom kita keluar malam ni,” ajak
Lilia. Suaranya masih kedengaran girang. Entah betul atau pura-pura.
“Aku tak senang,”
“Malam ni kan ada game,”
“Kojek tak cakap apa-apa pun dengan
aku,”
“Kojek yang beritahu aku,”
“Aku hanya akan datang kalau Kojek
yang hubungi aku,”
Lilia mendegus lagi. Nampaknya Tuah
Iskandar tidak percayai dengan cerita yang sengaja direka. Sengaja dia berbuat
begitu untuk keluar dengan Tuah Iskandar tetapi nampaknya pemuda itu masih
dengan sikap sombongnya.
“Kalau tak ada apa-apa, aku off dulu,”
Tuah Iskandar akhirnya mematikan
talian tanpa menunggu bicara selanjutnya dari Lilia.
Seketika Tuah Iskandar bersandar di
dinding bangunan akedemi. Matanya dipejam. Otaknya berputar ligat memikirkan
arah perjalanan hidupnya yang terumbang ambing tidak menentu. Entah kenapa dia
rasakan hidupnya sudah terpesong, bukan pada landasan yang betul tetapi dia
tidak tahu. Tidak tahu bagaimana untuk kembali kerana semuanya berserabut!
Lilia. Gadis itu sering mengganggu
hidupnya. Semua gadis itu lakukan untuk menarik perhatiannya namun sedikitpun
tidak dilayan. Dia bukan bodoh dan buta. Dia tahu Lilia lakukan semua untuk
menakluki hatinya. Dia tahu gadis itu menyimpan perasaan padanya. Namun,
hatinya kosong. Tiada perasaan yang terbit saat melihat gadis itu apatah lagi
perasaan yang di namakan cinta. Dia akui Lilia mempunyai pakej yang lengkap
sebagai seorang gadis tetapi…dia tidak pernah jatuh hati.
Bayangan Lilia di ganti dengan wajah
seseorang. Wajah yang manis bertudung mampu menarik perhatiannya. Kemarahan
yang wujud di awal pertemua mereka terus hilang saat pandangan mata mereka
bertemu. Gadis yang kelihatan biasa itu bagaikan mempunyai kuasa yang mampu
memadamkan amarahnya serta menerbitkan satu perasaan dalam dirinya.
Perasaan itu sungguh aneh!
Ya…amat aneh!
Tuah Iskandar membuka matanya
perlahan. Cuba untuk menidakkan perasaan aneh itu dari terus menyusup dalam
hatinya. Pantas kakinya dihayun. Namun, baru beberapa tapak dia melangkah,
matanya terpandangkan seseorang.
Hani!
Tuah Iskandar melangkah mendekati
gadis itu. Perlahan saja langkahnya. Kelihatan gadis itu sedang berjalan
berseorangan. Mulut gadis itu terkumat kamit membaca sesuatu. Sikap pelik Hani
membuatkan Tuah Iskandar mengerutkan dahinya.
Baca doa ke budak ni?
Tuah Iskandar kini berdiri
betul-betul di hadapan Hani. Hani yang jalan menunduk itu tidak sedar akan
kehadiran Tuah Iskandar. Hanya beberapa langkah saja mereka akan bertembung.
Satu…dua…tiga…
Hani terlanggar Tuah Iskandar yang
berada di hadapannya.
“Erk..maaf. Maafkan saya. Saya tak
sengaja,” pantas Hani bersuara seraya mengangkat wajahnya.
Bulat mata Hani apabila melihat Tuah
Iskandar berdiri di hadapannya. Seketika dia kaku di situ, memandang Tuah
Iskandar tanpa berkelip-kelip
Tuah Iskandar mengeluarkan telefon
bimbitnya lalu diangkat selaras dengan wajah Hani.
Klik!
Sekeping gambar Hani ditangkap.
Seketika Hani tersedar. Pantas dia
berpusing ke belakang lalu melarikan diri. Entah macam mana nasibnya kurang
baik. Dia terpijak kainnya yang sedikit labuh. Apalagi, jatuh berdebuk dia di
situ macam nangka busuk.
Tuah Iskandar terkejut melihat
situasi itu. Dia cuba untuk membantu. Namun, kelihatan Hani segera berdiri dan
terus menghilangkan diri. Tuah Iskandar mengerutkan dahinya dan tidak lama
kemudian bibirnya mengukir senyum.
**********
Hani segera menutup pintu biliknya.
Seketika dia bersandar di balik pintu nafasnya turun naik bagaikan penjahat
yang melarikan diri dari pihak polis.
Aduh! Kenapa boleh jadi macam ini?
Macam mana dia boleh terserempak dengan Tuah Iskandar ? Macam mana dia boleh
tidak sedar yang Tuah Iskandar berada betul-betul di hadapannya?
Gila! Memang hari ini hari malang
bagi dirinya. Setelah sekian lama dia cuba sedaya upaya menghindarkan diri
dengan pemuda itu namun hari ini mereka tertembung pula. Nampaknya, Tuah
Iskandar memang tidak melupakan perlanggaran antara mereka. Memang Tuah
Iskandar mahu melancarkan perang. Memang Tuah Iskandar mahu menjadikan dia
target seterusnya hanya kerana kesalahan kecil yang dia lakukan.
Kesalahan kecil? Tidak! Bukan dia
yang bersalah. Pemuda itu yang bersalah. Tetapi dia sanggup meminta maaf jika
Tuah Iskandar melepaskannya.
Hani memejamkan matanya. Masih
terbayang peristiwa beberapa minit yang lalu. Wajah Tuah Iskandar begitu rapat
dengannya. Tatkala itu, jantungnya berdegup kencang saat terpandang renungan
tajam pemuda itu.
Dan…yang paling dia tidak boleh
lupa, macam mana dia boleh terjatuh di hadapan pemuda itu? Malu betul! Entah
apa yang difikirkan Tuah Iskandar tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu.
Cuma, dia berharap setelah melihat keadaan dirinya, Tuah Iskandar akan bersimpati
dan akhirnya melupakan semuanya.
Hani ingin bebas. Dia ingin melepaskan
diri dari pemuda itu. Dia tak mahu ada sebarang kaitan dengan Tuah Iskandar.
**********
Tuah Iskandar membelek-belek telefon
bimbitnya. Gambar yang baru ditangkap beberapa minit yang lalu membuatkan dia
tersenyum. Gambar seorang gadis bertudung dengan mata yang bulat serta mulut
yang sedikit terlopong membuatkan senyumannya meleret.
Kelakar betul apabila mengenangkan
gadis itu. Sama sekali dia tidak menduga sehingga begitu sekali gadis itu cuba
menjauhkan diri daripadanya. Sehingga begitu sekali gadis itu takut kepadanya.
Namun, apa yang telah berlaku
membuatkan dia terhibur. Bukan kerana melihat gadis itu takut akan dirinya
tetapi terhibur dengan wajah comel itu, gayanya yang ringkas serta matanya yang
seakan mempunyai sinar ketenangan.
Tiba-tiba perasaan aneh itu datang
menerjah ruang hatinya yang kosong. Perasaan aneh itu bagaikan menyuntik
semangat dalam dirinya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
Tetapi bagaimana?
Zulkifli yang sedang menjamu makanan
mengerling sahabat yang duduk di hadapannya. Makanan Tuah Iskandar masih belum
dijamah sebaliknya pemuda itu asyik membelek-belek telefon bimbitnya. Entah apa
ang dibuat pemuda itu, dia tidak pasti.
Namun, Zulkifli terlihat sebuah
senyuman terukir di bibir Tuah Iskandar. Seketika Zulkifli mengerutkan dahinya.
Tuah Iskandar tersenyum? Bukan senang hendak lihat Tuah Iskandar tersenyum. Apa
yang membuatkan pemuda itu tersenyum agknya.
“Kau tengok apa tu?” tanya Zulkifli
benar-benar ingin tahu.
“Ha?” Tuah Iskandar terpinga-pinga seketika.
“Apa yang kau tengok dalam telefon
bimbit tu?”
“Tak ada apa-apa,” balas Tuah
Iskandar seraya menutup telefon bimbitnya. Wajahnya kembali serius. Senyuman
yang terukir sebentar tadi hilang.
“Ada perkara baik ke?” tanya
Zulkifli lagi. Teringin benar untuk mengatahui apa yang menyebabkan Tuah
Iskandar mampu mengukir senyuman.
“Nothing,”
balas Tuah Iskandar pendek.
Zulkifli tidak lagi bertanya apabila
Tuah Iskandar seperti tidak mahu berkongsi cerita. Namun dia dapat rasakan
seperti ada sesuatu yang menggembirakan hati rakannya itu.
Zulkifli mengerling seketika ke arah
Tuah Iskandar. Pemuda itu tersenyum lagi sebelum menyua makanan ke dalam
mulutnya.
**********
Telefon bimbit yang berbunyi
membuatkan Hani yang sedang tekun belajar, tersentak. Dia mengurut-urut dadanya
sebelum mencapai telefon bimbit itu. Nama yang terpapar di skrin membuatkan dia
berfikir samada untuk menjawab ataupun sebaliknya.
Belum sempat dia membuat keputusan,
deringan telefon itu terhenti. Hani menarik nafas lega sambil mengharapkan si pemanggil
tidak membuat panggilan untuk kali ke dua. Namun, tidak sampai seminit, ia
berbunyi kembali. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya Hani mengambil keputusan
untuk menjawab sahaja. Orang berbuat baik, kenapa mesti kita membalas dengan
kesombongan?
“Assalamualaikum, Hani,”
Hani menjawab salam sambil bertanya
khabar.
“Abang sihat. Hani bagaimana?”
“Hani sihat saja. Abang kat mana
ni?”
“Abang kat kampung. Tadi singgah
rumah Hani. Tengok-tengok mak cik dan pak cik,”
“Oh, abang pergi rumah Hani tadi? Ayah
dengan mak sihat?”
“Sihat Alhamdulillah,”
Hani tersenyum. Wajah ibu dan
ayahnya terpapar di hadapan matanya. Tiba-tiba rindunya menebal pada kampung
halaman. Bilalah agaknya dia dapat balik ke kampung?
“Abang nak beritahu Hani yang abang
kena transfer kerja di KL,”
“Abang bertukar ke Kuala Lumpur?
Bila?”
“Bulan depan,”
“Oh tahniah,”
Hani mengukir satu senyuman. Entah
ikhlas entah tidak. Dia sendiri tidak tahu kenapa seperti ada satu perasaan
yang tidak mengizinkan Halim datang ke Kuala Lumpur. Ada satu perasaan yang
berat untuk bersemuka dengan Halim.
Kenapa?
Mungkinkah kerana ungkapan yang
pernah Halim ucapkan suatu ketika dulu?
“Abang sukakan Hani,”
Masih terngiang-ngiang di telinganya
saat Halim meluahkan perasaannya. Semestinya dia terkejut kerana dia menganggap
Halim seperti abang kandungnya sendiri. Halim merupakan anak angkat emak. Halim
memang rapat dengan keluarga Hani. Sebab itu tidak terfikir langsung di
fikirannya untuk menyukai Halim lebih dari seorang abang. Apatah lagi saat itu
dia sedang hangat bercinta dengan Fahmi.
“Maafkan abang kalau Hani tak suka
dengan pengakuan abang ni. Harap Hani lupakan saja apa yang abang dah cakap
ni,”
Kata Halim apabila melihat Hani
hanya diam tak bersuara.
“Hani menganggap abang macam abang
kandung Hani,” jawapan yang selamat. Penolakan yang lembut tetapi penuh dengan
alasan yang teramat kukuh.
Saat itu Halim tunduk menyebabkan
Hani rasa bersalah kerana mengecewakan seorang lelaki yang baik seperti Halim.
Namun, hati tak mungkin dapat dipaksa. Hani sayangkan Fahmi.
Namun, tidak lama kemudian, Halim
mengangkat mukanya sambil tersenyum. Berbeza benar wajahnya berbanding beberapa
saat yang lepas. Dengan senyuman yang terukir di bibirnya, Halim berkata.
“Maafkan abang. Lupakan apa yang
abang cakap tadi. Hmm, boleh abang anggap Hani macam adik kandung abang?”
Hani benar-benar tidak tahu adakah
Halim ikhlas ataupun sedang memujuk diri sendiri lantaran hasratnya ditolak.
Namun, Hani tiada pilihan lain. Jika dia menganggap Halim seperti abang kandung,
tidak salah jika Halim menganggap dirinya seperti adik kandung. Mungkin itu
yang terbaik buat mereka. Dan sehingga saat ini, setelah dia sudah berpisah
dengan Fahmi pun, Halim masih mengambil berat atas dirinya membuatkan Hani
adakalanya curiga. Benarkah Halim menganggapnya seperti adik kandung? Atau
Halim masih menanti dirinya?
Namun, Hani cuba beranggapan baik
kerana sejak Hani menolak lembut perasaan Halim, Halim tidak pernah sekalipun
berbicara soal perasaan. Meskipun Halim tahu Hani sudah berpisah dengan Fahmi.
Mungkin Halim benar-benar mengotakan janjinya, menganggap dia seperti adik
kandung ataupun Halim sudah mempunyai teman istimewa.
Halim lelaki yang baik. Moga yang
baik-baik sahaja terjadi dalam hidup pemuda itu.
“Hani,”
Semua kenangan serta merta hilang
apabila suara Halim menerjah gegendang telinganya. Seketika baru dia tersedar
yang dia masih lagi sedang berbicara dengan Halim di talian.
“Er..ya. Hani ada di sini,”
“Okaylah Hani. Abang harap, bila
dapat bertukar ke KL nanti, dapatlah abang jumpa Hani,”
“Erk..okay,”
Tidak lama kemudian, talian di
matikan. Hani meletakkan telefon bimbit di sisinya. Kemudian dia termenung.
Wajah Halim terpapar di mindanya. Ah, kenapa perasaan ini berat untuk menerima
kehadirannya. Halim seorang lelaki yang baik. Mempunyai ciri-ciri suami yang
soleh. Keluarga Halim pun datang daripada keturunan baik-baik. Dan dia sendiri
mengakui bertuahnya perempuan yang dapat menjadi isteri Halim. Namun…
Cinta itu tak boleh dipaksa.
Ia akan datang, apabila sampai
waktunya.
Kita tak perlu mencari, ia akan datang
sendiri.
Dengan siapa, kita tidak pernah tahu
Mungkin cinta itu masih jauh dari
kita
Ataupun ianya begitu hampir dengan
kita
Namun, kita tak sedar kerana
Cinta itu tidak siapa yang tahu bila
saat dan waktunya.
**********
Sudah hampir dua minggu peristiwa
tertembung Tuah Iskandar itu berlalu. Maka, sudah hampir dua minggu jugalah Hani
berkelakuan seperti orang bodoh. Setiap kali dia terserempak dengan Tuah Iskandar,
dia pasti akan melarikan diri. Dia benar-benar yakin Tuah Iskandar mengenalinya
kerana setiap kali mereka bertemu, pasti pemuda itu merenung tepat ke arahnya.
Dia pasti!
Namun, sudah dua minggu jugalah
tiada apa-apa perkara yang berlaku. Tiada sebarang serangan dan dendam yang di tunjukkan
oleh Tuah Iskandar kepadanya. Kenapa? Adakah Tuah Iskandar menganggap
perlanggaran itu perkara biasa yang tidak di sengajakan? Ataupun Tuah Iskandar
tak mahu melancarkan serangan setelah melihat dia berada dalam ketakutan selama
ini? Iyalah..setiap kali terlihat Tuah Iskandar dia akan menikus, bersembunyi
di sebalik Julia dan Syasya. Kemudian, dia berusaha mencari jalan lain supaya
tidak melintasi Tuah Iskandar yang sibuk berbual-bual dengan rakan-rakannya.
Dan pernah juga dia terjatuh ke dalam longkang semata-mata ingin lari dari Tuah
Iskandar. Mungkin kerana itu, Tuah Iskandar tidak jadi untuk melancarkan
serangan.
Ataupun, Tuah Iskandar tidak membuli
kaum perempuan? Lebih-lebih lagi perempuan yang comel sepertinya? Tiba-tiba
Hani tertawa dengan andaian yang diciptanya sendiri.
Comel sangatlah tu!
Ah! Lupakanlah tentang pemuda itu.
Buat penat saja selama ini dia melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Lebih
baik dia berlagak biasa saja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin pemuda
itu pun sudah melupakannya.
“Hani, kau baliklah dulu. Aku ada perjumpaan
kumpulan,” ujar Julia sambil mengemas nota yang disalin semasa kuliah tadi dan
dimasukkan ke dalam fail.
“Aku pun ada perjumpaan kumpulan,”
ujar Syasya pula.
“Kau orang berdua ada perjumpaan
kumpulan?”
“Ya. Minggu depan kan ada presentation kumpulan. Kumpulan kau tak
buat discussion ke?”
“Kumpulan aku berkumpul malam ni,”
“Oh, kalau macam tu, jumpa petang
nantilah,”
Julia dan Syasya terus menuju ke
kumpulan masing-masing di mana perbincangan berkumpulan akan di adakan bagi
tugasan yang diberikan oleh Prof. Baha sebentar tadi.
Lambat-lambat Hani mengemas
nota-notanya. Dengan perasaan malas, dia bangun dari duduknya dan keluar dari
dewan kuliah yang sederhana besar. Langkahnya menuju ke kafeteria. Niatnya
hanya untuk membungkus makanan untuk di bawa ke bilik. Malas untuk makan di kafeteria
memandangkan dia hanya berseorangan. Tiada teman untuk bersembang.
Dalam berjalan berseorangan,
mindanya sempat menerawang mengingatkan Halim. Lagi dua minggu saja lagi Halim
akan bertukar ke Kuala lumpur. Ini bermaksud, jarak antara mereka tidaklah jauh
sangat. Memandangkan Halim sudah bekerja, pasti tiada masalah untuk pemuda itu
datang ke Kolej Putra. Tiada masalah dari segi masa, kewangan dan sebagainya.
Aduh! Bagaimana ni? Dia tak mampu
untuk mengelakkan diri. Untuk menerima, dia benar-benar di landa rasa bersalah.
Tetapi, tidak adillah jika dia berkelakuan sebegini andai Halim benar-benar
ikhlas. Tiada niat lain selain menganggap dirinya sebagai adik.
Ah! Hani. Kau ni suka berfikiran
jauh. Tak perlu difikirkan sangat. Tak payah nak pening-peningkan kepala
memikirkan perkara yang belum tentu betul atau tidak.
Tiba-tiba Hani terpandangkan
seseorang. Seseorang yang sejak akhir-akhir ini kerap memerhatikannya. Tiba-tiba
Hani menjadi gabra. Terus langkahnya sumbang. Cepat-cepat dia mencari jalan
alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada Tuah Iskandar. Meskipun
berkali-kali menasihati diri sendiri untuk bersikap biasa namun renungan Tuah Iskandar
membuatkan dia kecut perut. Mana mungkin dia tidak takut, gangster Kuala Lumpur
sedang memerhatikan seorang perempuan comel. Oh!
Sampai di satu penjuru, Hani
bersandar di dinding. Nafasnya turun naik akibat kepenatan melarikan diri daripada
Tuah Iskandar. Persis berlari pecut 100 meter walhal hanya berjalan tidak
sampai 10 meter. Namun, penangan Tuah Iskandar ternyata berbahaya.
Hani menjegulkan kepalanya keluar.
Ke kiri ke kanan dia menoleh namun bayangan pemuda itu sudah tidak kelihatan.
Hani menarik nafas lega. Setelah melihat keadaan selamat, dia keluar dari
persembunyiannya. Namun, baru saja dia menapak selangkah, tiba-tiba tangannya
ditarik dari belakang. Kuat menyebabkan Hani terdorong ke belakang dan serentak
dengan itu, tubuhnya ditolak ke dinding. Hani tersandar pada dinding batu itu.
Bulat mata Hani memandang pemuda di
hadapannya. Menggigil kepala lututnya saat terlihat pemuda itu. Pemuda itu
benar-benar berada di hadapannya. Sebelah tangan pemuda itu diletakkan di
dinding, menghalang Hani dari berganjak dari situ.
Ya! Pemuda yang sering merenung
tajam dirinya dari jauh kini berada benar-benar di hadapannya yang jarak antara
mereka tidak sampai sejengkal.
Dan kini..pemuda itu merenung ke
arahnya seperti selalu cuma kali ini..renungan pemuda itu sangat dekat. Hanya
sejengkal sahaja jarak di antara wajah pemuda itu dengan wajahnya. Benar-benar
dekat sehinggakan dia dapat merasa bahang hela nafas pemuda itu.
Renungan pemuda itu terus ke arah
matanya. Tepat hinggakan dia merasa tidak selesa. Sangat tidak selesa. Hani
ketakutan. Namun, entah kenapa dia tidak cuba untuk melepaskan diri. Ketakutan
yang teramat sangat membuatkan dia kaku.
“Ada sesuatu yang aku nak cakap
dengan kau,” pemuda itu bersuara. Garau dan tegas. Memang memenuhi ciri-ciri
seorang samseng yang amat digeruni.
“Erk..cakap dengan saya? Tentang
apa?” Hani cuba memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hatinya cuba meneka apa
yang ingin di perkatakan oleh pemuda itu. Pasti tentang perlanggaran yang lepas
dan juga kata-kara sinis yang dihamburkan kepada Tuah Iskandar suatu masa dahulu.
Apa lagi yang menghubungkan dia
dengan pemuda itu selain perlanggaran yang berlaku di awal pertemuan mereka?
Ternyata Tuah Iskandar masih mengingati semuanya sedangkan dia amat berharap
pemuda itu sudah melupakan.
Ah! Jika Tuah Iskandar ingin dia
memohon maaf, dia akan lakukan asalkan dia tidak berhadapan dengan pemuda itu
seperti saat ini.
“Tentang cinta,”
Sebaris kata Tuah Iskandar
membuatkan Hani terdiam. Tentang cinta? Cinta apa? Siapa yang bercinta? Tentang
cinta siapa? Cinta antara siapa dengan siapa? Dan kenapa tentang cinta perlu
dibicarakan dengan dirinya?
“Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek
aku,”
Hani terlopong.
“Aku beri kau masa,” ujar Tuah
Iskandar. Matanya tak lekang dari merenung ke anak mata Hani. Hani bagaikan
terkena renjatan elektrik apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar, bagaikan
mahu pengsan. Antara percaya dan tidak.
Tuah Iskandar mengangkat tangannya dari
dinding lalu berdiri di hadapan Hani. Berpeluk tubuh.
“Sampai masanya, aku nakkan jawapan
dari kau,” ujar Tuah Iskandar lagi lalu terus berlalu meninggalkan Hani.
Hani masih bersandar di dinding,
tidak berganjak. Matanya tidak berkelip-kelip. Masih tidak percaya dengan apa
yang berlaku. Sekelip mata bagaikan selaju cahaya, Tuah Iskandar membicarakan
tentang cinta. Dan Hani benar-benar tidak faham kenapa mesti dia?
Adakah kerana Tuah Iskandar ingin
membalas dendam dengan memainkan perasaannya? Atau Tuah Iskandar ingin membalas
dendam dengan memalukan dirinya nanti?
Hani bingung.
6 comments:
best......
menarik.....
dan up n3 lg yer dik
terima kasih sis..
nanti update lagi..:)
amboi...direct to the point..
aisyah..hehe..
erkk.. hamboi tuah... direct gitu...
chMCOReOMG... terlalu berterus terang la tuah.... x sabo nk tau jawapn hani..ok next
Post a Comment