My Novel

Saturday, August 24, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 1)

Salam pembaca blog saya..Kali ini entry saya berbeza dengan yang sebelumnya. Apa bezanya? Hehe..saya nak letakkan karya saya yang berikutnya untuk pembaca-pembaca novel sekalian. Sambil membaca bolehlah berikan komen yang membina. Harap anda semua sudilah menjengok2 blog ini untuk sekian kalinya sebab saya akan update cerita ini dari bab ke bab...
 
Ok..selamat membaca..:)
 
KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 1)
 
 
BAB 1
            Skrin telefon bimbit miliknya dipandang lama. Hatinya dipagut sayu. Berkali-kali mesej yang tersimpan di dalam peti inbox nya dibaca. Malah, bagaikan sudah dihafal satu demi satu perkataan yang terkandung di dalam mesej ringkas itu. Meskipun mesej itu bagaikan sudah sebati dalam mindanya namun hatinya tetap tersentuh setiap kali membacanya.
            Dua bulan sudah berlalu. Selama dua bulan jugalah mesej itu masih setia menetap dalam peti inbox telefon bimbitnya. Tetapi entah kenapa dia masih tidak mahu untuk memadamkan mesej yang mengguris hati perempuannya. Mungkin kerana dia mahu mengingatkan dirinya sendiri. Mungkin dia mahu diri sendiri menerima hakikat. Hakikat yang hubungan antara dia dan Fahmi sudahpun berakhir.
            Sampai hati Fahmi meninggalkan dia di saat-saat akhir persekolahan. Ketika rakan-rakan lain sedang bergembira meraikan kertas terakhir peperiksaan SPM, dia menerima pesanan ringkas dari kekasih hatinya. Sangkanya Fahmi ingin meraikan kegembiraan ini bersama saat terpandang mesej Fahmi yang masuk tetapi...
            Dia mencari Fahmi. Mencari pemuda itu di merata-rata tempat namun Fahmi pergi meninggalkannya. Tanpa sebaris kata, tanpa sebarang pesanan...pemuda itu terus menghilangkan diri.
            Tergamak Fahmi meninggalkannya tanpa sebab. Tergamak Fahmi membuatkan dia tertanya-tanya tanpa jawapan. Apakah sebabnya Fahmi ingin memutuskan hubungan mereka? Apakah kesalahan yang dia lakukan sehingga Fahmi tidak mahu bersemuka dengannya walaupun untuk mengucapkan selamat tinggal? Benci benarkah Fahmi dengan dirinya? Tetapi..kenapa? Kenapa?
            Namun, persoalan yang kerap menerjah mindanya terjawab seminggu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke Kolej Putra di dalam jurusan perubatan. Dia bertembung dengan Fahmi di bandar bersama seorang gadis di sisi pemuda itu. Begitu mesra berjalan bersama sambil berpimpin tangan. Gelak tawa serta kebahagiaan terpancar di wajah keduanya.
            Oh Tuhan. Dia tidak kuat menghadapi situasi itu. Balik saja dari bandar, air matanya turun mencurah-curah. Dia cuba untuk menjadi seorang gadis yang kuat namun sayangnya terhadap Fahmi membuatkan dia lemah. Lemah hati dan perasaan.
            Berkali-kali dia menasihati diri sendiri. Mengapa perlu dia menangis untuk lelaki yang telah melukai hatinya? Mengapa perlu bersedih untuk orang yang sudah membuat dia menderita? Mengapa  perlu mengharapkan kasih pada yang tak sudi?
            Namun, dia tidak mampu untuk menidakkan rasa sedih itu. Dia tidak mampu menepis rasa kecewa yang bertandang. Ternyata dia masih bersedih untuk lelaki yang telah membuat dia menderita. Malah, dia masih mengharapkan agar Fahmi kembali, menyinari hubungan mereka seperti dulu. Dia masih menanti pemuda itu kembali kepadanya.
            Tetapi…semuanya sudah berakhir. Fahmi sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Fahmi sudah ada pilihan hatinya sendiri. Dan dia..
            Dia tidak sepatutnya mengharapkan lagi pemuda itu.
            Pantas dia meletakkan telefon bimbitnya di tepi katil. Matanya dipejamkan. Terasa air hangat mengalir, jatuh membasahi pipinya. Ternyata perpisahan itu masih lagi terasa kesakitannya.
                                                            **********
            “Hani!”
            Hani tersentak apabila tangannya disiku. Segera dia berpaling. Kelihatan Julia yang berada di sebelahnya merenung tajam ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa Julia berwajah begitu. Segera dia menoleh pula ke arah Syasya yang duduk berhadapan dengannya dan kemudian mengangkat kening tanda bertanya. Syasya tidak menjawab. Hanya senyuman yang menghiasi wajah manis gadis itu.
            “Kenapa?” tanya Hani sambil pandangannya di halakan ke arah Julia.
            “Kenapa apa?’ soal Julia kembali. Pura-pura tidak tahu.
            “Kenapa kau pandang aku lain macam saja?” tanya Hani lagi.
            Julia mengeluh.
            “Kau buat apa tadi?” soal Julia tanpa menjawab soalan Hani.
            Study,” jawab Hani ringkas.
            “Kalau study, tak mungkin kau tak dengar aku panggil kau. Kau tahu tak dah dekat sepuluh kali aku panggil. Itu belum kira Syasya yang panggil. Nasib baik kita kat perpustakaan. Kalau tidak, dah lama aku jerit nama kau kuat-kuat sambil bagi penumbuk sebiji,” bebel Julia panjang lebar.
            Hani terdiam seketika. Julia dan Syasya memanggil namanya? Tak dengar pun!
            “Berangan lagilah tu,” sindir Syasya pula.
            “Tak..aku..aku..”
            Erk..nak bagi alasan apa pula ni? Takkan aku nak kata aku study maut sampai tak dengar panggilan dia orang yang jaraknya tak sampai sekaki? Dan..tak mungkin aku akan memberitahu perkara sebenar. Aku sedang memikirkan tentang Fahmi. Insan yang telah memberikan aku kegembiraan dan insan itu jugalah yang memberi aku penderitaan. Aku sedang mengimbas kenangan manis antara kami. Sungguh! Bukan mudah untuk melupakan pemuda itu.
            “Hello!” Julia menjentik jarinya di hadapan muka Hani menyebabkan sekali lagi lamunannya terbang dibawa dek angin.
            “Sudahlah tu Julia. Jomlah kita pergi lunch. Kalau nak tunggu minah seorang ni, sampai petang pun kita tak makan nanti,” kata Syasya sambil bangun dari kerusinya.
            Julia menuruti jejak Syasya, menyusun buku-buku yang bersepah di atas meja lalu terus bergerak.
            “Eh geng, tunggulah aku,” dengan kelam kabut, Hani terus saja mengambil buku-buku miliknya lalu melangkah mengekori Syasya dan Julia dari belakang.
            Beberapa meter keluar dari perpustakaan, Hani berhenti sambil menepuk dahinya. Julia dan Syasya berpandangan sesama sendiri.
            “Kenapa?” tanya Syasya apabila melihat perilaku Hani yang seakan-akan blur hari itu.
            “Ini semua kau orang berdua punya pasal,” bebel Hani.
            “Kenapa? Apa yang kita orang dah buat?”
            “Pasal kau orang cepat sangat nak pergi lunch, aku terlupa nak pulangkan buku ni. Sudahlah hari ini tarikh akhir pemulangan buku ni,” rungut Hani sambil menunjukkan buku rujukan Patologi yang setebal hampir seribu mukasurat itu.
            Julia mengeluh. Sudahlah perutnya terasa lapar. Ada juga yang melengah-lengahkan sesi mengisi perut ini.
            “Macam nilah. Kau orang berdua pergi makan dulu. Nanti aku datang. Kalau boleh ambilkan nasi aku sekali. Lauk apa-apa saja. Tapi kalau ada kerang rebus, ambil banyak sikit ya,” pesan Hani sambil tersenyum-senyum.
            “Okaylah. Kalau macam tu, kita orang pergi dulu. Cepat sikit. Kalau lambat, aku baham semua kerang rebus kau tu,” sahut Syasya dengan wajah yang selamba.
            Hani cepat-cepat melangkah kembali menuju ke perpustakaan. Sebaik sahaja selesai memulangkan buku rujukan tersebut, dia segera menuju ke kafeteria. Namun, tiba-tiba langkahnya menjadi perlahan. Perutnya yang tadi berbunyi minta diisi, seakan sudah terhenti iramanya. Hatinya tiba-tiba dipagut hiba. Sekali lagi dia teringatkan Fahmi.
            Ah! Bukan mudah untuk melupakan segala kenangan indah bersama Fahmi. Bukan dia tidak berusaha. Bukan dia tidak mencuba, tetapi semakin dia mencuba, kenangan itu semakin mendekati dan terus memaksa dia untuk memikirkan pemuda itu.
            Apa yang Fahmi sedang buat sekarang?
            Bahagiakah Fahmi dengan gadis pilihannya itu?
            Masih ingatkah Fahmi akan dirinya?
            Masih adakah sisa rindu Fahmi akan dirinya saat ini?
            Oh Tuhan! Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini.
            Langkah Hani terhenti. Dia memejamkan mata. Cuba mengawal air mata dari terus tumpah. Dia menarik nafas dalam-dalam dan tiba-tiba..
            “Ops!”
            Hani terjatuh apabila tubuhnya dilanggar. Habis berterabur buku yang dipegangnya. Seketika dia mengaduh sakit. Beberapa saat kemudian, dia bangun sambil menepuk-nepuk tangannya yang berdebu.
            Wajah pemuda di hadapannya itu direnung. Pemuda yang melanggarnya itu hanya diam. Sepatah pun tidak bersuara apatah lagi untuk memohon maaf.
            Huh! Sudahlah langgar orang. Tak minta maaf langsung. Lepas tu tunjuk muka sombong pulak. Macamlah aku pula yang bersalah dalam hal ni.  Bisik Hani dalam hati.
            Keadaan sepi seketika. Tiada tanda-tanda pemuda itu ingin memohon maaf. Jadi, Hani segera memulakan bicara. Malas dia untuk melayan kerenah pemuda sombong itu.
            “Kalau awak tak nak minta maaf tak mengapalah. Tapi, saya dah maafkan awak,” ujar Hani selamba lalu melangkah pergi dari situ.
            Harap muka saja hensem tapi perangai…
                                                                                    **********
            “Kenapa lambat?” tanya Julia sebaik saja Hani menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya.
            “Komputer buat hal masa aku nak pulangkan buku tadi,” dalih Hani. Malas dia nak bercerita tentang pemuda sombong itu. Nanti banyak pula yang Syasya dan Julia tanyakan. Lagipun, bukan penting pun!
            “Ni, kerang rebus kau. Nasib baik cepat, kalau tak kau boleh makan kulit sajalah,” ujar Syasya sambil menyedut air sirap kegemarannya.
            Terliur Hani melihat kerang rebus di hadapannya. Memang kerang rebus merupakan salah satu makanan kegemarannya. Kalau hari-hari makan kerang rebus pun dia tidak kisah.
            Hani segera menikmati makanan di hadapannya. Nasi putih berlaukkan kerang rebus, sayur kangkung goreng, ikan masak sambal membangkitkan seleranya. Laju saja dia menikmati makanan sambil mendengar perbualan dua sahabat yang duduk bertentangan dengannya.
            “Kau pun tahu pasal dia?” tanya Syasya kepada Julia.
            “Mestilah aku tahu. Semua orang kat sini tahu pasal dia,” sahut Julia.
            “Wah, dia memang betul-betul glamor. Dahlah hensem, kaya pula tu,”
            “Hmm, untunglah siapa perempuan yang dapat jadi makwe dia,”
            Perbualan Julia dan Syasya menarik minat Hani. Siapa yang di maksudkan oleh rakan-rakannya itu? Siapa yang di katakan glamor, kacak dan kaya itu?  Kenapa dia boleh ketinggalan ini? Syasya dan Julia ini pun satu. Bercerita berdua saja. Bagaikan dirinya tidak wujud di situ. Tidak adil langsung!
            “Kalaulah aku dapat jadi makwe dia..wah, bestnya,” kelihatan Syasya sedang berkhayal dapat mendampingi putera idaman. Matanya dipejam dengan tangannya digenggam erat. Fuh! Berangan.
            “Sya, kau jangan mimpilah. Tak ada orang yang berani nak dekat dengan dia apatah lagi nak jadi awek dia,” kata-kata Julia mematikan angan-angan Syasya. Terasa istana yang di impikan sudah hancur berkecai.
            “Tapi…kalau tak cuba tak tahu kan?” duga Syasya.
            “Kau berani?” Julia cuba mencabar.
            Soalan Julia membuatkan Syasya terdiam. Berkerut-kerut dahi Syasya memikirkan jawapan yang harus diberikan untuk soalan Julia. Jawapan yang mudah. Ya atau tidak. Tapi, itupun Syasya tak mampu jawab.  Dan di kesempatan itu, Hani mencelah.
            “Nanti..nanti..nanti..korang cerita pasal siapa ni ha?” tanya Hani ingin tahu siapa lelaki yang dipuja-puja Syasya dan Julia itu.
            “Kau tak tahu?” tanya Syasya sambil merenung tepat ke arah Hani.
            “Kau tak cakap manalah aku tahu,”
            “Tuah Iskandar,” ujar Syasya separa berbisik.
            “Tuah Iskandar?”
            “Syyyyyyhhh,” Syasya meletakkan jarinya ke bibirnya menunjukkan isyarat agar suara di perlahankan apabila menyebut nama pemuda itu. Kemudian, Syasya memandang ke kiri dan kemudian ke kanan. Hani turut berbuat demikian. Nasib baik tiada mata yang memerhati ke arah mereka. Tetapi..apa yang tidak kena dengan nama itu sehinggakan Julia dan Syasya takut perbualan mereka di dengari orang?
            Hani mengerutkan dahinya. Kenapa tak boleh sebut kuat-kuat nama pemuda itu? Bahaya sangatkah kalau di dengari orang?
            “Ya, Tuah Iskandar. Kau tak pernah dengar?” tanya Syasya lagi.
            Pantas Hani menggelengkan kepala.  
            “Kau ni slow lah, Hani. Orang yang paling glamor kat kolej kita ni pun kau tak kenal,” ujar Julia.
            “Manalah aku tahu. Aku ke hulu ke hilir dengan korang berdua saje. Kalau korang tak cerita, manalah aku nak tahu,”
            “Hani, aku pun berkawan dengan korang berdua juga tapi aku taklah ketinggalan zaman dalam bab-bab macam ini,”
            Hani mencebik. Adakah kerana tidak mengenali lelaki yang bernama Tuah Iskandar itu di anggap ketinggalan zaman? Tak masuk akal langsung!
            “Okay..okay..Apa hebat sangat tentang Tuah Iskandar tu?” tanya Hani sambil memperlahankan suaranya apabila menyebut nama Tuah Iskandar.
            “Dia pelajar senior tahun akhir jurusan pengurusan perniagaan. Anak orang kaya. Hensem pula tu. Rupa dia ala-ala Farid Kamil sedikit. Aku rasa, dalam kolej ni, dialah lelaki yang paling hensem sekali,” ujar Julia sambil mengerdip-ngerdipkan matanya. Gedik sungguh!
            “Dia tu memang glamor kat kolej ni. Ramai student perempuan minat kat dia,” celah Syasya pula. Nampaknya kedua sahabatnya itu berlumba-lumba menceritakan tentang Tuah Iskandar. Glamor sungguh Tuah Iskandar itu.
            “Kau orang pernah tengok dia ke?”
            “Pernah, tapi mampu tengok dari jauh aje,”
            “Mampu pandang dari jauh? Maksud kau,”
            “Walaupun dia hensem, kacak, glamor…tapi tak seorang pun berani tegur dia. Baik lelaki mahupun perempuan, semua tak berani nak bertegur sapa dengan dia,”
            “Kenapa?”
            “Sebab, dia tu gangster,”
            “Gangster?”
            “Syyyhhh”
            Kelam kabut Julia dan Syasya mengawal keadaan apabila suara Hani melepasi tahap yang sepatutnya. Bimbang perbualan mereka di dengari apatah lagi yang melibatkan Tuah Iskandar.
            “Kolej kita ada gangster?” tiba-tiba bulu roma Hani berdiri tegak. Teringat dia akan filem KL gangster, Evolusi KL drift dan pelbagai filem-filem gangster yang ada di pawagam. Huh! Semuanya ganas-ganas. Siap dengan pistol, pisau, parang..
            “Dengar cerita, Tuah Iskandar ada geng-geng motor kat luar kolej. Sebab tu budak-budak tak berani nak dekat dengan dia. Budak-budak perempuan yang suka dia, hanya mampu pandang dari jauh sajelah,”
            “Pernah sekali seorang budak kolej kena pukul dengan geng-geng Tuah Iskandar. Semua berpunca apabila budak tu terlanggar motor Tuah Iskandar. Masa tu budak tu tak tahu siapa Tuah Iskandar. Jadi, budak tu mengamuk marahkan Tuah Iskandar. Malam itu juga budak tu kena pukul sampai masuk hospital,”
            Bulat mata Hani mendengar cerita Syasya. Sampai begitu sekali?
            “Pendek kata, kalau nak selamat jangan ada kaitan langsung dengan Tuah Iskandar,”
            Hani mengeluh. Minta di jauhkan dari semua itu. Kalau boleh, mengenali Tuah Iskandar pun dia tidak mahu. Takut pula dia apabila mendengar cerita Julia dan Syasya. Gangster? Siapa yang tidak takut? Lebih-lebih lagi perempuan seperti dia. Penakut dan tidak kuat semangat. Kalau jumpa Tuah Iskandar, pasti dia akan buka langkah seribu.
            Tiba-tiba Hani mengerutkan dahinya. Matanya tajam memandang ke arah Julia dan Syasya. Julia mengangkat kening tanda bertanya kenapa Hani buat muka macam tak puas hati.
            “Dah tahu dia tu teruk, kenapa masih nak suka lagi?”
            “Sebab dia tu hensem sangat,”
            Hani mengeluh kecil. Hanya kerana hensem saja? Tak masuk akal! Memang Julia dan Syasya sudah tidak betul.
            “Wei..kau orang..” Julia tiba-tiba bersuara. Perlahan separuh berbisik.
            “Kenapa?” tanya Hani acuh tak acuh.
            “Itu, Tuah Iskandar,”
            Hani pantas menoleh ke belakang namun cepat-cepat Julia menegah.
            “Kenapa?”
            “Janganlah nampak sangat kau nak pandang dia. Cover lah sikit,”
            “Tak boleh ke?”
            “Kalau dia perasan, teruk kita nanti,”
            Hani mencebik. Nak pandang pun kena sembunyi-sembunyi. Gangster besar betul ni! Namun, Hani ikutkan juga nasihat Julia. Untuk keselamatan, apa salahnya. Tak kena bayar pun. Hani curi-curi pandang ke belakang. Ingin sekali melihat wajah pemuda yang di katakan glamor dan kacak di kolej itu.
            “Dia…yang tengah-tengah tu,” bisik Julia perlahan.
            Dan saat matanya melihat pemuda itu, jantungnya berdegup kencang.
            Diakah Tuah Iskandar?

5 comments:

aisyah said...

oh no..mesti org yg ko langgar tu kan hani..abis...

ezi said...

aisyah..hehe..tau2 saje..:)

Zakiah Halim said...

ooppsss... terlanggar sudah tadi...

Nurul Johari said...

hep... ape sudh jdi ni..berdebar2.. ok next

Agús apriantö said...

Good ;)