My Novel

Tuesday, October 8, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 15)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 15)

BAB 15

            Bihun goreng dimasukkan sedikit ke dalam pinggan. Kemudian di tambah dengan separuh telur rebus dan sedikit sambal. Itulah menu sarapan paginya pada hari itu. Sebelum memasuki dewan kuliah, Hani mengisi perut dengan sedikit makanan.
            Sambil menatang pinggan dan segelas air ke tempat duduk, matanya melilau ke kiri dan ke  kanan. Cuba mencari kelibat seseorang. Namun entah kenapa bayangan pemuda itu tidak kelihatan. Biasanya Tuah Iskandar akan muncul bersama-sama dengan Zulkifli makan di kafeteria ini.
            “Hei Hani,” Hani terperanjat apabila disergah Syasya.
            “Apa?” tanya Hani cuba mengawal keadaan.
            “Kau cari siapa? Sekejap pandang sini, sekejap pandang sana,”
            “Aku erk..erk..”
            “Kau cari secret admirer kau ye? Kau dah tahu ke siapa?”
            Ternyata topik secret admirer  membangkitkan semangat Julia dan Syasya pagi itu. Sejak dia mendapat bunga mawar tempohari, selalu Julia dan Syasya bertanya tentang siapa gerangan si pengirim. Apabila dia menyatakan tidak tahu, rakan-rakannya itu tidak berpuas hati. Malah Julia dan Syasya menyuruh dia mencari siapa gerangan pemuda itu. Dan yang kelakarnya, Julia dan Syasya sanggup jadi penyiasat yang tidak bergaji semata-mata untuk mengetahui siapa sebenarnya secret admirer.
            Tiba-tiba Hani terlihat Zulkifli sedang berjalan menuju ke kafeteria. Segera wajahnya bertukar ceria. Namun tidak lama. Hanya beberapa ketika dan kemudian bertukar mendung kembali. Tuah Iskandar tidak kelihatan bersama Zulkifli. Hani mengeluh.
            Kenapa Tuah Iskandar tak munculkan diri pagi ini? Adakah dia ada melakukan apa-apa salah sehinggakan Tuah Iskandar mengetepikan dirinya pagi ini?
            Entah apa perasaannya sekarang, Hani tidak pasti. Kenapa dia tercari-cari kelibat Tuah Iskandar? Kenapa dia mengharapkan Tuah Iskandar akan muncul di hadapannya? Dan kenapa dia merasa hampa apabila tidak melihat wajah itu?
            Cinta? Mungkinkan ini semua cinta?
            Tak mungkin! Tetapi kalau tak mngkin..apakah perasaan ini?
            Kenangan keluar bersama Tuah Iskandar tempohari terlayar di mindanya. Tiba-tiba dia merasa satu perasaan aneh yang menggerakkan degupan jantungnya menjadi laju. Bayangan Tuah Iskandar menghiasi mindanya. Pemuda berwajah sombong itu, meskipun jarang tersenyum namun kehadirannya mampu mengganggu ketenteraman hidupnya.
            Tiba-tiba rindu datang menerpa..
                                                                        **********
             Hari berlalu terasa begitu lambat. Jam seperti sengaja melengah-lengahkan bergerak dari satu nombor ke nombor yang lain. Kuliah yang mengambil masa satu jam seperti selalu bagaikan terlalu lama. Hani jadi semakin gelisah.
            Dia cuba untuk menumpukan perhatian pada kuliah yang disampaikan tetapi mindanya asyik terbayangkan Tuah Iskandar. Kenapa Tuah Iskandar tidak muncul pagi itu? Entah kenapa dia merasakan seakan tidak lengkap harinya jika tidak melihat pemuda itu.
            Harap-harap Tuah Iskandar ada petang ini.
            Hani sudah tidak sabar menanti habisnya kuliah yang masih berbaki 30 minit itu.
            Selesai saja kuliah, Julia terus mengajak Hani dan Syasya lepak di kafeteria. Mengisi perut dengan minum petang sebelum menunggu saat makan malam. Bagaikan orang di sorong bantal, Hani terus saja bersetuju. Bukan kerana makanan tetapi niatnya untuk melihat Tuah Iskandar.
            Namun dia hampa. Kelibat Tuah Iskandar sedikitpun tidak terlihat di kawasan kafeteria itu. Di mana sebenarnya pemuda itu? Demamkah? Sakitkah?
            Dengan langkah yang lemah, Hani menuju ke kaunter makanan. Dia hanya mengambil tiga keping kuih dengan secawan teh panas. Cukup untuk mengisi perutnya yang tidak berselera sangat di saat itu.
            Sebaik saja berpaling selepas membayar harga makanan, Hani terkejut melihat sesusuk tubuh yang sedang duduk bertentangan dengannya. Seperti biasa renungan pemuda itu tajam melirik ke arahnya. Tanpa senyuman, tanpa kata-kata Tuah Iskandar terus merenung Hani. Meskipun agak gementar dengan renungan tajam itu namun Hani berasa gembira dengan kehadiran pemuda itu.
            Lambat-lambat Hani melangkah menuju ke arah Syasya dan Julia yang sudahpun duduk dan bersedia untuk makan. Semasa melintasi Tuah Iskandar, sempat dia melirik ke arah pemuda itu. Namun, Tuah Iskandar seperti biasa. Tiada senyuman.
            Entah kenapa Hani merasakan pelik dengan sikap Tuah Iskandar. Meskipun pemuda itu biasanya begitu tetapi Hani dapat merasakan kelainannya. Dengan perlahan, Hani mengeluarkan telefon bimbitnya.
            Nak hantar ke tidak? Nak hantar ke tidak?
            Hani berkira-kira untuk memberi mesej kepada Tuah Iskandar. Untuk apa dia menghantar pesanan ringkas itu? Apa yang hendak di perkatakan? Hani menjadi resah. Seketika dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal riak mukanya yang resah dari disedari rakan-rakannya. Akhirnya untuk memuaskan hati, Hani menaip juga sesuatu untuk dihantar kepada Tuah Iskandar.
            Selamat minum petang.
            Mesej ringkas yang dia sendiri tidak tahu perlu atau tidak, relevan atau tidak. Ah! Apa-apa sajalah. Dia hanya mahu tindakbalas dari pemuda itu.
            Beberapa saat kemudian, bunyi mesej masuk ke dalam peti inboxnya. Serta-merta dia menjengahnya. Tidak sabar menanti reaksi dari Tuah Iskandar.
            Thanks.
            Muncung sedepa mulut Hani apabila membaca mesej yang tersangat ringkas dari pemuda itu. Terlalu ringkas sehingga Hani tidak tahu apakah yang bersarang di minda pemuda itu.
            Thanks saje? Sekurang-kurangnya tulislah selamat makan untuk awak juga ke, atau makan kenyang-kenyang, atau makankan untuk saya sekali ke, barulah romantik. Sempat Hani membebel dalam hati. Tetapi tidak lama kemudian dia termenung dan berfikir.
            Kenapa aku rasa semua ni? Kenapa aku begitu mengharapkan mesej yang indah-indah dari dia? Kenapa aku perlu resah bila dia berubah laku? Kenapa aku perlu merajuk bila mesej yang dihantar tak seperti apa yang aku inginkan?
            Adakah aku dah jatuh cinta? Entah..tapi aku rasa ada satu perasaan yang berlainan terhadap Tuah Iskandar. Mungkn juga perasaan itu adalah cinta tetapi..layakkah aku bercinta dengan Tuah Iskandar?
            Hani mengeluh. Kemudian dia merenung kembali mesej yang diterima. Ada rasa hampa. Terus saja dia menutup telefon bmbitnya namun belum sempat dia menyimpan telefon bimbit di dalam begnya, bunyi mesej masuk kedengaran.
            Petang ni jumpa tempat biasa.
            Segaris senyuman terukir di bibirnya.
            Petang ni jumpa Tuah Iskandar? Tiba-tiba hatinya melonjak riang.
                                                                        **********
            “Hai, boleh saya duduk?” tanya Hani. Seketika dia melirik jam di tangannya. Dia tidak lewat tetapi Tuah Iskandar yang begitu awal.
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya mengalihkan beg yang diletakkan di sebelahnya sebagai jawapan kepada soalan Hani.
            Hani melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Buat seketika, masing-masing tidak bersuara. Hani tidak tahu bicara apa yang perlu dimulakan. Matanya melirik ke arah Tuah Iskandar. Kelihatan wajah pemuda itu muram, seperti ada sesuatu yang tidak kena tetapi apa?
            “Awak okay?” tanya Hani.
            “Hmm,” ringkas jawapan dari Tuah Iskandar.
            “Kenapa hari ni diam saje?  Awak marahkan saya ke? Saya ada buat salah apa-apa ke?” tanya Hani bersungguh. Bimbang seandainya kerana dirinya Tuah Iskandar berkelakuan sebegitu.
            Diam. Tiada jawapan.
            Hani mengeluh.
            Huh, setakat jumpa sekadar nak duduk berdiam macam ni, baik tak payah jumpa. Dia yang ajak jumpa, dia pula yang senyap saje. Tak faham betullah. Sempat Hani membebel dalam hati.
            Sekali lagi Hani mengerling Tuah Iskandar. Kelihatan pemuda itu termenung merenung lantai sambil bermain dengan tangan kasarnya itu.
            Seminit..dua minit..tiga minit..
            Diam.
            Dia ni memang tak nak bercakap agaknya. Baik aku yang mulakan. Topik apa yang nak dibualkan ye?’
            Sedang Hani memikirkan topik perbualan mereka petang tu, Tuah Iskandar membuka mulut.
            “Papa aku kahwin lagi,”
            Hani terkejut dengan suara Tuah Iskandar yang tiba-tiba. Namun, dia menenangkan dirinya mendengar apa yang ingin di perkatakan Tuah Iskandar.
            “Papa awak kahwin lagi?”
            “Dengan seorang perempuan yang jauh lebih muda daripadanya,”
            “Awak tak suka?”
            “Kau fikir ada anak yang suka kalau ayahnya kahwin lagi?”
            Oh, jadi kerana perkara inilah Tuah Iskandar berubah laku?
            “Jadi, apa yang awak nak buat?”
            “Tak tahu,”
            “Papa awak tak jelaskan apa-apa pada awak?”
            “Aku tak nak dengar?”
            “Awak tak boleh buat macam ni. Awak sepatutnya beri dia peluang untuk menerangkan perkara yang sebenar,”
            “Nak terangkan apa lagi? Berkahwin tanpa pengetahuan aku? Tanpa pengetahuan mama?”
            “Apa yang berlaku pasti ada sebab. Pasti ada sebab kenapa papa awak buat semua ni. Jadi, awak dengarlah apa yang dia nak cakap. Lepas awak dah dengar, terpulang pada awak untuk membuat penilaian,”
            Tuah Iskandar diam tidak bersuara.
            “Awak..”
            Diam.
            “Kalau ada sesuatu yang kita nak jelaskan, kita akan kecewa jika orang tak nak dengar apa yang nak kita terangkan. Dan bila kita dah terangkan, kita akan rasa puas hati meskipun kita tak tahu apa penerimaan orang itu. Sekurang-kurangnya kita dah perjelaskan. Baik atau buruk penerimaan orang lain, terpulang pada orang itu sendiri,”
            Tuah Iskandar mengangkat mukanya dan menoleh ke arah Hani. Renungan Tuah Iskandar tepat ke anak mata Hani. Tiba-tiba Hani jadi resah. Dengupan jantungnya kembali kencang. Ada rasa sesuatu terus menusup ke dalam hatinya menyebabkan dia terasa bagai nak demam!

7 comments:

aisyah said...

Tuah terasa hati dgn sikap ayah dia..nsb baik ada hani tukang pujuk.

ayu salina said...

Tq dik......Alhamdulillah
Hubungan ant mrk terjalin ngan baik dan bahagianya rasa bila hani dpt kurangkan tekanan perasaan tuah. Huhuhu

baby mio said...

best...

ezi said...

aisyah...
pandai gak Hani pujuk ye..:)

ezi said...

kak ayu..
sama2...begitulah cinta..hikhik..:)

ezi said...

baby mio..time kasih..:)

Noryati Kabulai said...

Kesian tuah. Nsb baik ada hani.