KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 13)
BAB
13
Hani mengerling jam di tangannya.
Sudah jam dua petang. Dia berjanji dengan Julia untuk berjumpa jam tiga petang
nanti. Sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan di bandar. Asyik
menghadap buku 24 jam. Bosan juga rasanya. Oleh itu, dia dan Julia mengambil
keputusan untuk bersiar-siar, makan angin, window
shopping, tengok wayang dan apa-apa saja yang boleh di lakukan untuk
menenangkan fikiran.
Hani memerhatikan gelagat orang yang
lalu lalang di hadapannya. Kadang-kadang dia tersenyum melihat warga kota yang
pelbagai ragam.. tua, muda, kecil, besar, gemuk, kurus…pelbagai aneka
menjadikan suasana kota bagaikan bewarna-warni.
Tiba-tiba Hani teringatkan
seseorang. Pemuda sombong yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Dan sekelip mata
mengisytiharkan dirinya sebagai kekasih. Keputusan yang muktamad tanpa boleh
dibantah walhal sehingga kini dia sendiri tidak tahu status sebenar mereka.
Tuah Iskandar. Pemuda sombong itu
sentiasa memenuhi ruang mindanya. Kadang-kadang dia tertanya-tanya. Sukakah dia
pada Tuah Iskandar? Jika tidak suka, mengapa dia harus sentiasa memikirkan
pemuda itu? Oh! Fikir tidak bermaksud suka. Banyak perkara yang boleh di katakan
jika kita kerap memikirkan seseorang. Mungkin kerana benci menyebabkan kita
mengingatinya. Tetapi, bencikah dia pada Tuah Iskandar?
Hani tidak menafikan, kehadiran Tuah
Iskandar memberikan kesan yang mendalam pada dirinya. Meskipun berkali-kali dia
menafikan hubungan mereka namun Tuah Iskandar seakan-akan tidak memperdulikan
malah pemuda itu terus menganggap dirinya sebagai teman istimewa sehingga
menyebabkan dia tersepit dengan status diri sendiri.
Apa lagi yang harus dia lakukan?
Tiba-tiba Hani merasakan ada
seseorang di sebelahnya. Menyangkakan Julia, terus dia berpaling dengan
senyuman di wajahnya. Namun, senyuman yang terukir terus mati saat
terpandangkan wajah di sebelahnya itu.
“Awak?”
Pemuda itu menoleh ke arahnya dengan
wajah tanpa perasaan. Senyum tidak, marah juga tidak. Seperti biasa. Itulah
Tuah Iskandar.
“Apa awak buat kat sini?” tanya Hani. Ternyata tidak senang dengan
kehadiran pemuda itu.
Tuah Iskandar tidak menjawab
sebaliknya mengalihkan pandangan ke arah kelompok manusia yang melintasi mereka.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Hani
lagi. Kali ini suaranya agak kuat. Ah! Kenapa pemuda ini selalu muncul di hadapannya?
Kenapa pemuda ini selalu ada di mana-mana sahaja?
Tuah Iskandar masih begitu. Diam
tidak bersuara. Melihat sikap diam Tuah Iskandar, Hani akhirnya mengeluh.
Keadaan sepi seketika. Melihat
keadaan yang sebegitu, Hani memulakan bicara.
“Saya tak tahu kenapa awak berada di
sini tetapi saya rasa lebih baik awak pergi. Sekejap lagi Julia akan datang.
Nanti dia nampak awak pula,” ujar Hani mengharapkan agar Tuah Iskandar akan
segera beredar. Sememangnya kemunculan Tuah Iskandar di situ sangat tidak di alu-alukan
oleh dirinya tatkala ini.
“Dia takkan datang,” buat kali pertama
kedengaran suara garau Tuah Iskandar petang itu.
“Apa yang awak merepek ni? Saya dah
janji dengan Julia nak jumpa petang ni. Dah lama kita orang rancang nak
jalan-jalan, tengok wayang. Dia mesti datang!” sahut Hani yakin. Tangannya
digenggam kuat menyatakan keyakinannya yang mendalam.
“Dia takkan datang,” sekali lagi
Tuah Iskandar menyatakan perkara yang sama.
“Kenapa awak kata macam tu?”
“Aku dah pancitkan tayar kereta
dia,”
“What?”
Serentak itu, telefon bimbit Hani
berbunyi. Melihatkan nama Julia yang tertera di skrin telefon, cepat-cepat dia
menjawab.
“Hello Hani,” kedengaran suara Julia
sedikit resah.
“Ya Ju,” sahut Hani sambil matanya
melirik ke arah Tuah Iskandar yang masih duduk di sebelahnya.
“Hani, I’m really sorry. Aku tak dapat datang. Tayar kereta aku pancit.
Tak tahu kenapa. Terkena paku agaknya,”
Sah! Tuah Iskandar memang
betul-betul melaksanakannya.
“So,
kau ada kat mana sekarang ni?”
“Aku kat shop lot depan kolej,”
“So,
macam mana kau nak balik ni?”
“Entahlah. Aku tengah fikir. Zain
kerja pula. Nak tak nak, terpaksa aku tunggu Zain balik kerja,”
Perbualan antara dua rakan itu
berterusan beberapa minit. Sambil berbual di telefon, mata Hani tidak lekang
dari merenung tajam ke arah Tuah Iskandar. Geram sungguh dia dengan pemuda itu.
Sanggup menyusahkan Julia semata-mata untuk menghalang Julia dari bertemu
dengannya. Kasihan Julia menjadi mangsa keadaan.
Sebaik saja tamat perbualan, Hani
terus menerus memandang Tuah Iskandar. Tangannya digenggam. Kecil saja rasanya
Tuah Iskandar di saat itu. Terasa ingin saja ditumbuk muka yang di katakan
kacak oleh pelajar-pelajar kolej. Geramnya bertambah apabila Tuah Iskandar
menunjukkan muka selamba. Muka tidak bersalah.
Isy!
“Kenapa awak buat macam ni?” tanya
Hani dengan suara yang tegas.
Tuah Iskandar menoleh seketika dan
kemudian tersenyum sinis
“Kenapa awak kejam sangat? Awak dah
susahkan Julia. Awak tak tahu macammana keadaan Julia sekarang ni? Macam mana
nak panggil mekanik? Macam mana nak tukar tayar? Macam mana nak balik?” bertubi-tubi
soalan yang di ajukan kepada Tuah Iskandar namun muka selamba pemuda itu
membangkitkan lagi amarah Hani.
“Kalau awak nak keluar dengan saya
pun, awak tak sepatutnya susahkan Julia. Awak boleh terus cakap dengan saya,”
ujar Hani lagi.
“Kalau aku cakap dengan kau, kau nak
keluar dengan aku?” soalan ringkas Tuah Iskandar menjerat dirinya sendiri. Hani
terdiam seketika. Keluar dengan Tuan Iskandar? Tak mungkin! Selama ini, jika
terserempak pun dia akan cuba nelarikan diri, inikan pula mengaturkan pertemuan?
Tak Mungkin!
Tuah Iskandar tidak mendesak Hani untuk
menjawab. Pemuda itu kembali berdiam diri, memerhatikan manusia yang lalu
lalang di hadapan mereka.
“Apapun alasan awak, awak tak
sepatutnya susahkan kawan saya!” Hani tetap berdegil mempersoalkan tindakan
Tuah Iskandar.
“Kau tak perlu risau. Lima minit
lagi, Zul akan datang tolong kawan kau tu,”
Buntang mata Hani mendengar jawapan
Tuah Iskandar.
“Oh, jadi awak dah rancang semua
ni?”
Tuah Iskandar tersenyum mengejek.
“Oh, Tuhan. Kenapa saya yang harus
tempuh semua ni? Kenapa awak perlu ada di sini?” Hani mengeluh sendiri.
“Kerana aku jodoh kau,”
“Jodoh?” kali ini Hani pula
tersenyum mengejek.
Tuah Iskandar diam.
“Awak yakin saya jodoh awak?”
“Aku yakin dengan apa aku buat,”
Hani mengeluh. Gila! Pemuda ini
memang sudah gila!
“Jom,” Tuah Iskandar tiba-tiba
bangun dari duduknya dan kini berdiri betul-betul di hadapan Hani.
“Ke mana?” Hani bertanya pelik.
“Kau kata nak jalan-jalan, window shopping, tengok wayang. Biar aku
temankan kau,” ujar Tuah Iskandar bersahaja.
“Tengok wayang dengan awak? No way,”
Namun, belum sempat Hani melangkah,
lengannya ditarik.
“Lepaskan sayalah!” bentak Hani
namun pegangan tangan Tuah Iskandar semakin kejap. Tidak berdaya untuk Hani
mengalahkan tenaga kuat pemuda itu apatah lagi melihat beberapa pasang mata
sedang memerhatikan mereka. Hani menjadi malu diperhatikan begitu. Namun, Tuah
Iskandar bersikap selamba. Akhirnya Hani menurut sahaja langkah pemuda itu
memasuki pusat membeli belah terkemuka di ibu kota.
**********
Hani memandang Tuah Iskandar yang
sedang mengambil makanan. Serta merta bibirnya mengukir senyum. Tak sangka Tuah
Iskandar akan bersetuju makan di warung tepi jalan. Sangkanya anak orang kaya
akan makan di tempat high class. Tapi
sangkaannya meleset apabila Tuah Iskandar terus saja bersetuju apabila dia
cadangkan untuk makan tengahari di sebuah warung di tepi jalan.
Beberapa minit kemudian, Tuah
Iskandar sudah duduk di sisinya. Walaupun memegang status ‘kekasih’ tetapi dia
tetap merasa janggal duduk berduaan dengan Tuah Iskandar. Dulu, dia pernah
makan berdua dengan Fahmi. Itupun Fahmi duduk berhadapan dengannya. Senang
untuk berbual sambil memandang di antara satu dengan lain, kata Fahmi.
Tetapi..dengan Tuah Iskandar dia merasa gelisah. Mungkin kerana hubungan
samar-samar mereka yang sejauh mana seriusnya.
Sepinggan kerang rebus yang
diletakkan di hadapan Hani membuatkan Hani menoleh ke arah Tuah Iskandar.
“Awak suka kerang rebus?” tanya
Hani.
Tuah Iskandar menggeleng.
“So,
kenapa awak beli kerang rebus?”
“Kau yang suka,”
Hani terdiam lagi.
“Macam mana awak tahu saya suka
makan kerang rebus?”
“Jangan banyak cakap. Makan saje,”
Hani memuncungkan mulutnya. Tanya
pun tak boleh. Hani pantas mendekatkan pinggannya. Nasi kosong berlauk daging
masak asam pedas itu disuakan ke dalam mulut. Walaupun rasanya sedap tetapi
Hani tidak berselera untuk makan. Tuah Iskandar di sisinya dikerling.
Dia tahu buku apa yang sedang aku
cari. Dia tahu apa aku suka makan. Dia tahu cerita wayang apa yang aku hendak
tonton. Apa lagi yang dia tahu tentang aku?
Banyak dia tahu tentang aku. Adakah
dia benar-benar serius dengan hubungan ini? dan...bagaimana dengan gadis yang
di katakan kekasih dia? Gadis kolej lain yang cantik serta seksi itu?
Hani bertanya kepada diri sendiri.
Banyak perkara yang masih samar-samar padanya. Semua tentang Tuah Iskandar dia
tidak tahu. Tetapi, Tuah Iskandar banyak tahu akan perihal dirinya.
“Kenapa tak makan?” soalan Tuah
Iskandar menghalau lamunannya. Serta merta dia menggaul nasi bersama kuah lalu
disuakan ke mulutnya. Perlahan.
“Nah, makan,” Tuah Iskandar
meletakkan kerang yang siap dibuka kulitnya ke dalam pinggan Hani.
“Tak apa. saya boleh buka sendiri,” Hani
melarang namun Tuah Iskandar pantas saja membuka kulit kerang dan isinya
diletakkan ke dalam pinggan Hani. Buat seketika Hani terasa dirinya dimanjakan.
Buat seketika dia terasa seperti mempunyai seorang kekasih yang menyayangi
dirinya. Tetapi..
Hani melirik Tuah Iskandar yang
sedang leka makan. Melihat wajah kacak pemuda itu membuatkan hatinya tenang.
Entah kenapa dia merasa seperti sudah jatuh cinta. Adakah dia sudah jatuh cinta
dengan pemuda itu?
Tak mungkin baru sehari keluar
dengan Tuah Iskandar, dia sudah jatuh cinta?
Ingatannya kembali kepada peristiwa tengahari
tadi. Saat tangannya ditarik Tuah Iskandar untuk masuk ke pusat membeli belah
di ibu kota itu.
**********
Hani berjalan tanpa mempedulikan
Tuah Iskandar di sebelahnya. Malas untuk dia melayan pemuda itu apatah lagi
untuk berbicara. Marahnya terhadap Tuah Iskandar yang telah pancitkan tayar
kereta Julia masih bersisa. Di tambah pula dengan paksaan keluar bersama pemuda
itu. Dua tindakan yang kejam dalam satu masa!
Buat seketika, hanya kesepian yang
mengisi ruang di antara mereka. Baik Hani mahupun Tuah Iskandar langsung tidak
bersuara. Bagi Hani, dia lebih selesa begitu. Dia sendiri tidak tahu apa yang
hendak dibualkan dengan pemuda yang dia tidak berapa kenal.
Penat berjalan, Hani duduk di kerusi
yang disediakan untuk berehat. Tuah Iskandar turut menuruti Hani, duduk di sebelah
gadis itu. Sekali pandang, Tuah Iskandar lagak pengawal peribadi Hani. Menurut
saja tanpa banyak bicara. Hal itu membuatkan Hani tersenyum kecil.
“Ada masa setengah jam lagi,”
tiba-tiba Tuah Iskandar memecah kesunyian antara mereka.
“Setengah jam untuk apa?” tanya Hani
dengan pandangan pelik.
“Wayang akan bermula,”
“Wayang?”
Tuah Iskandar mengeluarkan sesuatu
dari saku seluarnya. Kemudian dia menunjukkan pada Hani.
“Tiket wayang?”
“Kau nak tengok cerita Istanbul aku
datang kan?”
Hani terlopong. Bagaimana Tuah Iskandar
tahu apa cerita yang ingin ditonton bersama Julia?
**********
Hani tersenyum apabila memikirkan di
dalam panggung wayang. Sememangnya cerita Istanbul aku datang sudah lama di nanti-nantikan.
Tidak sabar melihat filem lakonan Lisa Surihani, Beto Khusyairi dan juga Tomok.
Cerita berlatar belakangkan Istanbul membuatkan dia teruja. Dia yang begitu
asyik menonton Istanbul aku datang, tidak sedar Tuah Iskandar sudah terlelap di
sebelahnya.
Hani tersenyum melihat pemuda itu.
Dalam kesamaran lampu, dia melihat wajah Tuah Iskandar. Wajah itu sememangnya
kacak. Tuah Iskandar kelihatan tenang semasa tidur. Tidak seperti ketika sedar.
Pemuda itu berwajah garang dan sukar tersenyum.
Tiba-tiba ada satu perasaan menerpa
ruang hatinya saat melihat wajah itu. Cepat-cepat Hani mengalihkan pandangan.
Tidak mahu dari terus menatap wajah itu. Tidak mahu perasaan aneh tu datang.
Tak mungkin!
“Ehem..”
Hani tersentak. Tuah Iskandar di
sebelahnya dipandang. Cepat-cepat dia menghabiskan nasi yang masih banyak
berbaki. Dalam mindanya terus berputar ligat.
Apa sebenarnya hubungan dia dan Tuah
Iskandar?
15 comments:
mmg btul tuah suka kat hani ni...
'jaga' abis buah ati dia tu
susah btl nak dating dgn org yg xde mulut nie...ckp sebijik2 je...tapi nampak sweet bila tunjuk skp concern tu.
Biasa la tu, mula2 dating memanglah malu... <3<3<3
tapi best jugak...tak banyak cakap tapi caring abis..hehe...
Pelik ni camne Tuah boleh tau semua yg Hani suka.. saya sangat musykil. haha
aduhai Tuah... suka memaksa.. tapi..... i like!!! hehe ^_^
ixora...Tuah Iskandar pasang spy kot...maklumlah...dah minat giler kat Hani..hihi...
Nik Ainaa...Tuah tu tak pandai nak romantik2..kena ajar ni..hehe..
Sambung2..hehe
Sambung2..hehe
alahai.. jatuh cinta la ngan tuah..
NEXT
erkk.. sampai mcm tu skali tuah... kasar tapi romantik... i like it... ngeee ;)
one moment...
citer ni akan sentiasa disambung...rajin2lah ikuti ya :)
nurul...samalah kita..hihi..:)
zakiah...i like tooo...:)
Post a Comment