My Novel

Sunday, September 29, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 14)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 14)
BAB 14
            Tuah Iskandar melangkah perlahan menuju ke kedai telefon yang terletak di pusat membeli belah Sunway Piramid. Dia ingin menukar telefon bimbitnya yang akhir-akhir ini kerap bermasalah.         Baru saja Tuah Iskandar hendak menapak masuk ke dalam kedai tersebut, telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dijawab meskipun dia kurang senang dengan si pemanggil.
            “Hai, Tuah,” sapa suara di hujung talian. Manja, sepeti selalu.
            “Kau nak apa?” tidak sesekali dia tergoda dengan kemanjaan yang di pamerkan Lilia.
            Nothing. Cuma nak ajak kau keluar sekarang ni. Kita jalan-jalan nak?”
            Sorry, aku sibuk sekarang,”
            “Hmm..kalau malam ni? Kita pergi clubbing?”
            “Maaf, aku tak berminat,”
            “Tuah,”
            “Lilia, aku tak berminat dengan perlawaan kau. Ada apa-apa lagi?”
            “Erk..”
            “Kalau tak ada apa-apa, aku out dulu,”
            Segera talian di matikan. Tanpa memikirkan si pemanggil, Tuah Iskandar terus masuk ke kedai Samsung.
            Saat dia melangkah keluar dari kedai tersebut, tiba-tiba matanya terlihat satu pasangan yang sangat mesra. Kelihatan si perempuan itu memegang erat tangan pasangannya sambil tersenyum manja. Walaupun kelihatan umur perempuan itu jauh lebih muda dari pasangannya namun, mereka tidak segan silu keluar berpegang tangan. Hati Tuah Iskandar mula mendidih.
            Tangannya digenggam erat. Perasaannya terbakar melihat pasangan itu. Matanya tidak berganjak dari memerhatikan gelagat merpati dua sejoli itu.
            Tiba-tiba langkah lelaki itu terhenti saat terpandangkan Tuah Iskandar. Lelaki tu kaku berdiri tidak jauh daripadanya. Kelihatan perempuan di sebelahnya terpinga-pinga. Dan Tuah Iskandar masih berdiri dengan wajah yang serius.
            “Tuah!”
                                                                        **********
            Suasana di kelab malam pada malam itu riuh seperti biasa, tidak kira hujung minggu atau hari biasa, pelanggan tidak putus-putus datang. Suasana yang hingar bingar dengan muzik yang kuat di tambah lagi dengan keriuhan pelanggan yang hadir membuatkan masing-masing hanyut dalam dunia sendiri. Dari jauh kelihatan seorang gadis sedang duduk bersendirian. Sesekali ada pemuda yang menyapa namun ditolak lembut. Di tangannya memegang telefon bimbit berjenama. Wajahnya kelihatan tegang.
            “Kau memang sengaja cari nahas Tuah. Kau tak tahu lagi siapa aku,” Lilia menggenggam erat telefon bimbitnya. Marahnya pada Tuah Iskandar membuak-buak. Mentah-mentah pemuda itu menolak perlawaannya. Bukan sekali, malah pemuda itu sering saja menolak ajakannya. Niatnya untuk berduaan dengan Tuah Iskandar tidak pernah berhasil.
            “Kau akan menyesal dengan apa yang kau buat pada aku, Tuah,” bisik Lilia sendirian. Dalam mindanya terbayangkan wajah kacak Tuah Iskandar. Kerana wajah kacak itulah dia jatuh cinta meskipun sikap Tuah  Iskandar begitu dingin terhadapnya.
            “Lilia,” tiba-tiba dia disapa oleh satu suara beserta satu tepukan di bahunya.
            “Eh, datin. Dah lama sampai?” tanya Lilia kepada Datin Maria.
            “Baru saja sampai,” ujar Datin Maria tersenyum ramah.       
            “Datin datang dengan siapa?”
            “Dengan siapa lagi kalau bukan..” Datin Maria tidak menghabiskan kata-katanya sebaliknya matanya memandang ke arah seorang lelaki muda, berwajah agak kacak yang sedang duduk tidak jauh dari situ. Kemudian mereka berbalas-balas flying kiss. Naik meluat juga Lilia melihat gelagat seorang wanita yang sudah tua beserta anak ikannya. Nasib baiklah Datin Maria ibu kepada Tuah Iskandar, jika tidak, jangan haraplah dia hendak melayan kerenah wanita tua itu.
            “Lilia, sure kat sini line clear?” tanya Datin Maria.
            “Datin jangan risau. Tempat ni clear. Tuah tak datang malam ni,” beritahu Lilia.
            “I sebenarnya malas nak ke mari tapi Ikram tu nak sangat datang tempat ni. Puas I pujuk dia tetap mahu ke sini juga,”
            “Mungkin dia rasa seronok di sini. Lagipun inikan kelab yang terkenal di KL, datin. Pasti ramai yang suka datang ke sini,”
            Datin Maria mengangguk-angguk.
            Seketika mereka berbual. Memang hubungan di antara Lilia dan Datin Maria baik. Mereka bertemu di sebuah salon rambut dan bertukar-tukar nombor telefon. Malah, Ikram yang di katakan ‘kekasih’ Datin Maria merupakan kenalan Lilia yang di perkenalkan Lilia kepada Datin Maria. Lilia tahu niat Ikram hanyalah duit semata-mata. Jika tidak, masakan dia mahu melayan kerenah wanita tua itu.
            Sebaik saja mendapat tahu Datin Maria adalah ibu kepada Tuah Iskandar, semakin Lilia cuba merapatkan hubungan mereka. Dia mahu Datin Maria menyukai dirinya. Manalah tahu kalau-kalau Datin Maria ingin menjadikan dia sebagai menantu. Dia juga yang untung.
            Namun, kebaikan yang di tunjukkan hanyalah lakonan semata-mata. Dia berbuat baik dengan Datin Maria hanya di sebabkan Tuah Iskandar. Selebihnya, dia merasa jengkel melihat Datin Maria bersama kekasih mudanya itu. Amat menggelikan!
            “Okaylah Lilia. I nak pergi kat Ikram. Tak boleh tinggalkan lama-lama sangat. Perempuan-perempuan kat sini, bukan boleh percaya,” ujar Datin Maria sambil tersenyum manja.
            Lilia pura-pura tersenyum.
            Bukan perempuan-perempuan kat sini saja yang tidak boleh di percayai. Kekasih awak tu lagi tidak boleh di percayai datin oiii…Sempat Lilia mengomel sendiri.
            Muzik rancak terus bergema. Ramai pengunjung yang menari mengikut rentak lagu. Terhuyung hayang bagaikan tiada panduan. Ada yang sedar malah ada juga yang mabuk. Semuanya sudah menjadi sebati apabila berada di situ.
            Dari satu sudut, seorang pemuda sedang melangkah…menuju ke arah kelompok orang ramai tanpa sesiapa yang menyedari kehadirannya.
                                                                        **********
             “Tuah!”
            Berubah riak muka Lilia apatah lagi Datin Maria apabila melihat kelibat Tuah Iskandar di situ. Wajah Tuah Iskandar begitu serius. Matanya tepat merenung ke arah Datin Maria yang baru saja hendak melangkah kaki menghampiri kekasihnya. Datin Maria keliahatan kelam kabut. Lilia yang berada dalam di tengah-tengah dua beranak itu cepat-cepat mententeramkan keadaan yang kelihatan agak tegang meskipun tiada satu suara yang kedengaran di antara dua beranak itu.
            “Tuah..sebenarnya..”
            Lilia tidak menghabiskan kata-katanya apabila Tuah Iskandar mengangkat tangannya menyuruh Lilia tidak bersuara. Ternyata pemuda itu tidak mahu mendengar sebarang penjelasan kerana yang terselindung selama ini telah nyata kelihatan.
            “Tuah..mama..” giliran Datin Maria pula bersuara. Tetapi kali ini Tuah Iskandar tidak menahan sebaliknya membiarkan saja wanita di hadapannya itu memberikan penjelasan.
            Namun, Datin Maria bagaikan kehilangan kata-kata. Apa yang perlu di perjelaskan kepada Tuah Iskandar. Bercakap benar bererti membuka pekung di dada. Bercakap bohong? Apa yang perlu di bohongkan tatkala ini. Ternyata fikirannya tidak mampu mencipta sebarang alasan di saat-saat genting ini.           
            Tuah Iskandar merenung tajam ke arah Datin Maria yang kelihatan serba tidak kena. Tanpa sebarang ungkapan, tanpa sebarang kata-kata, Tuah Iskandar meninggalkan Datin Maria dan Lilia yang masih lagi berada dalam keadaan gusar.
            “Kojek!” tegas suara Tuah Iskandar memanggil Kojek yang sedang duduk melepak bersama dua gadis di sisinya di kelab malam itu.
            “Oh, Tuah. Kenapa?” sapa Kojek dengan satu senyuman di bibirnya.
            “Pukul berapa perlumbaan malam ni?”
            Pertanyaan Tuah Iskandar membuatkan Kojek sedikit terkejut.
            “Bukankah kau tak nak berlumba malam ni?” tanya Kojek inginkan kepastian.
            “Jawab saja sebelum aku ubah fikiran,”
            Kojek tersenyum. Dia lantas bangun dan mendapatkan Tuah Iskandar. Bahu Tuah Iskandar ditepuk-tepuk. Ternyata keputusan Tuah Iskandar menggembirakan hatinya.
                                                                        **********
            Kojek tersenyum. Sememangnya kemenangan Tuah Iskandar malam itu sudah dapat di duga. Pemuda itu bukan calang-calang pelumba. Tuah Iskandar memiliki kepakaran tersendiri dalam mengemudi motosikalnya untuk berlumba.
            Kojek sukakan Tuah Iskandar. Meskipun Tuah Iskandar bukanlah orang bawahannya tetapi pemuda itu menggunakan nama kumpulannya untuk menyertai perlumbaan. Secara tidak langsung, kemenangan Tuah Iskandar memberikan habuan yang lumayan kepada Kojek apatah lagi Tuah Iskandar tidak pernah meminta habuannya. Namun, untuk menjaga hati Tuah Iskandar, Kojek hulurkan juga wang hasil kemenangan.
            Dari satu sudut kelihatan Tuah Iskandar sudah bersiap-siap untuk pulang. Dia berpuas hati kerana dapat berlumba malam itu. Rasa geramnya terhadap papa dan mamanya membuatkan dia menyertai perlumbaan malam itu. Meskipun kemenangan itu masih tidak dapat menghilangkan amarahnya namun dengan cara itu saja dia dapat melepaskan geram.
            Masih terbayang kelibat papa dengan perempuan yang jauh lebih muda dari papanya, berjalan mesra berpegang tangan. Masih terimbas kelibat mamanya yang sedang berpeluk mesra dengan seorang lelaki yang boleh di panggil anak di kelab malam. Semuanya menyakitkan hati. Semuanya membuatkan emosinya tidak stabil.
            Apa sebenarnya yang berlaku dalam keluarganya? Ternyata keluarganya sekarang sedang berada di ambang kehancuran. Ah!         
            “Tuah!” suara Lilia membuatkan dia cepat-cepat menghidupkan enjin motornya. Tidak mahu dia berdepan dengan gadis itu. Dia yakin Lilia mempunyai kaitan dengan skandal mamanya. Dia yakin Lilia tahu akan semua ini.
            “Tuah!” Lilia kini sudah berada di hadapan motornya, menghalang Tuah Iskandar dari terus pergi.
            Tuah Iskandar tidak berkata apa-apa. Seperti biasa, dia hanya mendiamkan diri meskipun di dalam dadanya tersimpan amarah yang begitu melangit.
            “Tuah, apa yang berlaku tak seperti apa yang kau fikirkan,” Lilia cuba menegakkan benang yang basah. Dia mahu membersihkan namanya. Dia tidak mahu Tuah Iskandar menuduhnya berkomplot dengan Datin Maria. Dia tidak mahu Tuah Iskandar memandang negatif terhadap dirinya.
            “Apa yang aku fikirkan?” soal Tuah Iskandar sengaja mendera perasaan Lilia.
            “Datin Maria..dia..dia..”
            “Lilia, satu aku minta dari kau,”
            Lilia memandang ke wajah Tuah Iskandar. Berdebar menanti bicara seterusnya dari pemuda itu.
            “Jauhi diri kau dari keluarga aku,”
            Lilia terkedu dan Tuah Iskandar terus memecut motornya, berlalu meninggalkan Lilia yang terpinga-pinga.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar memakir motornya di hadapan rumah. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Rasa kantuk tiba-tiba menyerang matanya. Esok dia ada kuliah. Entah boleh sedar atau tidak, dia tak pasti. Kepalanya terasa berat.
            Baru saja dia membuka pintu rumah, satu suara menegurnya.
            “Kamu baru balik, Tuah?”
            Rasa kantuknya tiba-tiba hilang saat terlihat Dato’ Hasyim di ruang tamu. Wajah lelaki itu tenang saja. Tiada tanda-tanda marah, tiada tanda-tanda bersalah..sehingga sukar untuk Tuah Iskandar mentafsirkan maksud di sebalik wajah itu.
            “Tuah,” Dato’ Hasyim cuba mendapatkan Tuah Iskandar namun Tuah Iskandar bertindak menjauhi lelaki itu. Marahnya bukan satu mainan. Marahnya bukan laksana anak-anak kecil yang mudah dipujuk. Dia sudah besar, sudah dewasa. Dan kerana itu perasaannya terguris saat menyaksikan drama papa dan mamanya bersama orang lain.
            “Tuah, izinkan papa terangkan semuanya pada kamu. Kamu dah salah sangka dengan papa. Perempuan yang kamu nampak siang tadi..”
            “Saya tak mahu dengar apa-apa,” ujar Tuah Iskandar, tidak berminat untuk mendengar sebarang penjelasan.
            “Tetapi kamu perlu dengar kerana kamu perlu tahu. Perempuan itu sebenarnya isteri papa,”
Tuah Iskandar terperanjat mendengar pengakuan Dato’ Hasyim. Isteri? Papanya sudah berkahwin lagi? Tanpa pengetahuan dia? Tanpa pengetahuan mama?
Tuah Iskandar memandang papanya. Terasa kecil saja Dato’ Hasyim pada pandangan matanya.
“Tuah,”
            “Dah pukul dua pagi,”           
“Tapi..”
            “Esok saya ada kuliah. Saya nak tidur,”
            Dato’ Hasyim tidak dapat melarang keputusan Tuah Iskandar. Dia hanya mampu melihat saja anak tunggalnya itu berlalu sebelum bayangannya hilang masuk ke dalam bilik.
            Dato’ Hasyim melepaskan satu keluhan yang berat.

5 comments:

Zakiah Halim said...

kesian tuah... mak bapak buat hal anak yg kena tekanan...

baby mio said...

best...

aisyah said...

sian tuah...smpi dia melepaskan rs marah & kecewa dgn berlumba...

ezi said...

zakiah...aisyah...
betul tu...kerana masalah keluarga, anak2 biasanya terabai..huhu..:)

ezi said...

baby mio...terima kasih :)