My Novel

Tuesday, September 3, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)
 
BAB 8
            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telinganya. Kata-kata dari seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Dari seseorang yang tidak pernah langsung terlintas di fikirannya untuk menjalinkan hubungan yang istimewa. Dari seseorang yang langsung tiada dalam diari hatinya.
            Sukar untuk di percayai tetapi inilah hakikatnya.
            Adakalanya, Hani tidak ingin mempercayai semua yang berlaku. Adakah pemuda kacak seperti Tuah Iskandar akan menyukai dirinya yang serba serbi kekurangan? Tak mungkin!
            Namun, andainya Tuah Iskandar sengaja mencipta lakonan, pasti dia tidak akan memaafkan pemuda itu kerana lakonan Tuah Iskandar membuatkan dia rasa seperti mahu demam.
            “Demam ke?” tanya Hana, kakak Hani yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
            “Taklah,” Hani menafikan walhal mukanya jelas pucat seperti orang tidak sihat.
            “Pucat aje akak tengok kau ni. Iya ke tak demam ni?” Hana tidak berpuas hati. Pantas diletakkan tangannya ke dahi adiknya itu.
            Sejuk!
            “Hani tak demam lah kak. Cuma letih sikit,” ujar Hani apabila melihat wajah Hana berkerut seribu. Mungkin merasa suhu badan Hani tidak selaras dengan wajahnya yang pucat.
            Hana memandang ke arah Hani sambil menggeleng kecil.
            “Kenapa balik kampung minggu ni? Tak ada kuliah ke?” tanya Puan Asyikin sambil menatang dulang yang berisi air kopi serta kuih karipap. Lalu diletakkan di atas meja makan. Masa untuk minum petang. Selalunya Puan Asyikin akan menghidang kuih muih dari air tangannya sendiri. Wanita itu memang pandai membuat kuih sehinggakan ada saja yang menempah kuih muih jika ada kenduri kahwin atau apa-apa majlis.
            “Ayah mana mak?” tanya Hani. Malas untuk menjawab soalan ibunya itu. Bukan tidak suka tetapi menjawab soalan itu mengingatkan dia kepada Tuah Iskandar. Kerana pemuda itu, dia berada di kampung hujung minggu itu.
            “Ayah kamu tu ada kat kebun belakang,” jawab Puan Asyikin sambil menuang air kopi ke dalam cawan. Aroma air kopi yang masih berasap benar-benar membangkitkan selera.
            Segera dicapai secawan kopi lalu didekatkan padanya.
            “Soalan mak kamu tak jawab lagi,” kata Puan Asyikin. Tidak mahu soalannya tergantung begitu sahaja tanpa jawapan.
            “Soalan apa?” Hani pura-pura tidak faham. Aduh! Kenapalah ibu bertanyakan soalan begitu. Tak suka kah anaknya ini pulang ke kampung?
            “Tak ada kuliah minggu ni?” ulang Puan Asyikin.
            “Hujung minggu mana ada kuliah, mak”
            “Biasa hari sabtu mak telefon kamu selalu ada kuliah,”
            “Sabtu ni tak ada kuliah,”
            Puan Asyikin diam mendengar jawapan Hani. Mungkin berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.
            Keadaan sepi seketika. Masing-masing menghirup air kopi yang masih panas dengan hati-hati. Kepekatan kopi membuatkan Hani terbuai seketika. Sungguh sedap kopi buatan emak. Pekat dan sedap.
            Encik Karim tiba-tiba muncul di muka pintu. Sambil mengelap peluh di dahi, Encik Karim duduk di muka pintu, melepaskan penat berkebun sebentar tadi. Encik Karim memang suka berkebun. Walaupun tanah di belakang rumah tidaklah besar sangat tetapi Encik Karim masih boleh bercucuk tanam pelbagai sayurr-sayuran.
            “Makan, ayah,” pelawa Hani.
            “Makanlah dulu. Ayah nak bersihkan badan sekejap,”
            Encik Karim menghilangkan diri ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian, Encik Karim muncul di antara mereka bertiga. Sambil duduk di sebelah emak, ayah mencapai kuih karipap lalu mengunyahnya.
            “Kuliah macam mana, Hani?” tu tanya Encik Karim sambil mencapai secawan air kopi yang baru dituang Puan Asyikin.
            “Macam biasalah ayah. Okay saja,”
            “Boleh bawak tak? Belajar doktor ni bukannya senang, Hani,”
            So far okay ayah. Insya’Allah Hani akan cuba yang terbaik,”
            “Belajar rajin-rajin. Dah lulus nanti boleh cari kerja yang baik. Kita bukan orang senang,”
            Hani diam saja. Selalu sangat dia mendengar ayahnya berkata begitu. Namun dia tahu dan akui, mereka bukan dari keluarga yang senang tetapi bukanlah susah sangat. Cukup makan dan pakai. Tetapi kalau hendak bermewah-mewah, mungkin tidak mampu.
            “Hei Hani. Kat sana tak ada pakwe-pakwe yang hensem tak?” Hana menyiku Hani sambil mengenyitkan mata dan tersenyum-senyum penuh makna.
            “Isy, ke situ pula kamu ni Hana. Hani ke sana untuk belajar bukan untuk cari pakwe,” sangkal Puan Asyikin. Hani memandang Hana yang sudah memuncungkan mulutkan. Hani tersenyum melihat telatah kakaknya yang baru putus cinta beberapa bulan lepas. Walaupun Hana sudah berpisah dengan kekasihnya Munir namun Hana tetap dengan sikapnya yang periang. Jika orang yang tidak tahu pasti mereka tidak boleh meneka yang Hana baru putus cinta. Berbeza benar dengan dirinya yang lembik apabila putus dengan Fahmi dulu.
            “Alah, apa salahnya sambil menyelam minum air,”
            “Kalau air tu sedap tak mengapa, kalau air tu pahit..tak ke mana kamu menyelam,”
            “Mak ni…”
            Hani tersenyum mendengar perbualan dua anak beranak itu. Hana memang suka bertelagah dengan Puan Asyikin berbanding dirinya yang hanya menurut saja kata emak.
            Dalam pada itu, Hani teringatkan seseorang. Pakwe yang kacak? Ya, dia sudah jumpa dan pakwe kacak itu ingin menjadikan dia kekasih. Untungnya! Tetapi, ini bukan cerita dongeng Cinderella. Seorang gadis biasa yang dicintai seorang putera raja. Bukan juga cerita-cerita di televisyen, heronya seorang ahli koperat, pegawai besar..Ini kisah hidupnya, di mana Tuah Iskandar adalah seorang gangster.
            Aduh!
                                                                        **********
            Memandang langit yang membiru membuatkan hatinya sedikit tenang. Memandang laut yang terbentang luas, hatinya rasa tenteram. Namun bayangan itu masih tidak mampu diusir dari mindanya. Melekat saja ke mana saja dia pergi.
            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Adakah benar-benar Tuah Iskandar memaksudkannya? Waraskah Tuah Iskandar ketika mengungkapkannya? Jika begitu, apakah status dirinya yang sebenar?
            Mulai saat ini..maksudnya bermula sekarang, saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar tempohari. Kau adalah awek aku..maksudnya dia adalah kekasih kepada Tuah Iskandar. Jadi, ayat itu bermaksud..mulai saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar kelmarin, dia sudahpun menjadi kekasih pemuda itu?
            Maksudnya sekarang ini aku adalah kekasih Tuah Iskandar?
            Maksudnya sekarang ini, aku tidak keseorangan?
            Maksudnya sekarang ini, aku dah ada pakwe?
            Tidak! Tidak!
            Hani menggeleng beberapa kali. Menafikan segala tafsiran yang di buat.
            “Hai,”
            Suara yang menyapanya membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling kepada tuan empunya suara. Spontan senyuman terukir saat terlihat Halim yang sedang berdiri di sebelahnya.
            “Boleh abang duduk?”
            “Erk  duduklah,”
            Pantas Halim melabuhkan punggungnya di sebelah Hani.
            “Hani okay?”
            “Kenapa abang tanya macam tu? Nampak Hani macam tak okay ke?”
            “Dari jauh tadi abang tengok Hani macam bermasalah aje. Siap mengeleng-geleng kepala. Ada apa-apa yang boleh abang bantu?”
            Alamak! Rupa-rupanya Halim sudah memerhatikan dirinya dari jauh. Malu betul!
            “Erk..tak ada apa-apalah abang. Hani cuma menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan ni. Cantik betul,” dalih Hani.
            “Ya, memang cantik dan kita harus bersyukur kerana dapat menikmatinya,”
            Hani tersenyum. Kemudian, pandangannya diloloskan ke hadapan. Angin yang bertiup nyaman menyapa lembut wajahnya. Begitu mengasyikkan. Seketika dia terbuai dengan hembusan angin yang begitu menyenangkan.
            “Bila abang akan bertukar ke KL?” tanya Hani menghidupkan suasana. Rimas juga apabila masing-masing berdiam diri.
            “Lagi dua minggu,” jawab Halim pendek.
            “Oh, baguslah macam tu. Nanti nak balik kampung, boleh Hani tumpang abang. Tak payah bersesak-sesak beli tiket bas,”
            Aduh! Apa yang kau cakapkan ni, Hani? Sudahlah kau tidak selesa apabila bertemu Halim inikan pula hendak menumpang balik? Itulah, terlajak kata memang dah tak boleh diundur!
            “Boleh. Tapi kena bayar tambang juga,”
            Hani melirik ke arah Halim dengan muncung yang sedepa. Halim tertawa.
            “Abang main-main saja,”
            Serentak itu Hani tertawa. Entah ikhlas atau tidak tawanya dia sendiri tak pasti. Mungkin senang dengan gurauan Halim atau mungkin sekadar untuk mengambil hati saja.
            Kedua insan itu terus saja berbual-bual sambil menikmati suasana nyaman di pantai Telok Kemang itu.
                                                                        **********
            “Kau pergi mana?” tanya Hana yang sedang duduk di serambi rumah sambil tangannya memegang majalah Mingguan Wanita.
            “Dari pantai,” jawab Hani sambil melunjurkan kakinya di sebelah Hana.
            “Jumpa Halim?” tanya Hana sambil mengunyah kerepek pisang yang dibuat oleh Puan Asyikin.
            Hani melirik ke arah Hana. Mana Hana tahu dia bertemu dengan Halim?
            “Halim datang rumah tadi. Lepas tu dia tanya mana kau,” terang Hana seolah-olah mengerti apa yang bermain di fikiran adiknya itu.
            “Oh,” Hani terangguk-angguk.
            “Apa yang oh?”
            “Ha?”
            “Kenapa kau terangguk-angguk bagai?”
            “Tak adalah. Patutlah Abang Halim tahu Hani kat pantai. Rupanya dia singgah rumah dulu,”
            Hana dan Hani sama-sama tersenyum. Kemudian, Hana meneruskan pembacaannya. Menyelak helaian demi helaian. Cepat saja diselaknya. Membaca atau sekadar melihat gambar saja?
            “Hani,”
            Panggilan Hana membuatkan Hani menoleh.
            “Apa?”
            “Kau dengan Halim….”
            Hani faham apa yang ingin di perkatakan Hana walaupun Hana tak meneruskan kata-katanya. Dia faham benar.
            “Dia dah macam abang kandung sendiri,” jawab Hani jujur.
            “Betul ke?”
            “Betullah. Kenapa?”
            “Kau tak ada hati kat Halim tu ke? Diakan baik. Rupa pun boleh tahan,”
            “Mungkin sebab Hani dah anggap dia macam abang kandung sendiri jadi…nak suka lebih dari itu agak susah,”
            Hana tersenyum-senyum menyebabkan Hani pelik dengan perangai kakaknya yang seorang ini.
            “Kenapa?” soal Hani. Dahinya berkerut-kerut melihat sikap Hana.
            “Kalau kau tak suka, aku boleh masuk line,”
            Hani terlopong mendengar pengakuan berani Hana. Tak sangka Hana menyimpan perasaan pada Halim. Wajah Hana ditenung. Hana kembali memandang wajahnya sambil mengangkat-angkat keningnya.
            Ah! Hana memang begitu. Ceria sentiasa walaupun Hana sedia maklum yang Halim pernah menyimpan perasaan pada Hani.

7 comments:

ayu salina said...

Pendek sgt lh dik

!x0r@ said...

Erkk, takde Tuah ke bab ni?? Ahaha.. rindu pulak kt Tuah ;p

ezi said...

kak ayu...mmg stail kita macam ni kot..dalam 6-7 page ajer satu bab..hihi..:)

ezi said...

Ixora..Tuah ada di bab seterusnya ya..rindu Tuah? Aduh, jelesnya saya..hehe..:)

aisyah said...

selamba hana..ekeke..tp bagus gak..x yah la hani dgn halim...

ezi said...

hana tu ceria..bagus jugak..tak makan hati nanti..:)

Zakiah Halim said...

hani x nak halim... hana masuk line... brani betul hana ckp gitu... kekeke