My Novel

Wednesday, August 28, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 6)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 6)
 
BAB 6
 
            Suasana di kelab malam itu hingar bingar. Lagu yang membingitkan telinga menjadi makanan buat pengunjung-pengunjung malam itu. Sebahagian daripada mereka turut menyanyi dan menari di tengah pentas. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing hanyut di dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Asyik dan melalaikan.
            Di satu sudut, dia duduk berseorangan. Termenung sambil memerhati ragam manusia malam itu. Sesekali ada gadis-gadis seksi yang datang menghampiri. Gadis-gadis yang kelihatan manja dan menggoda mengajak menari dan ada juga yang ingin menemani. Namun, dia menolak dengan baik. Saat itu, dia ingin bersendirian. Tidak mahu diganggu sesiapapun.
            Tuah Iskandar menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya keluar. Satu keluhan dilepaskan. Untuk apa dan kenapa, dia sendiri tidak pasti kerana terlalu banyak sebab yang menyebabkan dia mengeluh.
            Salah satu daripadanya adalah berkaitan kehidupan yang sedang dia lalui. Kehidupan yang sungguh mengecewakan. Tiada senyuman, tiada bahagia. Yang ada hanya kesunyian dan penderitaan. Benar kata Zulkifli, dia tidak perlu merosakkan diri hanya untuk membalas dendam kepada orang tuanya. Dia sepatutnya mencari bahagia sendiri tetapi..di mana hendak dicari semua itu? Kalaulah kebahagian itu ada dijual di kedai, pasti dialah orang pertama yang akan membelinya.
            Dia tidak tahu ke mana arah tuju hidupnya. Untuk apa dia hidup? Apakah matlamat sebuah kehidupan? Ke mana hala tuju dia selepas ini? Apa yang hendak dibuat dengan masa yang beransur-ansur meninggalkannya?
            Semua soalan terus terbiar tanpa jawapan.
            Sekali lagi Tuah Iskandar mengeluh. Keluhan yang berat dilepaskan beserta beban yang berat dipikul.
            “Hai Tuah,” terasa bahunya disentuh seseorang. Tuah Iskandar tidak berpaling kerana dia begitu mengenali suara yang menyapanya itu.
            “Seorang?” tanya Lilia sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Sengaja dia mendekatkan jarak di antara mereka sehinggakan badannya bergesel dengan lengan sasa Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya membetulkan kedudukannya sedikit menjauhi Lilia.
            “Kenapa kau tak join yang lain?” tanya Lilia dengan suara yang gedik dan manja.
            Tuah Iskandar diam lagi.
            “Hei, kenapa dengan kau ni? Orang lain datang ke sini untuk enjoy. Make our own world. Bukannya nak duduk termenung dengan muka masam macam ni,” ujar Lilia sambil menarik tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar melirik gadis di sebelahnya. Sedikitpun tidak tersenyum meskipun Lilia begitu murah dengan senyuman.
            Come on Tuah. Don’t be like this. Enjoy your life,” pujuk Lilia sambil mengelus lembut tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh.
            “Apa sebenarnya yang kau fikirkan, Tuah? Apa sebenarnya yang kau cari?”
            “Aku cari kebahagiaan. Aku cari kegembiraan,”
            Yes. So, this is the place. Ini tempat yang kau boleh temui semua tu,”
            “Tapi aku tak temui semua tu di sini,”
            “Kau tahu kenapa kau tak temui kegembiraan di sini?”
            Tuah Iskandar menoleh sekali lagi ke arah Lilia. Dia merenung gadis itu meminta jawapan.
            “Sebab kau tak mengambil kesempatan yang ada. Kau dah masuk ke sini tapi kau masih duduk berseorangan. Cubalah kau bergaul dengan orang lain. Tu,di sana geng-geng Kojek sedang bersukaria. Mereka gembira di sini. Pergilah sertai mereka.”
            Tuah Iskandar diam seketika. Berfikir dan cuba mencari kebenaran di atas kata-kata Lilia. Namun, tidak lama kemudian, dia menggeleng.
            No, bukan itu caranya,”
            Yes, inilah caranya. Kau tak nampak mereka semua happy?”
            “Kegembiraan di sini hanya seketika. Aku tak mahu yang itu,” pantas Tuah Iskandar menarik tangannya lalu bangun dari duduknya. Lilia turut bangun. Pantas tangan Tuah Iskandar dipaut.
            “Tuah,”
            Stop Lilia. Aku nak balik,”
            “Kalau macam tu, boleh tolong hantar aku balik?”
            Tuah Iskandar merenung Lilia. Ternyata gadis itu tidak pernah berputus asa untuk mendekati dirinya.
            “Esok aku ada kuliah. Kalau nak tunggu Rissa dan Tini, lambatlah aku balik nanti. Terpaksa ponteng kuliah pula,” alasan yang sengaja dicipta Lilia untuk mendekati Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh dan akhirnya membenarkan Lilia membonceng motosikalnya. Dan sekali lagi Lilia tersenyum gembira. Tubuh Tuah Iskandar dipeluk erat dan akhirnya motosikal milik Tuah Iskandar membelah kepekatan malam itu.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memberhentikan motosikalnya di bahu jalan apabila dipinta Lilia. Berhenti saja motosikal tersebut, Lilia terus turun sambil menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Dia kemudian berjalan sambil mendepakan tangannya. Menghirup udara malam yang segar membuatkan dia rasa begitu selesa.
            Tuah Iskandar hanya memerhatikan sikap Lilia sambil mengerutkan dahinya.
            “Kenapa suruh aku berhenti di sini?”
            Lilia menoleh ke belakang, menghadap Tuah Iskandar. Dengan senyuman yang manis dia menghampiri pemuda itu.
            “Saja,” ujar Lilia ringkas.
            “Jangan main-main. Sekarang dah lewat. Esok kan ada kuliah,”
            “Ya, aku tahu. Sekejap saja bolehkan?”
            “Kau nak apa sebenarnya?”
            “Saja nak berbual dengan kau. Dah lama tak berduaan dengan kau macam ini, Tuah,”
            “Tak de apa yang nak dibualkan. Cepat naik. Aku hantar kau balik,”
            “Tuah, kenapa kau ni sombong sangat? Aku layan kau dengan baik. Aku cuba buat kau happy,”
            “Aku tak perlukan semua itu,”
“Tapi, kenapa kau tak beri aku peluang langsung untuk buat kau gembira?”
            Tuah Iskandar diam.
            “Tuah, please bagi aku peluang…”
            Stop it, Lilia. Aku dah beritahu kau dari dulu lagi. Friend or nothing,”
            Lilia mengeluh. Sukar benar untuk dia mengubah pendirian Tuah Iskandar. Sudah lama dia memendam perasaan terhadap pemuda itu namun, Tuah Iskandar tidak pernah melayannya. Pernah dia meluahkan isi hatinya tetapi Tuah Iskandar menjawab dengan satu ayat. Kawan atau tiada apa-apa langsung. Kejamnya!
            Jadi, dengan tidak ikhlasnya dia memilih untuk berkawan. Itu lebih elok dari tiada apa-apa langsung. Sekurang-kurangnya, dengan berkawan dia masih boleh mendekati pemuda itu. Dia masih ada peluang untuk mencuri hati Tuah Iskandar.
            “Okay. aku tahu dan aku masih ingat semua tu. Tapi, sebagai kawan, aku nak buat kau gembira. Salahkah?”
            Tuah Iskandar tidak menjawab.
            “Tuah, beri aku satu peluang,”
            “Maaf, aku tak berminat,”
            Lilia merenung pemuda di hadapannya itu. Terasa hampa apabila permintaannya ditolak seratus-peratus tanpa berfikir dahulu.
            Tuah, kawan itu hanya sebagai syarat untuk aku terus mendampingi kau. Tapi, aku tak akan biarkan kau lepas pada orang lain. Aku akan pastikan kau akan jadi milik aku nanti.
            “Cepat naik kalau tak aku tinggalkan kau kat sini,”
            Lilia akhirnya mengalah.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memetik suiz lampu tidur bersebelahan dengan katilnya. Kemudian, dia merebahkan diri di atas katil. Terasa enak sekali berbaring atas tilam yang empuk. Tuah Iskandar menutup mata. Cuba untuk menikmati kedinginan malam itu.
            Dia membuka matanya semula. Dalam gelap yang hanya bercahayakan lampu tidur, dia teringatkan seseorang. Gadis bertudung itu. Satu fakulti dengan Zulkifli. Juga satu kuliah dengan rakannya itu.
            Pada mulanya dia amat marah dengan gadis itu. Walaupun pada hakikatnya dia yang melanggar gadis itu tetapi kata-kata sindiran gadis itu membuatkan dia tidak senang. Tidak pernah sesiapapun yang berani menyindir Tuah Iskandar namun, gadis itu telah melakukannya. Gadis itu berani menyindir Tuah Iskandar. Namun, pada saat itu dia tidak mampu berbicara. Dia merenung gadis itu. Ada sesuatu pada wajah gadis bertudung itu yang membuatkan dia tidak jadi marah.
            Dia mengekori gadis itu. Cuba mencari identiti gadis itu. Siapa sebenarnya gadis itu? Fakulti mana? Namun, pengamatannya jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku. Gadis itu kelihatan cuba mengelak daripada tertembung dirinya. Gadis itu kelihatan takut, tidak seperti di awal pertemuan. Kenapa? Adakah dia sudah tahu dengan nama Tuah Iskandar?
            Namun persoalan itu di biarkan saja dan dia terus memerhatikan gadis itu. 
            Tiada banyak yang dia tahu melainkan namanya…Hani
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Kelihatan gadis itu terperanjat mendengar apa yang telah diucapkan. Ya, memang patut gadis tu memberi reaksi sedemikian. Mana tidaknya, mereka tidak pernah bertemu, berkenalan pun tidak. Tiba-tiba saja Tuah Iskandar meluahkan perasaan. Walaupun dengan cara agak kasar dan lari dari landasan yang sebenar, namun dia ikhlas.
Tuah Iskandar jatuh cinta?
            Sukar untuk di percayai. Lelaki seperti Tuah Iskandar yang selama ini bagaikan tidak memerlukan seorang wanita dalam hidupnya akhirnya jatuh cinta pada seorang gadis? Lebih-lebih lagi gadis bertudung?
            Tetapi bagi Tuah Iskandar, dia memang betul-betul menyukai gadis itu. Jangan tanyakan kenapa kerana dia tidak ada jawapannya. Yang dia tahu, tidak perlu ada sebab untuk menyukai seseorang. Tetapi, kenapa gadis itu?
            Selama ini, berderet gadis yang mengejar Tuah Iskandar. Petik jari, pasti ramai yang sudikan diri. Semuanya seksi-seksi, cantik-cantik, putih gebu, manja…namun, gadis bertudung itu juga pilihan Tuah Iskandar. Gadis yang biasa saja gayanya namun comel di mata Tuah Iskandar.
            Ada sesuatu pada gadis itu yang berjaya membuka hati seorang gangster.
            Namun, bagaimana penerimaan gadis itu terhadap perasaannya?
            Tuah Iskandar mengeluh.

4 comments:

ayu salina said...

Alahai......nape pendek jer rasanya n3 ni.. baru enjin nk rasa panas.....dh kena matikan coz dh abih .
Cepat2 deh......

ezi said...

ayu..sajer bagi saspen..hehe..:)

aisyah said...

mmg hani setuju la kut..tp terpaksa sbb takut

ezi said...

saya cipta watak hani ni penakut sikit..sesuai la dengan Tuah yang serius tu..hehe..