My Novel

Wednesday, August 28, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 6)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 6)
 
BAB 6
 
            Suasana di kelab malam itu hingar bingar. Lagu yang membingitkan telinga menjadi makanan buat pengunjung-pengunjung malam itu. Sebahagian daripada mereka turut menyanyi dan menari di tengah pentas. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing hanyut di dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Asyik dan melalaikan.
            Di satu sudut, dia duduk berseorangan. Termenung sambil memerhati ragam manusia malam itu. Sesekali ada gadis-gadis seksi yang datang menghampiri. Gadis-gadis yang kelihatan manja dan menggoda mengajak menari dan ada juga yang ingin menemani. Namun, dia menolak dengan baik. Saat itu, dia ingin bersendirian. Tidak mahu diganggu sesiapapun.
            Tuah Iskandar menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya keluar. Satu keluhan dilepaskan. Untuk apa dan kenapa, dia sendiri tidak pasti kerana terlalu banyak sebab yang menyebabkan dia mengeluh.
            Salah satu daripadanya adalah berkaitan kehidupan yang sedang dia lalui. Kehidupan yang sungguh mengecewakan. Tiada senyuman, tiada bahagia. Yang ada hanya kesunyian dan penderitaan. Benar kata Zulkifli, dia tidak perlu merosakkan diri hanya untuk membalas dendam kepada orang tuanya. Dia sepatutnya mencari bahagia sendiri tetapi..di mana hendak dicari semua itu? Kalaulah kebahagian itu ada dijual di kedai, pasti dialah orang pertama yang akan membelinya.
            Dia tidak tahu ke mana arah tuju hidupnya. Untuk apa dia hidup? Apakah matlamat sebuah kehidupan? Ke mana hala tuju dia selepas ini? Apa yang hendak dibuat dengan masa yang beransur-ansur meninggalkannya?
            Semua soalan terus terbiar tanpa jawapan.
            Sekali lagi Tuah Iskandar mengeluh. Keluhan yang berat dilepaskan beserta beban yang berat dipikul.
            “Hai Tuah,” terasa bahunya disentuh seseorang. Tuah Iskandar tidak berpaling kerana dia begitu mengenali suara yang menyapanya itu.
            “Seorang?” tanya Lilia sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar. Sengaja dia mendekatkan jarak di antara mereka sehinggakan badannya bergesel dengan lengan sasa Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya membetulkan kedudukannya sedikit menjauhi Lilia.
            “Kenapa kau tak join yang lain?” tanya Lilia dengan suara yang gedik dan manja.
            Tuah Iskandar diam lagi.
            “Hei, kenapa dengan kau ni? Orang lain datang ke sini untuk enjoy. Make our own world. Bukannya nak duduk termenung dengan muka masam macam ni,” ujar Lilia sambil menarik tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar melirik gadis di sebelahnya. Sedikitpun tidak tersenyum meskipun Lilia begitu murah dengan senyuman.
            Come on Tuah. Don’t be like this. Enjoy your life,” pujuk Lilia sambil mengelus lembut tangan Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh.
            “Apa sebenarnya yang kau fikirkan, Tuah? Apa sebenarnya yang kau cari?”
            “Aku cari kebahagiaan. Aku cari kegembiraan,”
            Yes. So, this is the place. Ini tempat yang kau boleh temui semua tu,”
            “Tapi aku tak temui semua tu di sini,”
            “Kau tahu kenapa kau tak temui kegembiraan di sini?”
            Tuah Iskandar menoleh sekali lagi ke arah Lilia. Dia merenung gadis itu meminta jawapan.
            “Sebab kau tak mengambil kesempatan yang ada. Kau dah masuk ke sini tapi kau masih duduk berseorangan. Cubalah kau bergaul dengan orang lain. Tu,di sana geng-geng Kojek sedang bersukaria. Mereka gembira di sini. Pergilah sertai mereka.”
            Tuah Iskandar diam seketika. Berfikir dan cuba mencari kebenaran di atas kata-kata Lilia. Namun, tidak lama kemudian, dia menggeleng.
            No, bukan itu caranya,”
            Yes, inilah caranya. Kau tak nampak mereka semua happy?”
            “Kegembiraan di sini hanya seketika. Aku tak mahu yang itu,” pantas Tuah Iskandar menarik tangannya lalu bangun dari duduknya. Lilia turut bangun. Pantas tangan Tuah Iskandar dipaut.
            “Tuah,”
            Stop Lilia. Aku nak balik,”
            “Kalau macam tu, boleh tolong hantar aku balik?”
            Tuah Iskandar merenung Lilia. Ternyata gadis itu tidak pernah berputus asa untuk mendekati dirinya.
            “Esok aku ada kuliah. Kalau nak tunggu Rissa dan Tini, lambatlah aku balik nanti. Terpaksa ponteng kuliah pula,” alasan yang sengaja dicipta Lilia untuk mendekati Tuah Iskandar.
            Tuah Iskandar mengeluh dan akhirnya membenarkan Lilia membonceng motosikalnya. Dan sekali lagi Lilia tersenyum gembira. Tubuh Tuah Iskandar dipeluk erat dan akhirnya motosikal milik Tuah Iskandar membelah kepekatan malam itu.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memberhentikan motosikalnya di bahu jalan apabila dipinta Lilia. Berhenti saja motosikal tersebut, Lilia terus turun sambil menanggalkan topi keledar yang dipakainya. Dia kemudian berjalan sambil mendepakan tangannya. Menghirup udara malam yang segar membuatkan dia rasa begitu selesa.
            Tuah Iskandar hanya memerhatikan sikap Lilia sambil mengerutkan dahinya.
            “Kenapa suruh aku berhenti di sini?”
            Lilia menoleh ke belakang, menghadap Tuah Iskandar. Dengan senyuman yang manis dia menghampiri pemuda itu.
            “Saja,” ujar Lilia ringkas.
            “Jangan main-main. Sekarang dah lewat. Esok kan ada kuliah,”
            “Ya, aku tahu. Sekejap saja bolehkan?”
            “Kau nak apa sebenarnya?”
            “Saja nak berbual dengan kau. Dah lama tak berduaan dengan kau macam ini, Tuah,”
            “Tak de apa yang nak dibualkan. Cepat naik. Aku hantar kau balik,”
            “Tuah, kenapa kau ni sombong sangat? Aku layan kau dengan baik. Aku cuba buat kau happy,”
            “Aku tak perlukan semua itu,”
“Tapi, kenapa kau tak beri aku peluang langsung untuk buat kau gembira?”
            Tuah Iskandar diam.
            “Tuah, please bagi aku peluang…”
            Stop it, Lilia. Aku dah beritahu kau dari dulu lagi. Friend or nothing,”
            Lilia mengeluh. Sukar benar untuk dia mengubah pendirian Tuah Iskandar. Sudah lama dia memendam perasaan terhadap pemuda itu namun, Tuah Iskandar tidak pernah melayannya. Pernah dia meluahkan isi hatinya tetapi Tuah Iskandar menjawab dengan satu ayat. Kawan atau tiada apa-apa langsung. Kejamnya!
            Jadi, dengan tidak ikhlasnya dia memilih untuk berkawan. Itu lebih elok dari tiada apa-apa langsung. Sekurang-kurangnya, dengan berkawan dia masih boleh mendekati pemuda itu. Dia masih ada peluang untuk mencuri hati Tuah Iskandar.
            “Okay. aku tahu dan aku masih ingat semua tu. Tapi, sebagai kawan, aku nak buat kau gembira. Salahkah?”
            Tuah Iskandar tidak menjawab.
            “Tuah, beri aku satu peluang,”
            “Maaf, aku tak berminat,”
            Lilia merenung pemuda di hadapannya itu. Terasa hampa apabila permintaannya ditolak seratus-peratus tanpa berfikir dahulu.
            Tuah, kawan itu hanya sebagai syarat untuk aku terus mendampingi kau. Tapi, aku tak akan biarkan kau lepas pada orang lain. Aku akan pastikan kau akan jadi milik aku nanti.
            “Cepat naik kalau tak aku tinggalkan kau kat sini,”
            Lilia akhirnya mengalah.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memetik suiz lampu tidur bersebelahan dengan katilnya. Kemudian, dia merebahkan diri di atas katil. Terasa enak sekali berbaring atas tilam yang empuk. Tuah Iskandar menutup mata. Cuba untuk menikmati kedinginan malam itu.
            Dia membuka matanya semula. Dalam gelap yang hanya bercahayakan lampu tidur, dia teringatkan seseorang. Gadis bertudung itu. Satu fakulti dengan Zulkifli. Juga satu kuliah dengan rakannya itu.
            Pada mulanya dia amat marah dengan gadis itu. Walaupun pada hakikatnya dia yang melanggar gadis itu tetapi kata-kata sindiran gadis itu membuatkan dia tidak senang. Tidak pernah sesiapapun yang berani menyindir Tuah Iskandar namun, gadis itu telah melakukannya. Gadis itu berani menyindir Tuah Iskandar. Namun, pada saat itu dia tidak mampu berbicara. Dia merenung gadis itu. Ada sesuatu pada wajah gadis bertudung itu yang membuatkan dia tidak jadi marah.
            Dia mengekori gadis itu. Cuba mencari identiti gadis itu. Siapa sebenarnya gadis itu? Fakulti mana? Namun, pengamatannya jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku. Gadis itu kelihatan cuba mengelak daripada tertembung dirinya. Gadis itu kelihatan takut, tidak seperti di awal pertemuan. Kenapa? Adakah dia sudah tahu dengan nama Tuah Iskandar?
            Namun persoalan itu di biarkan saja dan dia terus memerhatikan gadis itu. 
            Tiada banyak yang dia tahu melainkan namanya…Hani
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Kelihatan gadis itu terperanjat mendengar apa yang telah diucapkan. Ya, memang patut gadis tu memberi reaksi sedemikian. Mana tidaknya, mereka tidak pernah bertemu, berkenalan pun tidak. Tiba-tiba saja Tuah Iskandar meluahkan perasaan. Walaupun dengan cara agak kasar dan lari dari landasan yang sebenar, namun dia ikhlas.
Tuah Iskandar jatuh cinta?
            Sukar untuk di percayai. Lelaki seperti Tuah Iskandar yang selama ini bagaikan tidak memerlukan seorang wanita dalam hidupnya akhirnya jatuh cinta pada seorang gadis? Lebih-lebih lagi gadis bertudung?
            Tetapi bagi Tuah Iskandar, dia memang betul-betul menyukai gadis itu. Jangan tanyakan kenapa kerana dia tidak ada jawapannya. Yang dia tahu, tidak perlu ada sebab untuk menyukai seseorang. Tetapi, kenapa gadis itu?
            Selama ini, berderet gadis yang mengejar Tuah Iskandar. Petik jari, pasti ramai yang sudikan diri. Semuanya seksi-seksi, cantik-cantik, putih gebu, manja…namun, gadis bertudung itu juga pilihan Tuah Iskandar. Gadis yang biasa saja gayanya namun comel di mata Tuah Iskandar.
            Ada sesuatu pada gadis itu yang berjaya membuka hati seorang gangster.
            Namun, bagaimana penerimaan gadis itu terhadap perasaannya?
            Tuah Iskandar mengeluh.

Tuesday, August 27, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)
 
BAB 5
                        Bunyi telefon bimbit mematikan langkahnya yang sedang menuju ke kafetaria. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya. Nama yang tertara di skrin membuatkan dia mengeluh.
            “Hello,” dengan malas, Tuah Iskandar menjawab juga panggilan tersebut.
            “Hai Tuah,” sapa Lilia girang.
            “Kau nak apa?”
            “Kau tengah buat apa tu?”
            “Tak penting untuk kau tahu,”
            Kedengaran Lilia mendegus kasar.
            “Kau nak apa call aku?” tanya Tuah Iskandar untuk kali ke dua. Biasanya dengan Lilia dia akan straight to the point. Dia malas hendak melayan kerenah Lilia.
            “Jom kita keluar malam ni,” ajak Lilia. Suaranya masih kedengaran girang. Entah betul atau pura-pura.
            “Aku tak senang,”
            “Malam ni kan ada game,”
            “Kojek tak cakap apa-apa pun dengan aku,”
            “Kojek yang beritahu aku,”
            “Aku hanya akan datang kalau Kojek yang hubungi aku,”
            Lilia mendegus lagi. Nampaknya Tuah Iskandar tidak percayai dengan cerita yang sengaja direka. Sengaja dia berbuat begitu untuk keluar dengan Tuah Iskandar tetapi nampaknya pemuda itu masih dengan sikap sombongnya.
            “Kalau tak ada apa-apa, aku off dulu,”
            Tuah Iskandar akhirnya mematikan talian tanpa menunggu bicara selanjutnya dari Lilia.
            Seketika Tuah Iskandar bersandar di dinding bangunan akedemi. Matanya dipejam. Otaknya berputar ligat memikirkan arah perjalanan hidupnya yang terumbang ambing tidak menentu. Entah kenapa dia rasakan hidupnya sudah terpesong, bukan pada landasan yang betul tetapi dia tidak tahu. Tidak tahu bagaimana untuk kembali kerana semuanya berserabut!
            Lilia. Gadis itu sering mengganggu hidupnya. Semua gadis itu lakukan untuk menarik perhatiannya namun sedikitpun tidak dilayan. Dia bukan bodoh dan buta. Dia tahu Lilia lakukan semua untuk menakluki hatinya. Dia tahu gadis itu menyimpan perasaan padanya. Namun, hatinya kosong. Tiada perasaan yang terbit saat melihat gadis itu apatah lagi perasaan yang di namakan cinta. Dia akui Lilia mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang gadis tetapi…dia tidak pernah jatuh hati.
            Bayangan Lilia di ganti dengan wajah seseorang. Wajah yang manis bertudung mampu menarik perhatiannya. Kemarahan yang wujud di awal pertemua mereka terus hilang saat pandangan mata mereka bertemu. Gadis yang kelihatan biasa itu bagaikan mempunyai kuasa yang mampu memadamkan amarahnya serta menerbitkan satu perasaan dalam dirinya.
            Perasaan itu sungguh aneh!
            Ya…amat aneh!
            Tuah Iskandar membuka matanya perlahan. Cuba untuk menidakkan perasaan aneh itu dari terus menyusup dalam hatinya. Pantas kakinya dihayun. Namun, baru beberapa tapak dia melangkah, matanya terpandangkan seseorang.
            Hani!
            Tuah Iskandar melangkah mendekati gadis itu. Perlahan saja langkahnya. Kelihatan gadis itu sedang berjalan berseorangan. Mulut gadis itu terkumat kamit membaca sesuatu. Sikap pelik Hani membuatkan Tuah Iskandar mengerutkan dahinya.
            Baca doa ke budak ni?
            Tuah Iskandar kini berdiri betul-betul di hadapan Hani. Hani yang jalan menunduk itu tidak sedar akan kehadiran Tuah Iskandar. Hanya beberapa langkah saja mereka akan bertembung.
            Satu…dua…tiga…
            Hani terlanggar Tuah Iskandar yang berada di hadapannya.
            “Erk..maaf. Maafkan saya. Saya tak sengaja,” pantas Hani bersuara seraya mengangkat wajahnya.
            Bulat mata Hani apabila melihat Tuah Iskandar berdiri di hadapannya. Seketika dia kaku di situ, memandang Tuah Iskandar tanpa berkelip-kelip
            Tuah Iskandar mengeluarkan telefon bimbitnya lalu diangkat selaras dengan wajah Hani.
            Klik!
            Sekeping gambar Hani ditangkap.
            Seketika Hani tersedar. Pantas dia berpusing ke belakang lalu melarikan diri. Entah macam mana nasibnya kurang baik. Dia terpijak kainnya yang sedikit labuh. Apalagi, jatuh berdebuk dia di situ macam nangka busuk.
            Tuah Iskandar terkejut melihat situasi itu. Dia cuba untuk membantu. Namun, kelihatan Hani segera berdiri dan terus menghilangkan diri. Tuah Iskandar mengerutkan dahinya dan tidak lama kemudian bibirnya mengukir senyum.
                                                                        **********
            Hani segera menutup pintu biliknya. Seketika dia bersandar di balik pintu nafasnya turun naik bagaikan penjahat yang melarikan diri dari pihak polis.
            Aduh! Kenapa boleh jadi macam ini? Macam mana dia boleh terserempak dengan Tuah Iskandar ? Macam mana dia boleh tidak sedar yang Tuah Iskandar berada betul-betul di hadapannya?
            Gila! Memang hari ini hari malang bagi dirinya. Setelah sekian lama dia cuba sedaya upaya menghindarkan diri dengan pemuda itu namun hari ini mereka tertembung pula. Nampaknya, Tuah Iskandar memang tidak melupakan perlanggaran antara mereka. Memang Tuah Iskandar mahu melancarkan perang. Memang Tuah Iskandar mahu menjadikan dia target seterusnya hanya kerana kesalahan kecil yang dia lakukan.
            Kesalahan kecil? Tidak! Bukan dia yang bersalah. Pemuda itu yang bersalah. Tetapi dia sanggup meminta maaf jika Tuah Iskandar melepaskannya.
            Hani memejamkan matanya. Masih terbayang peristiwa beberapa minit yang lalu. Wajah Tuah Iskandar begitu rapat dengannya. Tatkala itu, jantungnya berdegup kencang saat terpandang renungan tajam pemuda itu.
            Dan…yang paling dia tidak boleh lupa, macam mana dia boleh terjatuh di hadapan pemuda itu? Malu betul! Entah apa yang difikirkan Tuah Iskandar tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu. Cuma, dia berharap setelah melihat keadaan dirinya, Tuah Iskandar akan bersimpati dan akhirnya melupakan semuanya.
            Hani ingin bebas. Dia ingin melepaskan diri dari pemuda itu. Dia tak mahu ada sebarang kaitan dengan Tuah Iskandar.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar membelek-belek telefon bimbitnya. Gambar yang baru ditangkap beberapa minit yang lalu membuatkan dia tersenyum. Gambar seorang gadis bertudung dengan mata yang bulat serta mulut yang sedikit terlopong membuatkan senyumannya meleret.
            Kelakar betul apabila mengenangkan gadis itu. Sama sekali dia tidak menduga sehingga begitu sekali gadis itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Sehingga begitu sekali gadis itu takut kepadanya.
            Namun, apa yang telah berlaku membuatkan dia terhibur. Bukan kerana melihat gadis itu takut akan dirinya tetapi terhibur dengan wajah comel itu, gayanya yang ringkas serta matanya yang seakan mempunyai sinar ketenangan.
            Tiba-tiba perasaan aneh itu datang menerjah ruang hatinya yang kosong. Perasaan aneh itu bagaikan menyuntik semangat dalam dirinya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
            Tetapi bagaimana?
            Zulkifli yang sedang menjamu makanan mengerling sahabat yang duduk di hadapannya. Makanan Tuah Iskandar masih belum dijamah sebaliknya pemuda itu asyik membelek-belek telefon bimbitnya. Entah apa ang dibuat pemuda itu, dia tidak pasti.
            Namun, Zulkifli terlihat sebuah senyuman terukir di bibir Tuah Iskandar. Seketika Zulkifli mengerutkan dahinya. Tuah Iskandar tersenyum? Bukan senang hendak lihat Tuah Iskandar tersenyum. Apa yang membuatkan pemuda itu tersenyum agknya.
            “Kau tengok apa tu?” tanya Zulkifli benar-benar ingin tahu.
            “Ha?” Tuah Iskandar terpinga-pinga seketika.
            “Apa yang kau tengok dalam telefon bimbit tu?”
            “Tak ada apa-apa,” balas Tuah Iskandar seraya menutup telefon bimbitnya. Wajahnya kembali serius. Senyuman yang terukir sebentar tadi hilang.
            “Ada perkara baik ke?” tanya Zulkifli lagi. Teringin benar untuk mengatahui apa yang menyebabkan Tuah Iskandar mampu mengukir senyuman.
            Nothing,” balas Tuah Iskandar pendek.
            Zulkifli tidak lagi bertanya apabila Tuah Iskandar seperti tidak mahu berkongsi cerita. Namun dia dapat rasakan seperti ada sesuatu yang menggembirakan hati rakannya itu.
            Zulkifli mengerling seketika ke arah Tuah Iskandar. Pemuda itu tersenyum lagi sebelum menyua makanan ke dalam mulutnya.
                                                                                    **********
            Telefon bimbit yang berbunyi membuatkan Hani yang sedang tekun belajar, tersentak. Dia mengurut-urut dadanya sebelum mencapai telefon bimbit itu. Nama yang terpapar di skrin membuatkan dia berfikir samada untuk menjawab ataupun sebaliknya.
            Belum sempat dia membuat keputusan, deringan telefon itu terhenti. Hani menarik nafas lega sambil mengharapkan si pemanggil tidak membuat panggilan untuk kali ke dua. Namun, tidak sampai seminit, ia berbunyi kembali. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya Hani mengambil keputusan untuk menjawab sahaja. Orang berbuat baik, kenapa mesti kita membalas dengan kesombongan?
            “Assalamualaikum, Hani,”
            Hani menjawab salam sambil bertanya khabar.
            “Abang sihat. Hani bagaimana?”
            “Hani sihat saja. Abang kat mana ni?”
            “Abang kat kampung. Tadi singgah rumah Hani. Tengok-tengok mak cik dan pak cik,”
            “Oh, abang pergi rumah Hani tadi? Ayah dengan mak sihat?”
            “Sihat Alhamdulillah,”
            Hani tersenyum. Wajah ibu dan ayahnya terpapar di hadapan matanya. Tiba-tiba rindunya menebal pada kampung halaman. Bilalah agaknya dia dapat balik ke kampung?
            “Abang nak beritahu Hani yang abang kena transfer kerja di KL,”
            “Abang bertukar ke Kuala Lumpur? Bila?”
            “Bulan depan,”
            “Oh tahniah,”
            Hani mengukir satu senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Dia sendiri tidak tahu kenapa seperti ada satu perasaan yang tidak mengizinkan Halim datang ke Kuala Lumpur. Ada satu perasaan yang berat untuk bersemuka dengan Halim.
            Kenapa?
            Mungkinkah kerana ungkapan yang pernah Halim ucapkan suatu ketika dulu?
            “Abang sukakan Hani,”
            Masih terngiang-ngiang di telinganya saat Halim meluahkan perasaannya. Semestinya dia terkejut kerana dia menganggap Halim seperti abang kandungnya sendiri. Halim merupakan anak angkat emak. Halim memang rapat dengan keluarga Hani. Sebab itu tidak terfikir langsung di fikirannya untuk menyukai Halim lebih dari seorang abang. Apatah lagi saat itu dia sedang hangat bercinta dengan Fahmi.
            “Maafkan abang kalau Hani tak suka dengan pengakuan abang ni. Harap Hani lupakan saja apa yang abang dah cakap ni,”
            Kata Halim apabila melihat Hani hanya diam tak bersuara.
            “Hani menganggap abang macam abang kandung Hani,” jawapan yang selamat. Penolakan yang lembut tetapi penuh dengan alasan yang teramat kukuh.
            Saat itu Halim tunduk menyebabkan Hani rasa bersalah kerana mengecewakan seorang lelaki yang baik seperti Halim. Namun, hati tak mungkin dapat dipaksa. Hani sayangkan Fahmi.
            Namun, tidak lama kemudian, Halim mengangkat mukanya sambil tersenyum. Berbeza benar wajahnya berbanding beberapa saat yang lepas. Dengan senyuman yang terukir di bibirnya, Halim berkata.
            “Maafkan abang. Lupakan apa yang abang cakap tadi. Hmm, boleh abang anggap Hani macam adik kandung abang?”
            Hani benar-benar tidak tahu adakah Halim ikhlas ataupun sedang memujuk diri sendiri lantaran hasratnya ditolak. Namun, Hani tiada pilihan lain. Jika dia menganggap Halim seperti abang kandung, tidak salah jika Halim menganggap dirinya seperti adik kandung. Mungkin itu yang terbaik buat mereka. Dan sehingga saat ini, setelah dia sudah berpisah dengan Fahmi pun, Halim masih mengambil berat atas dirinya membuatkan Hani adakalanya curiga. Benarkah Halim menganggapnya seperti adik kandung? Atau Halim masih menanti dirinya?
            Namun, Hani cuba beranggapan baik kerana sejak Hani menolak lembut perasaan Halim, Halim tidak pernah sekalipun berbicara soal perasaan. Meskipun Halim tahu Hani sudah berpisah dengan Fahmi. Mungkin Halim benar-benar mengotakan janjinya, menganggap dia seperti adik kandung ataupun Halim sudah mempunyai teman istimewa.
            Halim lelaki yang baik. Moga yang baik-baik sahaja terjadi dalam hidup pemuda itu.
            “Hani,”
            Semua kenangan serta merta hilang apabila suara Halim menerjah gegendang telinganya. Seketika baru dia tersedar yang dia masih lagi sedang berbicara dengan Halim di talian.
            “Er..ya. Hani ada di sini,”
            “Okaylah Hani. Abang harap, bila dapat bertukar ke KL nanti, dapatlah abang jumpa Hani,”
            “Erk..okay,”
            Tidak lama kemudian, talian di matikan. Hani meletakkan telefon bimbit di sisinya. Kemudian dia termenung. Wajah Halim terpapar di mindanya. Ah, kenapa perasaan ini berat untuk menerima kehadirannya. Halim seorang lelaki yang baik. Mempunyai ciri-ciri suami yang soleh. Keluarga Halim pun datang daripada keturunan baik-baik. Dan dia sendiri mengakui bertuahnya perempuan yang dapat menjadi isteri Halim. Namun…
            Cinta itu tak boleh dipaksa.
            Ia akan datang, apabila sampai waktunya.
            Kita tak perlu mencari, ia akan datang sendiri.
            Dengan siapa, kita tidak pernah tahu
            Mungkin cinta itu masih jauh dari kita
            Ataupun ianya begitu hampir dengan kita
            Namun, kita tak sedar kerana
            Cinta itu tidak siapa yang tahu bila saat dan waktunya.
                                                                        **********
            Sudah hampir dua minggu peristiwa tertembung Tuah Iskandar itu berlalu. Maka, sudah hampir dua minggu jugalah Hani berkelakuan seperti orang bodoh. Setiap kali dia terserempak dengan Tuah Iskandar, dia pasti akan melarikan diri. Dia benar-benar yakin Tuah Iskandar mengenalinya kerana setiap kali mereka bertemu, pasti pemuda itu merenung tepat ke arahnya. Dia pasti!
            Namun, sudah dua minggu jugalah tiada apa-apa perkara yang berlaku. Tiada sebarang serangan dan dendam yang di tunjukkan oleh Tuah Iskandar kepadanya. Kenapa? Adakah Tuah Iskandar menganggap perlanggaran itu perkara biasa yang tidak di sengajakan? Ataupun Tuah Iskandar tak mahu melancarkan serangan setelah melihat dia berada dalam ketakutan selama ini? Iyalah..setiap kali terlihat Tuah Iskandar dia akan menikus, bersembunyi di sebalik Julia dan Syasya. Kemudian, dia berusaha mencari jalan lain supaya tidak melintasi Tuah Iskandar yang sibuk berbual-bual dengan rakan-rakannya. Dan pernah juga dia terjatuh ke dalam longkang semata-mata ingin lari dari Tuah Iskandar. Mungkin kerana itu, Tuah Iskandar tidak jadi untuk melancarkan serangan.
            Ataupun, Tuah Iskandar tidak membuli kaum perempuan? Lebih-lebih lagi perempuan yang comel sepertinya? Tiba-tiba Hani tertawa dengan andaian yang diciptanya sendiri.
            Comel sangatlah tu!
            Ah! Lupakanlah tentang pemuda itu. Buat penat saja selama ini dia melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Lebih baik dia berlagak biasa saja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin pemuda itu pun sudah melupakannya.
            “Hani, kau baliklah dulu. Aku ada perjumpaan kumpulan,” ujar Julia sambil mengemas nota yang disalin semasa kuliah tadi dan dimasukkan ke dalam fail.
            “Aku pun ada perjumpaan kumpulan,” ujar Syasya pula.
            “Kau orang berdua ada perjumpaan kumpulan?”
            “Ya. Minggu depan kan ada presentation kumpulan. Kumpulan kau tak buat discussion ke?”
            “Kumpulan aku berkumpul malam ni,”
            “Oh, kalau macam tu, jumpa petang nantilah,”
            Julia dan Syasya terus menuju ke kumpulan masing-masing di mana perbincangan berkumpulan akan di adakan bagi tugasan yang diberikan oleh Prof. Baha sebentar tadi.
            Lambat-lambat Hani mengemas nota-notanya. Dengan perasaan malas, dia bangun dari duduknya dan keluar dari dewan kuliah yang sederhana besar. Langkahnya menuju ke kafeteria. Niatnya hanya untuk membungkus makanan untuk di bawa ke bilik. Malas untuk makan di kafeteria memandangkan dia hanya berseorangan. Tiada teman untuk bersembang.
            Dalam berjalan berseorangan, mindanya sempat menerawang mengingatkan Halim. Lagi dua minggu saja lagi Halim akan bertukar ke Kuala lumpur. Ini bermaksud, jarak antara mereka tidaklah jauh sangat. Memandangkan Halim sudah bekerja, pasti tiada masalah untuk pemuda itu datang ke Kolej Putra. Tiada masalah dari segi masa, kewangan dan sebagainya.
            Aduh! Bagaimana ni? Dia tak mampu untuk mengelakkan diri. Untuk menerima, dia benar-benar di landa rasa bersalah. Tetapi, tidak adillah jika dia berkelakuan sebegini andai Halim benar-benar ikhlas. Tiada niat lain selain menganggap dirinya sebagai adik.
            Ah! Hani. Kau ni suka berfikiran jauh. Tak perlu difikirkan sangat. Tak payah nak pening-peningkan kepala memikirkan perkara yang belum tentu betul atau tidak.
            Tiba-tiba Hani terpandangkan seseorang. Seseorang yang sejak akhir-akhir ini kerap memerhatikannya. Tiba-tiba Hani menjadi gabra. Terus langkahnya sumbang. Cepat-cepat dia mencari jalan alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada Tuah Iskandar. Meskipun berkali-kali menasihati diri sendiri untuk bersikap biasa namun renungan Tuah Iskandar membuatkan dia kecut perut. Mana mungkin dia tidak takut, gangster Kuala Lumpur sedang memerhatikan seorang perempuan comel. Oh!
            Sampai di satu penjuru, Hani bersandar di dinding. Nafasnya turun naik akibat kepenatan melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Persis berlari pecut 100 meter walhal hanya berjalan tidak sampai 10 meter. Namun, penangan Tuah Iskandar ternyata berbahaya.
            Hani menjegulkan kepalanya keluar. Ke kiri ke kanan dia menoleh namun bayangan pemuda itu sudah tidak kelihatan. Hani menarik nafas lega. Setelah melihat keadaan selamat, dia keluar dari persembunyiannya. Namun, baru saja dia menapak selangkah, tiba-tiba tangannya ditarik dari belakang. Kuat menyebabkan Hani terdorong ke belakang dan serentak dengan itu, tubuhnya ditolak ke dinding. Hani tersandar pada dinding batu itu.
            Bulat mata Hani memandang pemuda di hadapannya. Menggigil kepala lututnya saat terlihat pemuda itu. Pemuda itu benar-benar berada di hadapannya. Sebelah tangan pemuda itu diletakkan di dinding, menghalang Hani dari berganjak dari situ.
            Ya! Pemuda yang sering merenung tajam dirinya dari jauh kini berada benar-benar di hadapannya yang jarak antara mereka tidak sampai sejengkal.
            Dan kini..pemuda itu merenung ke arahnya seperti selalu cuma kali ini..renungan pemuda itu sangat dekat. Hanya sejengkal sahaja jarak di antara wajah pemuda itu dengan wajahnya. Benar-benar dekat sehinggakan dia dapat merasa bahang hela nafas pemuda itu.
            Renungan pemuda itu terus ke arah matanya. Tepat hinggakan dia merasa tidak selesa. Sangat tidak selesa. Hani ketakutan. Namun, entah kenapa dia tidak cuba untuk melepaskan diri. Ketakutan yang teramat sangat membuatkan dia kaku.
            “Ada sesuatu yang aku nak cakap dengan kau,” pemuda itu bersuara. Garau dan tegas. Memang memenuhi ciri-ciri seorang samseng yang amat digeruni.
            “Erk..cakap dengan saya? Tentang apa?” Hani cuba memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hatinya cuba meneka apa yang ingin di perkatakan oleh pemuda itu. Pasti tentang perlanggaran yang lepas dan juga kata-kara sinis yang dihamburkan kepada Tuah Iskandar suatu masa dahulu.
            Apa lagi yang menghubungkan dia dengan pemuda itu selain perlanggaran yang berlaku di awal pertemuan mereka? Ternyata Tuah Iskandar masih mengingati semuanya sedangkan dia amat berharap pemuda itu sudah melupakan.
            Ah! Jika Tuah Iskandar ingin dia memohon maaf, dia akan lakukan asalkan dia tidak berhadapan dengan pemuda itu seperti saat ini.
            “Tentang cinta,”
            Sebaris kata Tuah Iskandar membuatkan Hani terdiam. Tentang cinta? Cinta apa? Siapa yang bercinta? Tentang cinta siapa? Cinta antara siapa dengan siapa? Dan kenapa tentang cinta perlu dibicarakan dengan dirinya?
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Hani terlopong.
            “Aku beri kau masa,” ujar Tuah Iskandar. Matanya tak lekang dari merenung ke anak mata Hani. Hani bagaikan terkena renjatan elektrik apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar, bagaikan mahu pengsan. Antara percaya dan tidak.
            Tuah Iskandar mengangkat tangannya dari dinding lalu berdiri di hadapan Hani. Berpeluk tubuh.
            “Sampai masanya, aku nakkan jawapan dari kau,” ujar Tuah Iskandar lagi lalu terus berlalu meninggalkan Hani.
            Hani masih bersandar di dinding, tidak berganjak. Matanya tidak berkelip-kelip. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Sekelip mata bagaikan selaju cahaya, Tuah Iskandar membicarakan tentang cinta. Dan Hani benar-benar tidak faham kenapa mesti dia?
            Adakah kerana Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memainkan perasaannya? Atau Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memalukan dirinya nanti?
            Hani bingung.

Monday, August 26, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 4)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 4)
 


BAB 4


            “Pukul berapa game start?” tanya Tuah Iskandar sambil menghembuskan asap rokok ke udara. Asap rokok bagaikan membentuk awan dan akhirnya hilang ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

            Zulkifli melirik ke arah rakannya.

“Aku betul- betul tak faham dengan kau ni, Tuah. Apa yang kau nak sebenarnya?”

            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya menyedut lagi rokok dan sekali lagi menghembuskan asap yang berbahaya ke persekitaran.

            “Kenapa kau join game tu? Nak kata kau nakkan duit, tidak. Family kau kaya raya. Tujuh keturunan pun tak terhabis harta benda keluarga kau,”

            Sekali lagi Tuah Iskandar tidak menjawab. Hanya diam seribu bahasa. Di biarkan sahaja rakannya Zulkifli membuat andaian sendiri. Mungkin Zulkifli tidak faham atau pemuda itu buat-buat tidak faham. Bukan Zulkifli tidak mengenali dirinya. Mereka sudah berkawan lama. Walaupun Zulkifli baru tahun pertama di Kolej Putra namun mereka sudah kenal sejak sekolah menengah lagi. Masakan Zulkifli tidak tahu kenapa dia lakukan semua ini.

            “Jangan beritahu aku, kau buat semua ni sebab nakkan perempuan,”

            Kali ini Tuah Iskandar terus menoleh. Dia tidak senang dengan andaian yang baru saja di buat Zulkifli.

            “Kau kenal aku Zul,”

            “Sebab aku kenal engkaulah, aku tak faham dengan kau. Tuah, kau ada segala-galanya. Jadi, kenapa masih nak join geng-geng samseng tu? Kenapa masih nak berlumba sana berlumba sini? Kenapa masih nak clubbing? Bercampur dengan orang-orang yang dah rosak akhlaknya?”

            Tuah Iskandar diam lagi. Pandangannya di hala pada skrin televisyen yang menyiarkan cerita yang langsung tidak menarik minatnya.

            “Tuah, orang lain semua cemburukan kau. Kau ada semuanya. Kau boleh buat apa saja tapi kenapa jalan ni yang kau pilih? Kenapa kau nak merosakkan masa depan kau?”

            Diam lagi.

            “Huh! Aku betul-betul tak faham dengan kau,”

            “Mungkin kau terlupa sesuatu, Zul,”

            Zulkifli terus menoleh ke arah Tuah Iskandar. Wajah redup pemuda itu ditenung lama. Ternyata Tuah Iskandar sedang memendam sesuatu. Pemuda yang kacak, digilai ramai, kaya raya..tak mungkin akan berada dalam keadaan bermuram durja.

            Family kau?” tanya Zulkifli pendek. Seakan memahami apa yang bermain di fikiran rakannya itu.

            Tuah Iskandar diam tidak bersuara. Zulkifli mengeluh.

            Come on tuah. Papa kau dato’, mama kau datin. Memang mereka sibuk sampai mengabaikan kau. Mereka memang tak ada masa untuk di habiskan bersama kau. Tapi, kau dah besar. Dah boleh fikir sendiri. Tak perlu lagi pengawasan dari ibu bapa,” ujar Zulkifli cuba memberi nasihat.

            “Aku akui memang kita perlukan perhatian tetapi kalau begini cara papa dan mama kau, kau boleh bergerak sendiri. Kau bukannya budak kecil yang perlu dipimpin untuk melangkah. Jangan kerana ketiadaan perhatian daripada mereka, kau binasakan diri kau sendiri,” sambung Zulkifli lagi. Sungguh dia tidak mahu melihat Tuah Iskandar hanyut dalam kehidupan.

            Tuah Iskandar mengeluh kecil.

            “Kau tak faham,” keluh Tuah Iskandar.

            “Apa yang aku tak faham?”

            “Memang aku boleh terima kesibukan papa dan mama aku tapi…”

            Tuah Iskandar terhenti seketika dan Zulkifli diam menanti bicara selanjutnya dari rakannya itu.

            “Kau tak tahu bagaimana keadaan rumah itu. Aku bangun tidur, mereka masih belum bangun. Aku balik dari kolej, mereka masih belum balik. Hanya waktu malam aku dapat berjumpa mereka tetapi…balik-balik saja sudah bergaduh. Terpekik sana, terjerit sini. Aku sedih bila menyaksikan pergaduhan papa dan mama aku hampir setiap  malam. Rumah tu dah tak aman lagi bagi aku,”

            Zulkifli terdiam mendengar cerita Tuah Iskandar. Jarang benar Tuah Iskandar meluahkan perasaan yang terbuku di hati kerana pemuda itu seorang yang suka memendam perasaannya tetapi malam ini..

            Patutlah Tuah Iskandar lebih gemar melepak di rumah sewanya. Rumah teres setingkat yang serba serbi tidak mencukupi. Rumah yang bersepah sana sini menjadi pilihan Tuah Iskandar berbanding villa mewah milik keluarganya. Rupa-rupanya, ada cerita di sebalik apa yang tejadi.

            “Papa dan mama aku kerap bertengkar. Tentang apa, aku sendiri malas ambil tahu,”

            “Tapi, bukan dengan cara ini kau nak selesaikan masalah. Bukan dengan berkawan dengan budak-budak samseng tu. Kau kenalkan siapa mereka? Kau tahukan si Kojek tu? Dia orang tu samseng di KL ni tahu,”

            “Aku tahu,”

            So?,”

            Tuah Iskandar mendegus kasar.

            “Entahlah..mungkin kerana aku berasa tenang setiap kali bersama mereka. Hilang semua masalah yang ada dalam kepala aku ni,”

            Zulkifli menggeleng.

            “Tuah..”

            Stop Zul! Kalau kau nak nasihatkan aku, aku rasa better next time sebab aku tak mungkin akan ikut cakap kau dalam waktu sekarang ini,”

            “Tapi..”

            “Dahlah. Aku nak pergi mandi. Badan aku dah melekit ni,” ujar Tuah Iskandar lalu bangun dari duduknya. Tangannya terus mencapai tuala yang tergantung di atas kerusi manakala langkahnya dihayun ke arah bilik air yang terdapat di dapur.

            Dalam waktu itu, tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Gadis genit bertudung itu sering bersembunyi apabila terserempak dengannya. Dia juga teringat akan kali pertama mereka bertemu.

            Hani.

            Hanya itu saja yang dia tahu tentang gadis bertudung itu.

            Hanya sebaris nama.

                                                                        **********

            Suasana hingar bingar. Bising. Sorakan orang ramai di selang seli dengan bunyi enjin motosikal membingitkan lagi suasana malam itu. Ngauman enjin motor berderum menandakan pemilik motoriskal sudah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan. Hanya menanti isyarat sahaja sebelum terus memecut untuk menggondol hadiah yang lumayan.

            Seorang gadis seksi, berbaju ketat dan memakai skirt pendek muncul di tengah-tengah pelumba. Dengan aksi yang tergedik-gedik, gadis itu mengangkat berdera untuk memulakan perlumbaan.

            Go!” jerit gadis seksi itu sambil mengibarkan bendera.

            Sekelip mata sahaja, kesemua pelumba sudah menghilangkan diri bersama pecutan motosikal di tahap yang paling maksima. Maka, berlakulah aksi-aksi perlumbaan di jalan raya yang merbahaya. Saat ini, mereka sudah tidak memikirkan keselamatan diri. Hanya kemenangan yang dicari. Tidak kira dengan apa cara sekalipun.

            Orang ramai yang berkumpul di tempat permulaan mula terjerit-jerit apabila ternampak kelibat motosikal yang pertama menghampiri garisan penamat.

            “Cepat! Cepat!” sorakan orang ramai semakin membingitkan.

            “Yeah!”

            Orang ramai tadinya bersorak terus menggerumuni pelumba yang telah memenangi perlumbaan malam itu. Masing-masing menepuk bahu si pelumba sambil mengucapkan tahniah. Tak kurang juga yang asyik memerhati motosikal milik sang juara. Motosikal yang di anggap bertuah kerana kerap kali memenangi perlumbaan.

            Laluan diberi apabila seorang lelaki berkumis nipis, berambut keperangan datang menghampiri mereka. Persis seorang bos besar yang amat di takuti, semua orang terdiam. Lelaki itu tersenyum apabila sudah berdiri betul-betul di hadapan si juara.

            “Tahniah, Tuah Iskandar,” ujar Kojek, ketua samseng Kuala Lumpur yang amat di geruni.

            Tuah Iskandar tersenyum nipis.

            “Nah, ini ganjaran kau,” ujar Kojek seraya menghulurkan satu sampul surat bewarna coklat kepada Tuah Iskandar.

            Tuah Iskandar memandang sampul yang tebal itu dan kemudian mengalihkan pandangannya pada Kojek. Kojek tersenyum apabila melihat reaksi Tuah Iskandar. Sememangnya dia tahu apa yang bermain di fikiran anak muda itu.

            Kojek mencapai tangan Tuah Iskandar lalu meletakkan sampul surat berisi ganjaran ke tapak tangan pemuda itu apabila melihat Tuah Iskandar masih berdiam tidak berganjak.

            “Aku tahu kau tak perlukan duit tapi..aku tak akan mungkir janji kepada pelumba aku. Aku tetap akan berikan habuan kepada kau kerana kau betul-betul dah menguntungkan aku,” ujar Kojek dan sampul berisi ganjaran itu bertukar tangan.

            “Aku berlumba bukan untuk kau,” tukas Tuah Iskandar.

            “Ya, aku tahu. Kau berlumba untuk diri sendiri tetapi kau jangan lupa. Kau berlumba di atas nama aku. Kalau bukan kerana aku, kau takkan dapat masuk perlumbaan ni,”

            Tuah Iskandar diam.

            “Kau sepatutnya berterima kasih pada aku kerana terima kau, Tuah. Bukan mudah mana-mana pelumba untuk berada di bawah Kojek. Tapi aku pilih kau. Kau tahu kenapa?”

            Diam lagi.

            “Sebab aku tahu kau berbakat,”

            Tuah Iskandar hanya mendengar sahaja. Tidak bersuara apa-apa. Memang benar dia dapat memasuki perlumbaan ini kerana Kojek. Bukan mudah untuk memasuki perlumbaan besar yang melibatkan samseng-samseng Kuala Lumpur. Tetapi, perkenalan singkat antara dia dan Kojek di salah sebuah kelab malam terkemuka ibu kota membuatkan dia bersetuju berlumba di bawah Kojek.

            “Itu,” Kojek memuncungkan mulutkan menunjukkan sesuatu. Tuah Iskandar berpaling. Kelihatan seorang gadis yang berpakaian seksi sedang tersenyum sambil melambai-lambai ke arahnya.

            “Satu lagi habuan kau,” Kojek tersengih.

            Tuah Iskandar kembali memandang ke arah Kojek. Pandangan yang tenang tetapi membawa maksud yang sangat di fahami Kojek. Kojek tertawa.

            “Ops, aku lupa. Tuah Iskandar tak main perempuan,” ejek Kojek lagi sambil tertawa berdekah-dekah.

            Tuah Iskandar tetap tidak berkata apa-apa.

            “Okaylah. Aku dah bagi. Terpulang pada kau nak buat apa. Tapi jangan bagi aku sebab aku tak suka bohsia,” bisik Kojek lagi sambil berlalu meninggalkannya.

            Tuah Iskandar mengeluh kecil. Kemudian, dia menghidupkan enjin motosikalnya. Baru saja dia hendak pergi dari situ, seseorang menghampirinya.

            “Tuah,”

            Tuah Iskandar berpaling. Seorang gadis yang berpakaian sendat melangkah ke arahnya. Tuah Iskandar menanti seketika.

            “Kenapa?” tanya Tuah Iskandar kepada Lilia. Gadis yang di kenali semasa di kelab malam. Gadis yang merupakan pelajar di salah sebuah kolej swasta dan juga merupakan salah seorang ahli kumpulan Kojek.

            “Kau nak balik?”

            “Ya,”

            “Boleh hantarkan aku balik?”

            “Macam mana kau datang?”

            “Kojek,”

            So, baliklah dengan Kojek,”

            “Kojek ada hal lepas ni. Dia balik lambat. Aku nak balik awal sikit. Esok ada kuliah,”

            Tuah Iskandar merenung ke arah Lilia. Gadis yang dua tahun lebih muda daripadanya itu kelihatan bersungguh-sungguh meminta pertolongan.

            Please,”

            Tuah Iskandar mengeluh.

            “Naiklah,”

            Tuah Iskandar akhirnya mengalah. Lilia terus membonceng motosikal Tuah Iskandar dan memeluk erat pinggang pemuda itu. Gadis itu kemudian tersenyum-senyum. Gembira kerana berjaya berduaan dengan pemuda yang dipuja dalam diam.