My Novel

Thursday, September 12, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 11)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 11)
 
 

BAB 11

            “Kau tak ada assignment ke?” tanya Zulkifli apabila melihat Tuah Iskandar yang sedang asyik membelek-belek telefon bimbitnya.

            “Ada,” tanpa berpaling, hanya sebaris perkataan keluar dari mulut Tuah Iskandar.

            So, pergilah buat,”

            “Malas,”

            Zulkifli mengeluh kecil. Pen yang hampir setengah jam di tangannya diletak di atas meja. Badannya dipusingkan menghadap Tuah Iskandar yang sedang leka dengan telefon bimbitnya. Seketika dia merenung wajah Tuah Iskandar. Cuba memahami kehidupan lelaki yang dipuja gadis-gadis kolej. Pada mulanya, dia menganggap Tuah Iskandar sungguh bertuah. Mempunyai segala-galanya yang di idamkan oleh manusia tetapi semakin lama dia mengenali pemuda itu, semakin dia tahu yang Tuah Iskandar hanya manusia biasa. Dan keistimewaan yang di miliki tidak mampu mempamerkan kegembiraan dalam hidup.

            Dalam diam Zulkifli bersyukur. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Hidup dalam keadaan sederhana. Mempunyai keluarga yang bahagia. Semuanya sederhana.

            Tiba-tiba dia terlihat Tuah Iskandar tersenyum. Jarang benar dia melihat senyuman dari wajah pemuda itu. Seolah-olah senyuman itu merupakan sesuatu yang sangat mahal bagi pemuda yang bernama Tuah Iskandar tetapi..mengapa Tuah Iskandar tersenyum kali ini? Walaupun hanya satu senyuman yang tipis, namun begitu menampakkan ekspresi wajah Tuah Iskandar yang selalunya serius.

            Menang main angry bird agaknya. Tak pun main game tembak-tembak. Atau main game tembak hantu. Zulkifli membuat andaian sendiri.

            Melihat Tuah Iskandar yang sedang kusyuk itu, Zulkifli mematikan hasratnya untuk berbual-bual dengan pemuda itu. Biarlah Tuah Iskandar dengan dunianya seketika. Dan Zulkifli kembali menghadap buku di hadapannya.

            Deringan telefon bimbit milik Tuah Iskandar mengisi kesunyian di antara mereka. Tuah Iskandar yang sedang memegang telefonnya terus menjawab panggilan tersebut.

            ”Bila?”

            Sorry bro. Aku tak senang,”

            “Ada hal,”

            “Betul,”

            “Hmm,”

            Itulah antara kata-kata Tuah Iskandar bersama si pemanggil yang dapat ditangkap oleh telinga Zulkifli. Seketika dia melirik ke arah rakannya itu. Kelihatan Tuah Iskandar sudah membaringkan tubuhnya di atas sofa. Telefon bimbitnya diletakkan di atas meja kopi. Kelihatan rakannya itu sedang termenung. Entah apa yang difikirkan, Zulkifli tidak pasti.

            “Kojek call?” sengaja Zulkili bertanya walaupun dia amat yakin Kojek yang telah menghubungi Tuah Iskandar sebentar tadi.

            “Hmm,”

            “Dia nak apa?”

            “Ada game malam ni,”

            So, kau tak pergi?”

            “Malas,”

            “Hai, jarang aku dengar alasan tu dari kau. Biasanya, kalau si Kojek tu ajak, cepat saja kau hidupkan motor kau tu,”

            Tuah Iskandar tidak menjawab.

            “Kau ada masalah?” tanya Zulkifli apabila melihat Tuah Iskandar membiarkan saja pertanyaannya tanpa jawapan.

            “Masalah aku sentiasa ada,”

            “Maksud aku, masalah baru,”

            “Mungkin,”

            “Mungkin? Maksud kau?”

            “Aku tak tahu ini masalah atau sebaliknya. Tapi..ia membuatkan aku tenang,”

            Zulkifli membetulkan posisi badannya, menghadap Tuah Iskandar. Seakan berminat dengan kata-kata yang keluar dari mulut rakannya itu kerana bahasa yang di guna Tuah Iskandar tatkala ini, sangat lain kedengarannya.

            “Aku tak faham,”

            Tuah Iskandar diam lagi. Kemudian, dia bangun lalu terus melangkah. Tuala yang bersidai di atas kerusi makan dicapai dan kakinya terus melangkah menuju ke bilik air.

            “Nanti aku cerita pada kau,” jawapan Tuah Iskandar membuatkan Zulkifli kecewa. Baru saja dia hendak mengorek apa yang berlaku pada rakannya itu tetapi Tuah Iskandar tidak sudi bercerita buat masa ini.

            Adakah perkara yang hendak di perkatakan oleh Tuah Iskandar itu yang memberikan senyuman pada pemuda itu sebentar tadi?

            Ah Tuah!

                                                                        **********

            Tuah Iskandar duduk di bangku yang telah tersedia. Mulutnya sibuk mengunyah kacang kuda yang dibelinya sebentar tadi. Satu demi satu kacang kuda masuk ke dalam mulutnya sehingga dia tidak sedar tinggal beberapa biji sahaja lagi sebelum habis dimakan.

            Tuah Iskandar memperlahankan kunyahannya. Matanya tertumpu pada satu arah. Dari jauh dia melihat gadis itu yang sedang leka bermain bola jaring bersama rakan-rakannya. Agak lama dia memerhatikan gadis itu. Sudah hampir setengah jam. Pada perkiraannya, Hani bukanlah pemain bola jaring yang hebat. Hanya biasa-biasa saja. Mungkin bermain untuk mengisi masa lapang.

            Hani..hanya sebaris nama itu membuatkan hari-hari yang di lalui ceria. Rasa bersemangat untuk ke kolej kerana dia tahu gadis itu turut berada di kolej yang sama. Biarpun ada kalanya tidak bertentang mata, namun dia tahu mereka masih dekat. Dan kerana rasa itu, dia semakin rajin hadir ke kuliah.

            Sebaik saja menjejakkan kaki di kolej, dia akan mencari gadis itu. Adakalanya dia sengaja memunculkan diri di hadapan gadis itu . Adakalanya dia hanya melihat dari jauh, tanpa di sedari gadis itu. Apa saja dia lakukan, hanya untuk melihat gadis itu kerana dia merasa senang dapat melihat  wajah gadis itu. Seolah terdapat ketenangan pada wajah comel itu.

            Jika di tanya adakah dia sudah menemui cinta? Dia tidak tahu kerana sebelum ini dia tidak pernah bercinta. Apa rasa cinta? Bagaimana perasaan orang bercinta? Dia benar-benar tidak tahu. Apa yang dia tahu, dia sukakan gadis itu.

            “Hani!” terdengar jeritan nyaring dari salah seorang gadis yang turut bermain bersama Hani. Tuah Iskandar menumpukan perhatian pada kumpulan yang bermain bola jaring itu. Kelihatan Hani meletakkan tangannya di atas kepala. Mungkin sudah membuat kesilapan.

            Apa yang hebat tentang gadis itu?

            Dia kelihatan biasa-biasa saja.

            Ah, biarkan semua persoalan itu. Jika hati dah suka, semua itu tidak penting.

            “Hoi,” satu suara menyapanya. Tuah Iskandar tidak menoleh. Kenal benar dia dengan suara yang menyapa itu. Dengan selamba dia mengunyah kacang kuda yang masih berbaki itu.

            “Buat apa?” tanya Zulkifli sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Tuah Iskandar.

            Tuah Iskandar masih tidak menjawab. Matanya terus tertumpu pada kumpulan gadis yang sedang bermain bola jaring. Pandangan tajam Tuah Iskandar menarik minat Zulkifli. Lantas dia turut memanjangkan lehernya, turut melihat ke arah yang sama dilihat oleh Tuah Iskandar.

            “Ada yang berkenan?” Zulkifli mengusik.

            Tuah Iskandar masih lagi diam.

            “Tak salah kalau hati dah tersangkut. Kau tu manusia biasa. Ada hati dan perasaan,” ujar Zulkifli. Entah kenapa dia serius dengan kata-katanya. Dia dapat rasakan tekaannya benar kerana Tuah Iskandar tidak membangkang sebaliknya hanya diam dan tidak menafikan.

            “Kau rasa dia suka aku?” soalan Tuah Iskandar membuatkan Zulkifli pantas menoleh memandang rakan di sebelahnya itu. Meskipun sudah menduga ada kelainan pada Tuah Iskandar tetapi perasaan terkejutnya tetap ada. Masakan dia tidak terkejut. Tuah Iskandar yang hati kering, tidak pernah meminati perempuan tiba-tiba berbicara soal perasaan? Siapa yang tidak terkejut?

            “Siapa?” tanya Zulkifli ingin tahu. Kini, matanya pula sibuk memerhati gadis-gadis yang sedang asyik bermain bola  jaring. Dalam hatinya tertanya-tanya siapa yang berjaya membuka hati Tuah Iskandar namun dalam masa sesingkat itu dia tidak dapat meneka kerana kesemua gadis itu biasa-biasa sahaja. Pendek kata, mereka bukan citarasa rakan di sebelahnya itu.

            Oleh kerana itu, bertambahlah keinginan untuk mengetahui siapa di kalangan gadis biasa itu yang menjadi pilihan Tuah Iskandar.

            “Yang mana satu ni Tuah?” Zulkifli mendesak. Sungguh dia benar-benar berminat untuk ambil tahu.

            “Yang pakai baju merah,”

            Pantas Zulkifli mencari gadis yang memakai baju merah di kalangan mereka.

            “Maksud kau, Hani?”

            “Kau kenal dia?”

            “Mana tak kenal. Dia satu fakulti dengan aku,”

            “Aku tahu,”

            “Jadi, kau minat dia?”

            Diam.

            “Sejak bila ni?”

            I’ve no idea

            Perakuan jujur Tuah Iskandar benar-benar membuatkan Zulkifli terkejut. Tuah Iskandar jatuh cinta? Sukar untuk di percaya. Mungkin sudah sampai masanya pintu hati yang sukar digugat akhirnya terbuka untuk seorang gadis. Dan gadis itu..

            Hani. Pelajar fakulti perubatan. Hanya seorang gadis biasa. Terlalu berbeza dengan Tuah Iskandar dari pelbagai segi. Bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Namun, mungkin perbezaan itu yang menjadi pilihan Tuah Iskandar. Melalui perbezaan itu, pintu hati pemuda itu terbuka untuk cinta.

Sunday, September 8, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 10)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 10)
 
BAB 10
 
Hani menutup buku Mikrobiologi Asas. Nota-nota yang telah dibuat semasa perbincangan berkumpulan tadi disimpan kemas di dalam fail. Malam ini dia ada tugasan. Isi-isi perbincangan di dalam kumpulan yang seramai lapan orang itu perlu dikemaskini kan untuk perbentangan pada minggu depan.
            “Huh, banyaknya kerja.”
            Sempat Hani mengeluh. Itu baru subjek Mikrobiologi, belum masuk kerja-kerja subjek-subjek lain. Bertimbun kerja-kerja yang masih belum disiapkan. Nampaknya, malam ini dia tidak boleh keluar ke mana-mana melainkan duduk di meja sambil menyiapkan semua tugasan yang diberi.
            Nampaknya, bukan mudah untuk menjadi seorang doktor.
            “Hani, kau tunggu siapa?” suara Iqbal, rakan sekumpulannya menegurnya.
            “Eh, tak tunggu sesiapa. Aku nak baliklah ni,” ujar Hani sambil mengangkat fail dan buku-bukunya.
            “Terus balik?” tanya Iqbal lagi.
            “Aku singgah cafe. Julia dan Syasya ada tunggu kat sana,”
            “Kalau macam tu, jomlah jalan sekali. Aku pun nak pergi cafe ni. Perut dah lapar,”
            “Oh, baguslah macam tu. Adalah juga bodygourd untuk aku,” usik Hani sambil tertawa kecil.
            Iqbal yang terkenal dengan ramahnya turut tertawa dan kemudian mereka berjalan beriringan menuju ke kafeteria. Sambil berjalan, mereka  berbual. Masih lagi berkisarkan tugasan-tugasan yang diberi oleh pensyarah. Sesekali di selang seli dengan gelak tawa. Iqbal memang pandai membuat lawak.
            “Berborak dengan kau ni rasa macam sekejap saje. Tak sedar dah sampai cafĂ©,” ujar Hani apabila kaki mereka sudah melangkah ke dalam kafeteria yang agak lengang petang itu.
            “Iyalah. Tak sedar dah sampai. Okaylah Hani, aku nak tapau ni. Tu, kawan-kawan kau dah tunggu tu,”
            Hani mengerling seketika ke arah Julia dan Syasya yang sedang menunggu.
            “Okay,” Hani membalas senyuman Iqbal sebelum pemuda itu menuju ke kaunter makanan.
                                                                        **********
            Aduh, penatnya. Kalau aku tahu pad dah habis kat koperasi, tak payahlah aku susah-susah mendaki bukit untuk pergi ke koperasi. Koperasi ni pun satu, dah tahu benda tu begitu penting bagi seorang perempuan, kenapalah biarkan stok sampai habis. Tak guna betul. Terpaksalah aku pinjam benda tu kat Julia atau Syasya. Mintak-mintaklah dia orang ada stok banyak. Kalau tak, tak tahu mana aku nak cari benda tu.
            Hani mengomel-ngomel sendirian. Penat mendaki bukit ke koperasi seakan tidak berbaloi apabila tuala wanita yang hendak dibelinya tiada stok. Hendak marah pun tak guna. Senyap adalah jalan yang terbaik di samping mencari jalan penyelesaian.
             Hani menarik nafas lega sebaik sahaja melihat Julia dan Syasya berada di atas katilnya. Serta merta dia duduk berhadapan dengan rakan-rakannya itu dengan muka kasihan, memohon simpati.
            “Kau orang, aku nak mintak tolong,”
            “Tolong apa?”
            “Aku nak pinjam pad. Kat koperasi, boleh habis pulak. Tak guna betul. Dah tau stok tu laku keras, kenapa tak beli banyak-banyak,” Hani mula membebel menunjukkan  ketidak puas hatinya sejak tadi.
            “Hani, aku tak kisah kau nak pinjam berapa. Kalau kau nak sepuluh pun aku boleh bagi,” ujar Julia.
            “Betul ke? Wah, terima kasih Ju,”
            “Tapi..”
            “Tapi apa?”
            “Aku dah tolong kau, kau kena tolong aku pula,”
            “Tolong apa?”
            Aduh! Ini yang susah. Ada ke memberi pertolongan dengan mengharapkan balasan. Tak ikhlas betullah si Julia ni.
            “Tolong jawab apa makna semua ini?”
            Serentak Julia dan Syasya bangun. Mata Hani tertumpu pada satu objek di atas katilnya. Dahinya berkerut.
            “Bunga?” tanya Hani hairan.
            “Ya, itu bunga. Takkan kau tak kenal bunga?”
            “Siapa punya bunga?”
            “Kalau dah kat dalam bilik kau, atas katil kau lagi, dah tentulah kau yang punya,”
            “Macam mana bunga tu boleh ada kat katil aku?”
            “Ha, itulah yang aku nak tahu. Kenapa bunga ini ada kat katil kau?”
            Hani terdiam. Matanya menoleh ke arah Julia dan Syasya silih berganti. Dan kemudian, tertumpu kembali pada tiga kuntum bunga ros merah yang dibalut kemas dengan plastik bercorak. Cantik!
            “Hani, baik kau cakap dengan kita orang, siapa bagi bunga ni kat kau?” tanya Julia yang sudah duduk di sebelahnya dengan nada merayu. Dia betul-betul hendak tahu siapa si pengirim bunga itu. Dari tadi Julia dan Syasya berteka teki tentang si pengirim bunga itu sambil menunggu kepulangan Hani.
            “Hani, kau tak beritahu kita orang pun kau dah ada pakwe,” ujar Syasya pula sambil tangannya memegang lengan Hani. Ada nada rajuk pada suara Syasya.
            “Hani, beritahulah. Siapa boyfriend kau,” rengek kedua-dua sahabatnya itu.
            “Sekejap..sekejap..,” Hani cuba mententeramkan rakan-rakannya yang menggesa dia memberitahu siapa pengirim bunga itu. Apa yang hendak dia beritahu sedangkan dia sendiri tidak tahu siapa pengirimnya.
            “Aku pun tak tahu siapa yang bagi,” ujar Hani jujur.
            “Takkan kau tak tahu, Hani?”
            “Betul, aku tak tahu,”
            “Kalau macam tu, bunga ni mesti dari secret admirer kau. Orang yang meminati kau dalam diam,”
            “Wah bestnya ada secret admirer,”
            Aduh! Rimas pula Hani dengan perangai kebudak-budakkan rakan-rakannya itu. Dalam sibuk memikirkan pengirim bunga itu, Hani terpandangkan sekeping kad kecil yang terselit di celah-celah bunga itu. Pantas dia mengambilnya lalu membukanya.
            Hani…Aku…
            Tiada sebarang ucapan. Tiada sebaris kata-kata. Hanya tertera namanya di bahagian atas kad dan ‘Aku’ di bahagian bawah kad. Memang bunga itu untuknya dan si pengirimnya adalah ‘Aku’.
            “Aku nak kau jadi awek aku.”
            Aku? Tiba-tiba Hani rasa sesak nafas.
            Mungkinkah dia?
                                                                        **********
            “Okay Hani. Jumpa esok kat kuliah,” ujar Iqbal sambil melambai-lambaikan tangannya.
            Hani tersenyum sambil turut membalas lambaian pemuda itu sebelum mereka berpisah menuju ke asrama masing-masing.
            Dalam melangkah, Hani sempat melirik jam di tangannya. Sudah pukul sebelas malam. Agak lewat dari biasa perbincangan berkumpulan mereka malam itu. Maklumlah, malam itu merupakan perbincangan terakhir bagi topik yang diberi kerana esok mereka akan membuat perbentangan di dalam kuliah. Jadi, segala kekusutan dan persoalan perlu mereka bincang bersama kerana selain perbentangan, mereka perlu menjawab soalan-soalan daripada pelajar-pelajar lain mahu pun pensyarah sendiri. Dan yang lebih penting, markah hasil kerja mereka turut diambil peratus dalam markah akhir tahun nanti.
            Baru saja mindanya hendak meneroka pada kemungkinan-kemungkinan soalan yang bakal diutarakan pada keesokkan harinya, tiba-tiba jalannya dihalang. Tersentak Hani melihat seorang lelaki berdiri tegak di hadapannya. Kerana bimbang entah siapa yang ingin membuat jahat, dia ingin melangkah melarikan diri dari sebarang bahaya namun, apabila melihat wajah pemuda itu, langkahnya tidak menjadi. Sebaliknya, dia berhadapan dengan pemuda itu. Entah kenapa ketakutan yang kerap bersarang dahulu dalam dirinya setiap kali bertemu pemuda itu sudah tidak sehebat dulu. Meskipun masih ada lagi perasaan takut dan gerun, namun dia sudah boleh bersemuka dengan lelaki itu. Dia sudah boleh bertentang mata dengan pemuda itu. Satu perubahan yang baik!
            “Kenapa?” Hani memberanikan diri untuk bertanya. Kemunculan Tuah Iskandar yang tiba-tiba tidak sedikit pun menghairankan Hani kerana pemuda itu memang begitu. Muncul di mana-mana saja ikut suka hatinya. Namun, sebab kemunculan pemuda itu kali ini yang menghairankan. Kenapa? Untuk apa bertemu dengannya pada malam-malam buta ni?
            “Aku dah cakap aku tak suka kau buat apa yang aku tak suka,” keras suara Tuah Iskandar memberikan peringatan.
            “Apa yang saya dah buat?”
            “Aku tak suka kau rapat dengan lelaki lain,”
            Hani mengerutkan dahinya.
            “Mana ada saya rapat dengan lelaki?”
            Dalam menjawab kata-kata Tuah Iskandar, fikiran Hani sempat memikirkan maksud kata-kata pemuda itu. Siapa lelaki yang dia maksudkan? Tiba-tiba Hani teringatkan Iqbal. Pasti orang yang Tuah Iskandar maksudkan adalah Iqbal kerana dia dan Iqbal pernah terserempak dengan Tuah Iskandar tempohari.
            “Maksud awak, Iqbal?”
            Diam.
            “Kalau Iqbal yang awak maksudkan, nampaknya awak silap. Iqbal tu kawan saya. Satu kumpulan dengan saya untuk perbentangan projek. Itu saja,”
            “Aku tak nak dengar apa-apa alasan,”
            “Tapi..”
            “Kau kena ingat. Kau awek aku!”
            Hani tidak mampu berkata apa-apa. Hanya matanya mengekori langkah Tuah Iskandar sehingga hilang dari pandangan. Buat seketika, dia hanya berdiri tegak di situ. Memikirkan apa yang sedang berlaku.
            Dari pandangan mata, nampaknya Tuah Iskandar benar-benar mengakui status dia sebagai kekasih pemuda itu. Tuah Iskandar bersungguh dalam hubungan mereka. Kelihatan Tuah Iskandar tidak main-main dalam hal hati dan perasaan kerana wajah pemuda itu tadi nampak begitu tegang. Tidak suka dia rapat dengan lelaki lain. Tuah Iskandar benar-benar memaksudkannya.
            Tetapi…bagaimana pula dengan dirinya sendiri?
            Hani cuba mengimbas kembali apa yang terjadi beberapa minit sebelum ini. Kenapa dia bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya sendiri? Kenapa dia beriya-iya meyakinkan Tuah Iskandar bahawa antara dia dengan Iqbal tiada sebarang hubungan istimewa?
            Adakah dia juga turut mengiyakan hubungan mereka?
            Tidak! Dia tidak pernah menganggap Tuah Iskandar adalah kekasihnya. Dia tidak pernah memberikan jawapan. Hanya pemuda itu yang membuat keputusan sendiri.
            Lantas, kenapa dia bersungguh mengharapkan kepercayaan Tuah Iskandar?  Adakah kerana dia takut dengan lelaki itu? Atau kerana dia mahu menegakkan kebenaran yang sememangnya dia dan Iqbal hanya kawan biasa? Atau dia sudah bersedia menganggap Tuah Iskandar sebagai kekasihnya?
            Ah! Semua ini karut. Tuah Iskandar bukan sesiapa dalam diari hidupnya. Oleh kerana itu, Tuah Iskandar tidak berhak langsung menghalang dia dari berkawan dengan sesiapa apatah lagi untuk mengatur hidupnya.

Thursday, September 5, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 9)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 9)
 
BAB 9
            Deringan telefon bimbit menjerit-jerit minta diangkat. Namun, Tuah Iskandar hanya memandang dengan pandangan sepi. Kemudian, deringan itu berhenti. Tuah Iskandar kembali mengalihkan pandangan ke arah skrin televisyen yang besar yag terdapat di ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu.
            Keadaan rumah besar itu sunyi sepi. Hanya suara dari televisyen sahaja yang meriuhkan suasana. Tuah Iskandar mengeluh seketika. Kemudian, dia memicit alat kawalan televisyen, menukar dari satu rancangan ke rancangan yang lain. Tiada rancangan yang menarik minatnya. Semuanya membosankan. Dan akhirnya dia menekan butang off.
            Suasana terus sepi…
            Tuah Iskandar membaringkan tubuhnya di atas sofa. Menarik nafas dalam-dalam.  Bayangan gadis itu muncul di fikirannya. Pada penilaiannya, paras rupa gadis itu biasa-biasa saje. Mungkin lebih kepada comel berbanding cantik. Mungkin kerana tubuhnya yang genit menyebabkan gadis itu kelihatan lebih muda dari usia sebenar.
            Namun, ini bukan soal rupa. Dia tidak pernah menilai seseorang hanya berdasarkan rupa. Jadi, sebab apa dia memilih gadis itu jika bukan berdasarkan rupa? Kerana budi pekertinya? Tidak! Bukan kerana pekertinya kerana dia tidak pernah mengenali gadis itu. Meskipun dia yakin gadis itu dalah orang baik-baik tetapi dia tidak tahu sikap sebenar gadis itu.
            Jadi, apa sebab dia memilih gadis itu menjadi kekasihnya?
            Tiada sebab
            Dia hanya tahu dia sukakan gadis itu.
            Dan kerana suka, dia ingin menjadikan gadis itu kekasihnya.
            Dia tidak tahu bagaimana cara untuk melamar gadis itu menjadi kekasihnya. Dia bukan lelaki yang romantik. Dia bukan lelaki yang pandai menyusun ayat-ayat manis untuk gadis yang diminati. Dia tidak tahu semua itu. Apa yang dia tahu, dia sukakan gadis itu. Apa cara dan bagaimana, semua itu tak penting. Yang penting, dia sudah meluahkan perasaannya.
            Kini..Hani adalah kekasihnya. Suka atau tidak, gadis itu kini adalah kekasihnya. Sengaja dia membuat keputusan sendiri tanpa mendengar jawapan gadis itu kerana dia tidak mahu kemahuannya ditolak. Dia tidak mahu Hani menolak cintanya.
            Jika di fikirkan apa yang telah dia lakukan…memang gila dan tak masuk akal. Tanpa sebarang kata-kata, dia sudah membuat keputusan yang Hani adalah kekasihnya. Biarlah..biarlah apa orang akan kata dengan caranya yang penting, dia ikhlas. Dia ikhlas mencintai gadis itu.
            Kelakar sungguh! Tuah Iskandar jatuh cinta? Bagaikan tak dapat di percayai. Kalau Zulkifli tahu tentang hal ini, pasti pecah perut rakannya itu ketawa. Tuah Iskandar di lamun cinta? Dengan budak satu fakulti dengan Zulkifli? Sungguh tak masuk akal!
            Tapi itulah kenyataannya. Tinggal setahun lagi dia di kolej, hatinya terusik untuk mengenali seorang gadis. Buat kali pertamanya dia bersungguh-sungguh tentang soal hati dan perasaan. Buat kali pertamanya hatinya berirama apabila melihat seorang gadis. Buat kali pertamanya dia jatuh cinta!
            Namun, adakah gadis itu mengakui yang mereka kini adalah pasangan kekasih?
            Deringan telefon membuatkan dia tersentak. Secara spontan dia menjawab panggilan itu. Namun, suara yang kedengaran di hujung talian membuatkan dia mengeluh. Kesal juga kerana menjawab panggilan tersebut. Jika dia tahu sang pemanggil ini yang membuat panggilan, pasti dia akan membiarkan saja deringan telefon itu berbunyi dan terus berbunyi.
            “Tuah, kau dekat mana ni?” terdengar rengekan manja Lilia di hujung talian.
            “Kenapa?”
            “Dari tadi aku call, engkau tak angkat pun,”
            “Kau nak apa?”
            “Tuah, boleh tak kau berlembut sikit bila bercakap dengan aku? Ini tak, suara macam orang nak marah saje sepanjang masa,”
            “Itu cara aku. Kalau kau tak suka, kau tak payah call aku,”
            Terdengar degusan kasar di hujung talian.
            So, apa kau nak?” Tuah Iskandar sudah malas untuk berbual dengan Lilia. Terasa ingin di matikan saja talian namun dia masih ada perasaan kasihan. Masih ada belas ihsan.
            Are you free tonight?”
            “Tak. Aku busy?”
            “Kau ada apa?”
            “Kau tak payah nak tahu apa aku buat. Just do your own business,”
            “Tuah,”
            “Lilia, kalau tak ada perkara penting, aku off dulu,”
            Sekali lagi Lilia mendegus kasar.
            Belum sempat Lilia menjawab, Tuah Iskandar segera memutuskan talian. Sudah bosan dengan sikap Lilia yang seperti tidak faham bahasa. Kemudian, dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dan dia kembali memikirkan gadis bertudung itu.
            Baru saja dia hendak bermonolog dengan diri sendiri, telefon bimbitnya berdering lagi. Dia menjengah nama yang tertera. Memilih nama yang perlu dijawab dan nama yang perlu diabaikan panggilannya. Namun, panggilan kali ini bukan dari si pengacau. Lantas, dia menjawab.
            “Pagi ini,” suara Kojek terus menuju ke gegendang telinganya. Tanpa salam, tanpa bertanya khabar, Kojek terus kepada tujuannya.
            “Pukul berapa?”
            “Satu pagi,”
            “Di mana?”
            “Tempat biasa,”
            “Okay,”
            “Tuah,”
            “Hmm..”
            “Kali ini aku nak kau menang sebab kali ini habuannya sangat besar,”
            Tuah Iskandar diam.
            “Aku tahu kau tak akan menghampakan aku,” ujar Kojek separuh berbisik dan kemudian di ikuti dengan tawa yang mengilai sebelum memutuskan talian.
            Tuah Iskandar memandang jam di tangannya. Baru jam sembilan malam. Masih banyak masa lagi. Lantas dia terus berbaring di sofa sambil melelapkan mata.
                                                                        **********
            “Siapa perempuan tu?”
            “Perempuan mana ni?”
            “Hei, I ni belum buta lagi tahu tak? You jangan ingat I tak nampak you dekat hotel tadi,”
            “Apa yang you merepek ni?”
            “Oh, bukan main mesra lagi. Siap berpegang tangan, peluk-peluk pinggang. You ingat I tak nampak?”
            “Oh, jadi you mengintip I lah? You dah tak ada kerja lain?”
            “Jadi, betullah perempuan gatal tu perempuan simpanan you? Dasar lelaki tak sedar diri. Dah tua masih ada hati nakkan perempuan muda. Hei, orang tua. Sedarlah sikit diri you tu,”
            “You jangan nak mengata I sebelum you cermin diri you sendri,”
            “Apa yang you cakapkan ni?”
            “Telinga I ni masih belum pekak. You ingat I tak tahu you ada anak ikan? Budak mentah entah dari kolej mana. Berapa you bayar dia sebulan ha?”
            “You jangan nak menutup salah you dengan cari salah I pulak,”
            “Memang itu kenyataannya kan?”
            “You lelaki tua gatal tak sedar diri,”
            “You tu perempuan murahan!”
            Shut up!
            Pertengkaran yang berlaku di antara sepasang suami isteri terus terhenti apabila terdengar jeritan anak tunggal mereka. Serentak mereka berdua berpaling.
            Tuah Iskandar mengambil jaket yang tersidai di atas sofa dan mencapai kunci motornya. Tanpa berpaling, tanpa sebarang kata, dia melangkah keluar dari rumah itu. Beberapa saat selepas itu kedengaran ngauman enjin motor berkuasa tinggi terus membelah kepekatan pada malam itu.
            Hati Tuah Iskandar membara.
                                                                        **********
            Kojek menepuk-nepuk tangannya sambil melangkah menghampiri Tuah Iskandar. Saat berdepan dengan pemuda itu, dia menepuk bahu Tuah Iskandar dengan senyuman yang terukir di bibirnya.
            “Syabas Tuah! Syabas,”
            Tuah Iskandar diam sahaja.
            “Aku suka kau. Kau dah buat aku untung besar,” Kojek tertawa puas.
            “Aku tak akan lupakan habuan untuk kau. So, enjoy your night,” ujar Kojek sambil menghulurkan satu sampul yang berisi wang hadiah kemenangan malam itu beserta dengan seorang gadis yang berdiri di sebelahnya dengan pakaian ketat, sendat dan seksi.
            “I ikut you balik ya sayang,” gadis seksi itu memegang lengan Tuah Iskandar sambil menggesel-geselkan badannya ke arah Tuah Iskandar.
            “Tak payah. Aku tak nak kau. Kau baliklah rumah kau,” Tuah Iskandar menolak. Dia mempunyai pendirian sendiri. Dia bertanding bukan untuk wang apatah lagi perempuan. Dia bertanding hanya untuk memuaskan hatinya! Hanya untuk membebaskan diri daripada masalah. Itu saja!
            “Tapi, I kan milik you. Biar I buat you happy malam ni,”
            “Aku kata aku tak mahu kau, faham!”
            “Tapi..”
            Belum sempat Tuah Iskandar membalas kembali kata-kata gadis seksi itu, tiba-tiba satu suara menerpa ke arah mereka beserta satu tolakan keras ke atas gadis seksi itu menyebabkan gadis itu terjatuh.
            “Hei perempuan. Mamat ni kata tak nak, tak naklah. Kau tak faham bahasa ke?”
            Gadis seksi itu bangun dan terus melangkah dengan bebelan yang entah apa-apa.
            Tuah Iskandar memandang insan di hadapannya itu.
            So, inilah yang di katakan busy sangat tu?” perli Lilia dengan satu renungan tajam ke arah Tuah Iskandar.
            “Ya, kenapa?” jawab Tuah Iskandar bersahaja.
            “Tuah, kenapa kau selalu mengelak dari jumpa aku?”
            “Aku tak mengelak.”
            So, kenapa setiap kali aku ajak kau keluar, ada saja alasan yang kau bagi. Tapi, bila Kojek suruh berlumba, kau ada saje masa. Why?”
            “Sebab aku rasa tak ada apa yang penting untuk keluar dengan kau,”
            “Tuah..kita kawan kan?”
            “Ya kita kawan,”
            So?”
            “Sebagai kawan, kau tak ada hak nak control apa aku buat. Faham!”
            Tuah Iskandar segera memakai topi keledarnya dan terus menekan minyak motosikalnya. Hanya dengan kiraan dua saat, Lilia ditinggalkan dalam keadaan yang terpinga-pinga.
            ‘Tak guna kau, Tuah!’ Lilia mengepal penumbuknya.

Tuesday, September 3, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)
 
BAB 8
            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Masih terngiang-ngiang kata-kata itu di telinganya. Kata-kata dari seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Dari seseorang yang tidak pernah langsung terlintas di fikirannya untuk menjalinkan hubungan yang istimewa. Dari seseorang yang langsung tiada dalam diari hatinya.
            Sukar untuk di percayai tetapi inilah hakikatnya.
            Adakalanya, Hani tidak ingin mempercayai semua yang berlaku. Adakah pemuda kacak seperti Tuah Iskandar akan menyukai dirinya yang serba serbi kekurangan? Tak mungkin!
            Namun, andainya Tuah Iskandar sengaja mencipta lakonan, pasti dia tidak akan memaafkan pemuda itu kerana lakonan Tuah Iskandar membuatkan dia rasa seperti mahu demam.
            “Demam ke?” tanya Hana, kakak Hani yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
            “Taklah,” Hani menafikan walhal mukanya jelas pucat seperti orang tidak sihat.
            “Pucat aje akak tengok kau ni. Iya ke tak demam ni?” Hana tidak berpuas hati. Pantas diletakkan tangannya ke dahi adiknya itu.
            Sejuk!
            “Hani tak demam lah kak. Cuma letih sikit,” ujar Hani apabila melihat wajah Hana berkerut seribu. Mungkin merasa suhu badan Hani tidak selaras dengan wajahnya yang pucat.
            Hana memandang ke arah Hani sambil menggeleng kecil.
            “Kenapa balik kampung minggu ni? Tak ada kuliah ke?” tanya Puan Asyikin sambil menatang dulang yang berisi air kopi serta kuih karipap. Lalu diletakkan di atas meja makan. Masa untuk minum petang. Selalunya Puan Asyikin akan menghidang kuih muih dari air tangannya sendiri. Wanita itu memang pandai membuat kuih sehinggakan ada saja yang menempah kuih muih jika ada kenduri kahwin atau apa-apa majlis.
            “Ayah mana mak?” tanya Hani. Malas untuk menjawab soalan ibunya itu. Bukan tidak suka tetapi menjawab soalan itu mengingatkan dia kepada Tuah Iskandar. Kerana pemuda itu, dia berada di kampung hujung minggu itu.
            “Ayah kamu tu ada kat kebun belakang,” jawab Puan Asyikin sambil menuang air kopi ke dalam cawan. Aroma air kopi yang masih berasap benar-benar membangkitkan selera.
            Segera dicapai secawan kopi lalu didekatkan padanya.
            “Soalan mak kamu tak jawab lagi,” kata Puan Asyikin. Tidak mahu soalannya tergantung begitu sahaja tanpa jawapan.
            “Soalan apa?” Hani pura-pura tidak faham. Aduh! Kenapalah ibu bertanyakan soalan begitu. Tak suka kah anaknya ini pulang ke kampung?
            “Tak ada kuliah minggu ni?” ulang Puan Asyikin.
            “Hujung minggu mana ada kuliah, mak”
            “Biasa hari sabtu mak telefon kamu selalu ada kuliah,”
            “Sabtu ni tak ada kuliah,”
            Puan Asyikin diam mendengar jawapan Hani. Mungkin berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.
            Keadaan sepi seketika. Masing-masing menghirup air kopi yang masih panas dengan hati-hati. Kepekatan kopi membuatkan Hani terbuai seketika. Sungguh sedap kopi buatan emak. Pekat dan sedap.
            Encik Karim tiba-tiba muncul di muka pintu. Sambil mengelap peluh di dahi, Encik Karim duduk di muka pintu, melepaskan penat berkebun sebentar tadi. Encik Karim memang suka berkebun. Walaupun tanah di belakang rumah tidaklah besar sangat tetapi Encik Karim masih boleh bercucuk tanam pelbagai sayurr-sayuran.
            “Makan, ayah,” pelawa Hani.
            “Makanlah dulu. Ayah nak bersihkan badan sekejap,”
            Encik Karim menghilangkan diri ke dalam bilik. Beberapa minit kemudian, Encik Karim muncul di antara mereka bertiga. Sambil duduk di sebelah emak, ayah mencapai kuih karipap lalu mengunyahnya.
            “Kuliah macam mana, Hani?” tu tanya Encik Karim sambil mencapai secawan air kopi yang baru dituang Puan Asyikin.
            “Macam biasalah ayah. Okay saja,”
            “Boleh bawak tak? Belajar doktor ni bukannya senang, Hani,”
            So far okay ayah. Insya’Allah Hani akan cuba yang terbaik,”
            “Belajar rajin-rajin. Dah lulus nanti boleh cari kerja yang baik. Kita bukan orang senang,”
            Hani diam saja. Selalu sangat dia mendengar ayahnya berkata begitu. Namun dia tahu dan akui, mereka bukan dari keluarga yang senang tetapi bukanlah susah sangat. Cukup makan dan pakai. Tetapi kalau hendak bermewah-mewah, mungkin tidak mampu.
            “Hei Hani. Kat sana tak ada pakwe-pakwe yang hensem tak?” Hana menyiku Hani sambil mengenyitkan mata dan tersenyum-senyum penuh makna.
            “Isy, ke situ pula kamu ni Hana. Hani ke sana untuk belajar bukan untuk cari pakwe,” sangkal Puan Asyikin. Hani memandang Hana yang sudah memuncungkan mulutkan. Hani tersenyum melihat telatah kakaknya yang baru putus cinta beberapa bulan lepas. Walaupun Hana sudah berpisah dengan kekasihnya Munir namun Hana tetap dengan sikapnya yang periang. Jika orang yang tidak tahu pasti mereka tidak boleh meneka yang Hana baru putus cinta. Berbeza benar dengan dirinya yang lembik apabila putus dengan Fahmi dulu.
            “Alah, apa salahnya sambil menyelam minum air,”
            “Kalau air tu sedap tak mengapa, kalau air tu pahit..tak ke mana kamu menyelam,”
            “Mak ni…”
            Hani tersenyum mendengar perbualan dua anak beranak itu. Hana memang suka bertelagah dengan Puan Asyikin berbanding dirinya yang hanya menurut saja kata emak.
            Dalam pada itu, Hani teringatkan seseorang. Pakwe yang kacak? Ya, dia sudah jumpa dan pakwe kacak itu ingin menjadikan dia kekasih. Untungnya! Tetapi, ini bukan cerita dongeng Cinderella. Seorang gadis biasa yang dicintai seorang putera raja. Bukan juga cerita-cerita di televisyen, heronya seorang ahli koperat, pegawai besar..Ini kisah hidupnya, di mana Tuah Iskandar adalah seorang gangster.
            Aduh!
                                                                        **********
            Memandang langit yang membiru membuatkan hatinya sedikit tenang. Memandang laut yang terbentang luas, hatinya rasa tenteram. Namun bayangan itu masih tidak mampu diusir dari mindanya. Melekat saja ke mana saja dia pergi.
            “Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
            Adakah benar-benar Tuah Iskandar memaksudkannya? Waraskah Tuah Iskandar ketika mengungkapkannya? Jika begitu, apakah status dirinya yang sebenar?
            Mulai saat ini..maksudnya bermula sekarang, saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar tempohari. Kau adalah awek aku..maksudnya dia adalah kekasih kepada Tuah Iskandar. Jadi, ayat itu bermaksud..mulai saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar kelmarin, dia sudahpun menjadi kekasih pemuda itu?
            Maksudnya sekarang ini aku adalah kekasih Tuah Iskandar?
            Maksudnya sekarang ini, aku tidak keseorangan?
            Maksudnya sekarang ini, aku dah ada pakwe?
            Tidak! Tidak!
            Hani menggeleng beberapa kali. Menafikan segala tafsiran yang di buat.
            “Hai,”
            Suara yang menyapanya membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling kepada tuan empunya suara. Spontan senyuman terukir saat terlihat Halim yang sedang berdiri di sebelahnya.
            “Boleh abang duduk?”
            “Erk  duduklah,”
            Pantas Halim melabuhkan punggungnya di sebelah Hani.
            “Hani okay?”
            “Kenapa abang tanya macam tu? Nampak Hani macam tak okay ke?”
            “Dari jauh tadi abang tengok Hani macam bermasalah aje. Siap mengeleng-geleng kepala. Ada apa-apa yang boleh abang bantu?”
            Alamak! Rupa-rupanya Halim sudah memerhatikan dirinya dari jauh. Malu betul!
            “Erk..tak ada apa-apalah abang. Hani cuma menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan ni. Cantik betul,” dalih Hani.
            “Ya, memang cantik dan kita harus bersyukur kerana dapat menikmatinya,”
            Hani tersenyum. Kemudian, pandangannya diloloskan ke hadapan. Angin yang bertiup nyaman menyapa lembut wajahnya. Begitu mengasyikkan. Seketika dia terbuai dengan hembusan angin yang begitu menyenangkan.
            “Bila abang akan bertukar ke KL?” tanya Hani menghidupkan suasana. Rimas juga apabila masing-masing berdiam diri.
            “Lagi dua minggu,” jawab Halim pendek.
            “Oh, baguslah macam tu. Nanti nak balik kampung, boleh Hani tumpang abang. Tak payah bersesak-sesak beli tiket bas,”
            Aduh! Apa yang kau cakapkan ni, Hani? Sudahlah kau tidak selesa apabila bertemu Halim inikan pula hendak menumpang balik? Itulah, terlajak kata memang dah tak boleh diundur!
            “Boleh. Tapi kena bayar tambang juga,”
            Hani melirik ke arah Halim dengan muncung yang sedepa. Halim tertawa.
            “Abang main-main saja,”
            Serentak itu Hani tertawa. Entah ikhlas atau tidak tawanya dia sendiri tak pasti. Mungkin senang dengan gurauan Halim atau mungkin sekadar untuk mengambil hati saja.
            Kedua insan itu terus saja berbual-bual sambil menikmati suasana nyaman di pantai Telok Kemang itu.
                                                                        **********
            “Kau pergi mana?” tanya Hana yang sedang duduk di serambi rumah sambil tangannya memegang majalah Mingguan Wanita.
            “Dari pantai,” jawab Hani sambil melunjurkan kakinya di sebelah Hana.
            “Jumpa Halim?” tanya Hana sambil mengunyah kerepek pisang yang dibuat oleh Puan Asyikin.
            Hani melirik ke arah Hana. Mana Hana tahu dia bertemu dengan Halim?
            “Halim datang rumah tadi. Lepas tu dia tanya mana kau,” terang Hana seolah-olah mengerti apa yang bermain di fikiran adiknya itu.
            “Oh,” Hani terangguk-angguk.
            “Apa yang oh?”
            “Ha?”
            “Kenapa kau terangguk-angguk bagai?”
            “Tak adalah. Patutlah Abang Halim tahu Hani kat pantai. Rupanya dia singgah rumah dulu,”
            Hana dan Hani sama-sama tersenyum. Kemudian, Hana meneruskan pembacaannya. Menyelak helaian demi helaian. Cepat saja diselaknya. Membaca atau sekadar melihat gambar saja?
            “Hani,”
            Panggilan Hana membuatkan Hani menoleh.
            “Apa?”
            “Kau dengan Halim….”
            Hani faham apa yang ingin di perkatakan Hana walaupun Hana tak meneruskan kata-katanya. Dia faham benar.
            “Dia dah macam abang kandung sendiri,” jawab Hani jujur.
            “Betul ke?”
            “Betullah. Kenapa?”
            “Kau tak ada hati kat Halim tu ke? Diakan baik. Rupa pun boleh tahan,”
            “Mungkin sebab Hani dah anggap dia macam abang kandung sendiri jadi…nak suka lebih dari itu agak susah,”
            Hana tersenyum-senyum menyebabkan Hani pelik dengan perangai kakaknya yang seorang ini.
            “Kenapa?” soal Hani. Dahinya berkerut-kerut melihat sikap Hana.
            “Kalau kau tak suka, aku boleh masuk line,”
            Hani terlopong mendengar pengakuan berani Hana. Tak sangka Hana menyimpan perasaan pada Halim. Wajah Hana ditenung. Hana kembali memandang wajahnya sambil mengangkat-angkat keningnya.
            Ah! Hana memang begitu. Ceria sentiasa walaupun Hana sedia maklum yang Halim pernah menyimpan perasaan pada Hani.