KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 3)
BAB
3
“Nah, makan ubat ni,” suruh Julia
sambil menghulurkan dua biji panadol dan segelas air masak kepada Hani. Hani
yang sedang berbaring, bangun dari pembaringannya. Dia mengambil panadol dari
tangan Julia dan terus menelannya.
“Panas badan kau ni, Hani. Kita
pergi klinik ya,” ajak Syasya sambil meletakkan tangannya pada dahi Hani.
Hani pantas menggeleng.
“Tak payahlah Sya. Demam aku ni
bukannya teruk sangat pun. Demam biasa saja. Lepas makan panadol ni nanti,
baiklah,” ujar Hani dengan suara yang perlahan di selang seli dengan
batuk-batuk kecil.
“Betul tak nak pergi klinik?” tanya
Syasya sekali lagi sambil mengurut-urut belakang Hani.
Hani hanya mengangguk. Manakala
Julia dan Syasya saling berpandangan.
“Agaknya, sebab inilah perangai kau
pelik sejak kebelakangan ni. Rupa-rupanya, nak demam,” usik Julia sambil
tersengih.
“Ini demam apa pula ni? Nak kata
demam exam, exam lambat lagi,” Syasya
pula mengusik.
“Nak kata demam rindu, tak ada boyfriend,”
Julia menyambung.
Hani membalas usikan Julia dan
Syasya dengan senyuman. Hmm…kalaulah Julia dan Syasya tahu perkara sebenar yang
menyebabkan dia demam, pasti terguling-guling mereka tertawa. Demam kerana
menerima renungan tajam daripada Tuah Iskandar? Sungguh tidak masuk akal!
Namun, itulah hakikatnya. Sejak
bertentang mata dengan Tuah Iskandar di kafeteria tempoh hari, badannya terus
rasa tidak sedap. Malam itu juga dia demam. Dia sendiri tidak pasti kenapa
cepat benar perubahan yang berlaku pada tubuh badannya. Mungkin dia terlalu
takut dengan pemuda itu menyebabkan dia demam. Atau, dia takut Tuah Iskandar
cam dirinya dan mahu membalas dendam. Lebih teruk lagi kalau-kalau mimpinya itu
menjadi kenyataan.
Ah! Begitu jauh imaginasi kau Hani.
Mungkin apa yang berlaku tidak seperti apa yang kau bayangkan.
Jadi, kalau bukan begitu…kenapa
renungannya harus setajam itu? Kenapa pandangannya sangat berbeza sehingga dia
dapat merasakan pandangan itu bukan pandangan biasa tetapi pandangan yang ada
makna. Cuma, makna di sebalik pandangan itulah yang Hani kurang pasti tetapi ia
benar-benar membimbangkan.
Tiada jawapan.
Hani melepaskan satu keluhan yang
berat.
**********
Sudah dua hari dia demam. Masuk hari
ketiga barulah dia pulih sepenuhnya. Pulih dari demam terkejut. Nasib baiklah
dia demam pada hujung minggu. Jadi, tidak perlulah dia ponteng kuliah. Cuma, hujung
minggunya menjadi bosan lantaran asyik duduk terperap di dalam bilik.
Hani bersiap-siap untuk ke kuliah
dengan begitu bersemangat. Selama dua hari berkurung di dalam bilik, rasa tidak
sabar hendak menghirup udara segar. Macamlah setahun dia berkurung. Baru dua
hari saja. Macam-macamlah kamu ni, Hani!
Hani menyarungkan baju kurung bewarna ungu di padankan dengan tudung ungu
tanpa corak. Ringkas. Dengan wajahnya yang agak comel menjadikan penampilan
ringkasnya kelihatan menarik. Hani tersenyum sendiri.
“Siap?” wajah Julia tiba-tiba muncul
di sebalik pintu.
“Dah,” balas Hani sambil mencapai
beg kuliahnya lalu keluar dari bilik mendapatkan dua orang sahabat karibnya
itu.
Sebelum ke dewan kuliah, mereka
bertiga singgah di kafeteria seperti selalu. Bersarapan pagi, mengalas perut
sebelum memulakan pembelajaran.
Menjejakkan kaki di kafeteria
membuatkan tubuh Hani mulai di basahi keringat. Masih teringat lagi renungan
tajam pemuda itu. Renungan yang menyebabkan dia demam dua hari. Dasyat sungguh
kuasa renungan pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu. Kuasa renungan atau dia
sendiri yang terlebih penakut?
Sampai-sampai saja di kafeteria, mata Hani terus tertumpu pada meja di
mana Tuah Iskandar duduk tempohari. Namun, tiada bayangan pemuda itu. Yang ada
hanya sepasang pasangan yang sedang menikmati sarapan pagi.
Hani menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya
untuk jangkamasa yang sedikit ini, dia terselamat. Namun, dalam kelegaan,
matanya turut melilau memerhati sekeliling. Takut-takut kalau Tuah Iskandar ada
di situ. Sekali lagi dia menarik nafas lega kerana tiada bayangan pemuda itu di
seluruh kafeteria itu.
Ah, pemuda macam itu mana ada ambil
sarapan pagi. Entah-entah selepas bangun terus saja pergi kuliah. Itu nasib
baik ada kuliah awal pagi, kalau tak…pasti tengahari baru nak bangun.
Hani membuat andaian sendiri.
Hanya roti bakar yang menjadi
pengalas perut pagi itu. Tidak seperti Julia dan Syasya yang mengambil nasi
lemak, juadah sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia. Hani malas untuk
mengambil makanan yang berat. Bimbang mengantuk di dalam kuliah dan yang
selebihnya, dia tak lalu hendak makan. Semuanya kerana…
Tuah Iskandar?
Bodohnya dia. Kerana pemuda yang
tidak di kenali itu, dia menjadi manusia yang kelam kabut.
Aduh!
“Cepatnya kau makan, Hani,” tegur
Julia apabila melihat Hani sudah menghabiskan dua keping roti bakar dan segelas
milo panas.
“Cepat? Aku rasa biasa saja,”
“Ju, kau tak payahlah tegur si Hani
ni. Kau bukan tak tau dia ni kadang-kadang betul, kadang-kadang tidak,”
Hani hanya tersengih. Tidak
menyimpan rasa langsung apabila Syasya berkata begitu apatah lagi hendak marah.
Dia turut mengakui kata-kata Syasya. Bukan saja rakan-rakannya, malah dia
sendiri terasa keanehan pada dirinya sendiri. Dia sendiri dapat merasakan
perubahan pada dirinya. Perubahan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana. Ah,
sukar untuk dia menafsirkannya.
Selesai saja menikmati sarapan pagi,
tiga sahabat ini berjalan menuju ke dewan kuliah. Lagi 20 minit kuliah akan bermula.
Masih awal. Tidak perlulah mereka tergesa-gesa untuk ke sana.
Tiba di hadapan dewan kuliah, Hani
dapat merasakan sesuatu. Seperti ada daya tarikan magnet yang membuatkan Hani
menoleh ke satu sudut yang terpencil yang agak jauh dari situ. Dari jauh dia
terlihat Tuah Iskandar. Pemuda itu sedang bersandar pada tiang sambil berpeluk
tubuh. Pandangannya di tujukan ke arah mereka. Walaupun agak jauh, namun Hani
dapat merasakan pandangan yang tajam itu sedang menghala ke arahnya.
Jantung Hani kembali berdegup
kencang.
Hani cuba mengecilkan dirinya dengan
berselindung di sebalik Julia. Walaupun tubuhnya terselindung, namun matanya
sempat melirik ke arah Tuah Iskandar. Ternyata pandangan pemuda itu tidak
lekang dari memandang ke arahnya.
Sah! Tuah Iskandar sedang melihat ke
arah mereka kerana tiada pelajar lain di situ. Mungkin Tuah Iskandar memandang
Julia ataupun Syasya. Hani cuba memujuk dirinya tetapi..hanya dia yang ada
kaitan dengan Tuah Iskandar dan perlanggaran itu yang mengaitkan mereka.
Hani melirik lagi ke arah Tuah
Iskandar. Aduh! Pasti Tuah Iskandar sedang memerhatikannya dan menunggu masa
untuk membuat serangan.
Habislah aku!
6 comments:
So far......jalan citernya menarik tapi naper pendek sgt setiap n3 tu. X puas baca dah abih.....huhuhu
ayu salina, ada bab yang panjang dan ada bab yang pendek..hehe..terima kasih sebab ikuti cerita ini..rajin2 lah jengah ke sini ya..:)
mmg dh kna mark la ni hani...
aisyah..sure!..:)
habis la hani sudah kena tanda dgn tuah... kekeke
aduh..ape sudh jdi ngan hani... tuah..y slalu pratikan hani.... nk balas dendam ke??.. ok next...............
Post a Comment