My Novel

Tuesday, October 15, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 16)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 16)
 
BAB 16
 
              Pagi-pagi lagi Hani dah nampak Tuah Iskandar di kafeteria. Seperti biasa mereka saling curi-curi pandang. Entah kenapa dengan hanya pandangan yang tanpa sebarang komunikasi lisan sudah membuatkan hati Hani berbunga-bunga. Walaupun Tuah Iskandar tidak langsung mempamerkan senyuman, namun renungan matanya seakan-akan ada kuasa yang membuatkan dia seperti di awang-awangan.
            Sewaktu melintasi Tuah Iskandar, Hani sempat melirik ke arah pemuda itu. Bau harum minyak wangi yang dipakai Tuah Iskandar menusuk masuk ke rongga hidungnya. Dadanya tiba-tiba bergetar. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Nafasnya bergerak laju menyeimbangi kelajuan degupan jantungnya. Semuanya serba tidak kena.
            Mesej pesanan ringkas di terima saat dia baru saja duduk untuk menikmati makanan. Terus saja dia mengambil telefon bimbitnya dari dalam beg yang baru diletakkan di kerusi kosong di sebelahnya.
            Selamat Menjamu Selera.
            Tersenyum-sentum dia membaca mesej ringkas dari Tuah Iskandar. Meskipun mesej yang serba ringkas namun cukup bermakna buat Hani.    Pantas dia membalas.
            Terima kasih. Selamat menjamu selera juga untuk awak.
            Senyuman tidak lekang di bibirnya. Tiba-tiba dia rasa seperti ada satu perasaan yang melanda dirinya. Perasaan bahagia disayangi. Perasaan bahagia apabila ada orang mengambil berat akan dirinya. Dan di saat ini, Hani sepeti sudah mengakui yang dirinya sudah di lamun cinta. Dia benar-benar yakin yang dia sudah jatuh cinta dengan Tuah Iskandar.
            Perasaan ini tersangat aneh tetapi aku benar-benar menyukai keanehan ini.
            Seketika Hani bagaikan di awang-awangan. Bermimpikan dia sedang berjalan berduaan dengan Tuah Iskandar. Memandang bintang di langit di waktu malam di atas bukit. Bintang yang berkelipan terasa indah seindah hatinya yang sedang di lamun cinta.
            “Woi Hani,”
            Bintang-bintang yang berkelipan serta-merta hilang saat suara Julia menerjah gegendang telinganya.
            “Sibuk betullah si Julia ni. Aku baru nak berangan, potong line betul,” rungut Hani.
            “Siapa mesej tadi?” tanya Julia sambil mengangkat sebelah keningnya.
            “Kenapa?”
            Adakah Julia sedang mengesan sesuatu?
            “Yalah. Dapat mesej terus tersengih-sengih macam kerang busuk,”
            “Oh, mak aku yang mesej,”
            “Mak mesej sampai senyum-senyum?”
            “Mak aku buat lawak pula. Ada ke patut dia suruh aku carikan dia menantu,”
            Aduh! Sampai ke situ pula dia memberi alasan. Hentam sajalah. Hanya itu yang spontan keluar dari mindanya.
            “Ha, eloklah tu. Menantu dah ada, tapi tak nampak muka dia. Secret admirer lah katakan,”
            Hani tersengih.
Menantu mak? Tuah Iskandar? Isy, gatal betul aku ni. Ada ke sampai bab kahwin-kahwin aku fikirkan? Belajar pun tak habis, ada hati nak kahwin. Tak senonoh betul aku ni.
Hani menggeleng sendiri dan kemudian terus memberi tumpuan pada makanan yang sudah sejuk di hadapannya. Seketika dia melirik ke arah Tuah Iskandar. Kelihatan tempat yang diduduki Tuah Iskandar sudah kosong.
Huh! Jauhnya dia berkhayal.
                                                            **********
Suasana di dalam restoran itu begitu menenangkan. Jauh dari kebisingan dan kesibukan kota, sepadan dengan status restoran yang bertaraf lima bintang itu. Keadaan sekitarnya yang damai di tambah dengan hiasan dalaman yang sangat menarik menjadikan restoran itu di gemari golongan elit di ibu kota.
Di satu sudut, kelihatan dua orang lelaki sedang duduk bertentangan. Kelihatan wajah lelaki yang lebih muda itu begitu tegang manakala lelaki yang agak berusia itu kelihatan tenang saja. Buat beberapa ketika, masing-masing hanya berdiam diri sehinggalah minuman yang dipesan sampai ke meja.
“Terima kasih kerana sudi keluar dengan papa,” ujar Dato’ Hasyim memulakan bicara pertemuan anak beranak itu.
Tuah Iskandar tidak menjawab. Sebaliknya dia memilih untuk berdiam diri, mendengar saja penjelasan daripada papanya itu.
 “Papa tahu Tuah marah. Papa tahu Tuah kecewa dengan apa yang berlaku. Tapi papa tak seperti yang Tuah fikirkan,”
“Apa yang Tuah fikirkan?”
“Papa tahu dalam hati Tuah akan mengatakan papa curang, papa duakan mama,”
“Jadi, adakah dengan berkahwin lain tu bukan curang? Bukan menduakan mama?”
“Ya, papa tahu. Tapi pernah tak Tuah fikirkan kenapa papa lakukan semua ni?”
Tuah Iskandar mendiamkan diri. Wajah Hani serta merta terlintas di fikirannya. Hani berkata pasti ada sebab kenapa papa melakukan semua ini dan sekarang ini, papa ingin menjelaskannya. Perlukah dia mendengar? Jujurkah papa atau papa sengaja mereka sebuah cerita bagi memancing simpatinya?
“Papa kenal dengan Zanariah lima tahun yang lalu. Zanariah seorang perempuan yang baik. Dia seorang yang sopan santun dan baik budi pekerti. Selepas mengenali hati budinya, papa mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya,”
“Tanpa pengetahuan mama? Tanpa pengetahuan Tuah?”
“Ya kerana papa takut Tuah tak boleh terima semua ini. Kerana papa takut mama akan berang dengan apa yang berlaku. Papa tak mahu itu semua berlaku,”
“Itu semua alasan papakan? Yang sebenarnya papa memang nak kahwin lagi. Papa tak sayangkan mama kan?”
Dato’ Hasyim menggeleng beberapa kali. Sedih sungguh dia atas tuduhan anak tunggalnya itu tetapi dia tidak pernah menyalahkan Tuah Iskandar. Tuah Iskandar tidak mengerti apa-apa. Tuah Iskandar tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumah tangganya.
Dia harus menceritakan semuanya. Bukan untuk memburuk-burukkan sesiapa tetapi dia ingin Tuah Iskandar faham kenapa dia melakukan semua ini.
“Tuah, berkahwin dengan Zanariah membuatkan papa terasa dihormati sebagai seorang suami,”
Tuah Iskandar mengerutkan dahinya. Dihormati sebagai seorang suami? Apa maksud papanya itu?
“Dua puluh tahun hidup dengan mama, kami hanya bahagia di awal perkahwinan. Namun, selepas kamu dilahirkan, segalanya berubah,”
“Apa yang berubah?”
“Mama sering mengungkit di mana datangnya kekayaan yang kita perolehi. Papa tahu, semua yang kita ada sekarang ini adalah hasil daripada keluarga mama. Papa hanya orang biasa. Datuk Minhat, ayah mama kamu yang ambil papa bekerja di syarikatnya kerana papa adalah bakal menantunya. Dia mahu papa berjaya dan seterusnya menjaga anak perempuan tunggal keluarga itu,” Dato’ Hasyim berhenti seketika. Wajahnya muram sahaja tatkala dia menceritakan kebenaran. Kemudian dia menyambung.
“Papa cuba melakukan yang terbaik sehingga papa di naikkan pangkat dan berjaya menerajui syarikat hingga berjaya ke hari ini tetapi, mama kamu selalu mengungkit tentang harta. Mama kamu selalu mencari kesalahan papa. Mama kamu selalu marah-marah papa sehinggakan papa rasa tidak aman di rumah itu. Papa tidak dapat rasa lagi perasaan kasih sayang sebagaimana di awal perkahwinan kami. Papa juga tidak rasa dihormati sebagai seorang suami. Namun, kerana kamu, papa teruskan hidup dengan mama kamu.”
“Bukan itu saja, mama kamu selalu merendah-rendahkan papa di hadapan rakan-rakannya. Mama kata papa orang miskin. Mama kata harta papa semua adalah harta keluarganya. Dan paling menyedihkan, mama kata papa hidup adalah hasil ihsan keluarga dia. Papa sangat sedih,”
“Bertemu Zanariah memberikan satu sinar dalam hidup papa. Bersama Zanariah membuatkan papa terasa hidup dalam satu keluarga yang cukup bahagia,”
Tuah Iskandar mendengar satu persatu penjelasan panjang lebar oleh papanya. Perasaan marah pada awalnya perlahan-lahan bertukar menjadi simpati. Sehingga begitu sekali kehidupan Dato’ Hasyim, lelaki korporat yang berjaya di Malaysia ini? Selama ini dia tidak menduga begitu berat cabaran yang digalas oleh papanya.
“Apa yang papa cuba sampaikan bukan untuk memburuk-burukkan mama. Papa cuma nak Tuah tahu akan perkara sebenar. Papa dah cuba menjadi yang terbaik untuk mama tetapi..”
Tuah Iskandar memejamkan matanya. Memang selama ini mama lebih mendominasi papa. Selama ini mama lebih bersuara ke atas papa. Jadi, Tuah Iskandar tidak merasa pelik apabila mendengar cerita papanya itu malah dia yakin ada kebenaran di sebalik cerita Dato’ Hasyim itu.
“Papa tak tahu apa yang Tuah fikirkan tetapi jika Tuah inginkan keyakinan, pergilah bertemu dengan Zanariah dan Tuah akan tahu kenapa papa terpikat dengannya,”
Kata-kata papa membuatkan dia mengerutkan dahinya. Bertemu dengan ibu tirinya? Untuk apa? Untuk mengeruhkan lagi keadaan?
“Tuah, mungkin papa bersalah kerana merahsiakan hal ini dari pengetahuan kamu. Ada sebab kenapa papa buat semua ini. Papa harap Tuah faham,”
Diam.
“Tuah, kita hidup hanya sekali dan papa hanya ingin bahagia. Papa ingin gembira dan itulah yang papa rasa apabila bersama Zanariah tetapi tidak bersama mama kamu,”
Tuah Iskandar menarik nafas panjang dan menghembus kasar. Entah apa perasaannya sekarang ini dia tak pasti. Marah? Sedih? Kasihan?..Yang mana satu perasaan yang lebih mendominasi kerana semuanya bercampur baur sehingga membuat dia pening.
Dia mengeluh.

7 comments:

aisyah said...

kesian nyer ayah tuah...harap2 tuah tak salahkan ayah dia 100%

baby mio said...

best....

HaNiTa aLMiZaN(BLaCKCaT) said...

haila...bsr betul masalah papa tuah tu...mmg kesianlh...

Aniss Sofia said...

Best!! Ade sambungan lagi?

Noryati Kabulai said...

Suka sngat cara tuah dgn hani bercinta secara diam2.rasa sweet sgt.:-)

ayu salina said...

alhamdulillah...terbuka jua pintu hati tuah utk mendengar penjelasan ayahnya kawin baru....

FiedDi said...

Next en3 plis?.ada lagi tak sambungann?? >_<