My Novel

Monday, September 16, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 12)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 12)
 
BAB 12
            Hani melabuhkan punggungnya di atas katil. Beg kuliah yang disandangnya diletakkan di sebelah. Matanya memerhatikan sesuatu yang terletak di atas meja belajarnya. Lama dia merenung dan akhirnya dia mengeluh kecil.
            Perlahan dia bangun dari duduknya dan menghampiri meja belajarnya. Pantas dia mencapai tiga kuntum ros merah yang sudahpun diletakkan di dalam pasu. Dan pasu itu dimasukkan air di dalamnya, agar bunga ros itu tidak segera layu.
            Hani merenung kuntuman bunga itu. Meskipun masih tidak pasti siapa pengirim bunga tersebut namun entah kenapa hatinya kuat menyatakan yang bunga ini datangnya dari pemuda itu. Pemuda yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya.
            Walaupun terus-terusan menafikan perasaannya terhadap pemuda itu namun jauh di sudut hatinya rasa bangga kerana dapat mengenali pemuda itu. Masakan tidak, Tuah Iskandar yang di sebut-sebut pelajar-pelajar perempuan di kolej kini menjadi kekasihnya. Walaupun status sebenar hubungan mereka masih samar-samar namun setidak-tidaknya, namanya sudah termasuk di dalam kamus hidup Tuah Iskandar. Bukan mudah untuk mendekati pemuda itu tetapi dia berjaya menyusup masuk ke dalam kehidupan pemuda itu. Malah bukan dia yang datang kepada pemuda itu tetapi Tuah Iskandar sendiri yang datang kepadanya.
            Bangga. Ya, dia merasa bangga. Kalaulah gadis-gadis di kolej ini tahu akan hubungan mereka, pasti kecoh jadinya. Apatah lagi Julia dan Syasya yang kerap menjadikan Tuah Iskandar sebagai topik perbualan mereka.
            Namun, cukupkah hanya setakat bangga? Bagaimana perasaan dia yang sebenar? Sukakah dia pada Tuah Iskandar?
            Entah! Dia tidak tahu. Apa yang dia tahu sekarang ini, perasaannnya menjadi tidak tenang saat dia mengenali Tuah Iskandar. Degupan jantungnya berdenyut laju saat dia bersemuka dengan pemuda itu. Antara takut atau suka, dia sendiri keliru yang mana satu perasaan yang sebenar.
                                                                        **********
            Hani berjalan dari satu rak buku ke satu rak buku. Mencari-cari buku rujukan yang disyorkan oleh Prof. Ismail bagi tugasan subjek Patologi. Tugasan itu perlu disiapkan minggu hadapan. Hani sudahpun mempunyai beberapa buku rujukan Patologi tetapi menurut Prof Ismail, kebanyakkan jawapan bagi tugasan itu terkandung di dalam buku Basic Pathology Vol 1.
            Setelah hampir 20 minit mencari, Hani mengeluh. Mungkin pelajar lain sudah meminjam buku tersebut. Entah siapalah yang bernasib baik. Terpaksalah dia membuat rujukan menggunakan buku lain ataupun mengunakan google sebagai bahan rujukan.
            “Hai Hani,”
            Hani pantas menoleh. Kelihatan Iqbal berdiri di hadapannya sambil mengepit sebuah buku di tangannya.
            “Buat apa?” tanya Iqbal yang pada Hani merupakan soalan yang tak releven di saat itu.
            “Dah kat perpustakaan, mestilah cari buku. Takkan cari kain pula,” perli Hani dan Iqbal hanya tersengih-sengih.
            “Kau cari buku yang Prof. Ismail cakap tu?” tanya Iqbal sambil bersandar di salah satu rak buku di situ.
            “Aah. Tak jumpa pula. Kau jumpa?”
            “Kau ni Hani. Semalam Prof. bagi tugasan ni, baru hari ni kau nak cari? Dah tentulah ada pelajar yang dah ambil buku tu. Lagipun aku dah tanya pada perpustakawan kolej. Dia orang kata buku tu sudah ada peminjam,”
            Hani mengeluh.
            “Alah, kau google sajalah. Sekarang ni semua maklumat di hujung jari tahu tak?”
            “Ya, aku tahu. Tapi aku nak sangat tengok buku yang di katakan Prof Ismail tu. Dah Prof yang syorkan, tentu bukunya bagus,”
            “Tapi dah tak ada, nak buat macam mana,”
            Hani mengangguk lemah. Kemudian, Iqbal meminta diri untuk kembali ke asrama dan Hani melangkah perlahan mendapatkan Julia dan Syasya yang sedang kusyuk mengulangkaji pelajaran.
            “Ada?” tanya Julia.
            Hani pantas menggeleng menyebabkan tiga sekawan itu mengeluh kecil.
                                                                        **********
            Hani duduk di meja belajar di dalam biliknya. Tujuannya untuk mengulangkaji pelajaran malam itu sering terganggu saat terpandangkan bunga mawar yang masih menghiasi meja belajarnya. Serta merta fikirannya teringatkan pemuda itu.
            Ah! Jangan difikirkan sangat Hani. Belajar…belajar…
Hani menasihati dirinya sendiri. Cuba mengikis wajah Tuah Iskandar dari mindanya.
            Baru saja dia hendak fokus pada buku di hadapannya, telefon bimbitnya berbunyi.
            Isy, siapalah yang telefon malam-malam ni. Bebel Hani sempat mengerling jam di atas meja. Pukul sepuluh malam.
            “Hello,” bicara Hani sebaik saja membenarkan panggilan itu masuk.
            “Hello,”
            Suara di hujung talian membuatkan Hani tergamam seketika. Hatinya mula berdegup kencang. Dia kenal benar pada suara garau itu. Kenapa dia telefon malam-malam begini?
            “Erk..siapa ni?” tanya Hani ingin mendapatkan kepastian meskipun dia yakin akan pemilik suara tersebut.
            “Aku,” ringkas bicara Tuah Iskandar.
            Sah! Memang dia. Tapi, dari mana dia dapat nombor telefon aku? Ah! Pasti Tuah Iskandar tahu mana nak cari nombor telefonnya. Bukannya susah sangat. Lagipun Zulkifli satu fakulti dengannya. Senang-senang saja boleh cari.
            “Nak apa?” tanya Hani memberanikan diri. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia sudah berani bercakap dengan Tuah Iskandar. Tidak seperti di awal perkenalan mereka, kini Hani sudah boleh bersuara.
            “Kau buat apa?’
            Huh! Tak romantik langsung. Suara kasar, langsung tiada nada. Mendatar saja. Macam manalah ramai orang boleh terpikat dengan dia ni?
            “Erk..saya tengah study,” berani-berani Hani masih juga ada getar pada suaranya. Iyalah, bercakap dengan gangster mana tidak takut. Salah cakap nanti, dia panggil geng-geng dia nanti bagaimana? Jadi, Hani cakap baik-baik saja selagi tidak menyusahkan.
            “Kau turun bawah sekarang. Aku ada kat bawah bukit,”
            “Ha?”
            “Sekarang!”
            Belum sempat Hani menjawab, talian diputuskan. Hani memandang telefon bimbitnya dengan perasaan bengang.
            Dia fikir dia siapa? Suka-suka arahkan aku ke sana, ke mari. Ingat aku ni hamba dia ke? Aku belum bagi jawapan lagi, dia dah buat keputusan. Eeeiiii…geramnya aku.
            Hendak tak nak, Hani terpaksa juga turun ke bawah asrama apabila panggilannya telefonnya langsung tidak di pedulikan Tuah Iskandar. Dia tahu pemuda itu sengaja tidak mahu mengangkat panggilannya kerana pemuda itu tidak mahu mendengar sebarang alasan. Isy!
            Malam itu masih ramai lagi pelajar-pelajar yang berkeliaran. Hani terpaksa menapak menuju ke bawah bukit. Tempat terakhir kaum adam boleh menjejakkan kaki sebelum sampai ke asrama puteri. Dari jauh Hani dapat melihat seseorang di bawah pokok dan Hani tahu itu adalah Tuah Iskandar melihatkan susuk tubuhnya yang agak sempurna.
            Dan kini...Hani berdiri betul-betul di hadapan Tuah Iskandar. Kelihatan pemuda itu memakai sweater yang ada hook di kepala. Mungkin untuk melindungi dirinya dari dilihat orang lain. Huh! Takut sangat ke orang lain tahu hubungan samar-samar mereka ni?
            “Nak apa?” tanya Hani. Takut-takut bertentang mata dengan Tuah Iskandar. Entah kenapa berhadapan dengan Tuah Iskandar malam itu melahirkan satu perasaan aneh.
            Tuah Iskandar menghulurkan satu bungkusan kepada Hani. Hani mengerutkan dahinya.
            “Apa ni?”
            “Tolong aku taip assignment aku ni,”
            “Ha?”
            “Tak dengar? Nak aku ulang?”
            “Kenapa saya kena buat assignment awak?”
            “Sebab kau awek aku,”
            Hani tersenyum sinis.
            “Bila pula saya terima untuk jadi kekasih awak? Dan lagi satu, kalau saya makwe awak pun, saya takkan buat kerja-kerja awak ya,”
            Wah! Beraninya Hani berkata begitu dengan Tuah Iskandar. Mentang-mentang Tuah Iskandar sudah menganggap dia seperti kekasih…
            Tuah Iskandar diam. Matanya merenung tajam ke arah Hani menyebabkan denyutan jantung Hani menjadi tidak stabil. Entah kenapa perasaan beraninya tiba-tiba bertukar menjadi takut. Dia jadi takut kalau-kalau Tuah Iskandar marah.
            “Kali ini saja tau,” Hani akhirnya mengalah. Dengan lemah, dia mencapai bungkusan yang berisi buku itu dan Tuah Iskandar terus saja berlalu. Tanpa senyuman, tanpa ucapan terima kasih…Tuah  Iskandar pergi begitu sahaja.
            Hani semakin tidak memahami pemuda itu.
                                                                        **********
            Hani mencampakkan bungkusan yang diberi Tuah Iskandar itu ke atas katil. Rasa marahnya tiba-tiba meluap terhadap pemuda itu. Suka-suka sahaja mengarahkan dia menaipkan assignment pemuda itu.
            Dia ingat aku ni tak ada kerjakah? Dia fikir dengan mengambil aku jadi kekasih dia, dia boleh suka-suka menggunakan aku?
            Hani mengutuk-ngutuk Tuah Iskandar. Memang anak orang kaya begini gayanya. Mengambil jalan mudah dengan membuli orang yang lemah. Dan orang yang lemah itu adalah dirinya. Aduh!
            Hani mencapai bungkusan yang berisi buku itu. Bilalah agaknya dia nak menaip assignment Tuah Iskandar. Pasti mengambil masa kerana dia budak perubatan, bukannya ambil jurusan perniagaan. Pasti ada istilah-istilah perniagaan yang dia tak tahu.
            Huh! Menyusahkan orang betul.
            Tiba-tiba Hani menjadi kaku. Tubuhnya berhenti dari bergerak. Matanya tepat memandang ke arah buku yang baru dikeluarkan dari bungkusan plastik hijau. Tajuk buku itu membuatkan dia tekedu seketika.
            Basic Pathology Vol 1
            Bersama itu ada sekeping nota yang terselit.
            Good Luck. –Aku-
            Dan Hani terus terkesima.
            Tuah!

14 comments:

ayu salina said...

Wow.....nakal juga si Tuah ni yer, ngan selamba kenakan Hani.
So sweet.....

Norfazliyana Aziz said...

Tuah tak pandai nak tunjuk dia suka..tp dia amik berat..hurmmm..

ezi said...

sis ayu..bestnyer ada pakwe cam tu..hehe..:)

ezi said...

fazliyana...sayang ditunjukkan melalui perbuatan..sweet..:)

aisyah said...

oh..sy syg tuah la...

hk said...

omo... hati yg kejung tu sweet jugak yerrrr...

ezi said...

sis aisyah..kita semua sayang Tuah tapi Tuah sayang Hani..hehe

ezi said...

hk..dalam hati ada taman..hehe..

Sasimala Kalaiselvan said...

notty sungguh si tuah nie... hehehe best kak,nak lg

Nik Ainaa said...

wah, first time baca bab 1 - hingga bab 12 sejak ptg tadi memang bt saya terhibur. tertarik untuk terus mmbaca. best sgt cerita ni. hehe nanti up cepat2 yg bab 13 :)

aisyah said...

Tu la tuah ni..cer pandang sy ni skit..hahah

ezi said...

Sasimala. Nik Ainaa..terima kasih sebab suka citer Tuah-Hani ni...jangan lupa ikuti cerita ini nanti ya..:)

ezi said...

aisyah...hehe..:)

Zakiah Halim said...

oh la tuah... so sweet kamu... tunjuk romantik sayang dgn cara yg tersendiri... ai like u lah tuah... kekekeke... :)