My Novel

Monday, September 23, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 13)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 13)
 


BAB 13

            Hani mengerling jam di tangannya. Sudah jam dua petang. Dia berjanji dengan Julia untuk berjumpa jam tiga petang nanti. Sudah lama rasanya mereka tidak berjalan-jalan di bandar. Asyik menghadap buku 24 jam. Bosan juga rasanya. Oleh itu, dia dan Julia mengambil keputusan untuk bersiar-siar, makan angin, window shopping, tengok wayang dan apa-apa saja yang boleh di lakukan untuk menenangkan fikiran.

            Hani memerhatikan gelagat orang yang lalu lalang di hadapannya. Kadang-kadang dia tersenyum melihat warga kota yang pelbagai ragam.. tua, muda, kecil, besar, gemuk, kurus…pelbagai aneka menjadikan suasana kota bagaikan bewarna-warni.

            Tiba-tiba Hani teringatkan seseorang. Pemuda sombong yang tiba-tiba hadir dalam hidupnya. Dan sekelip mata mengisytiharkan dirinya sebagai kekasih. Keputusan yang muktamad tanpa boleh dibantah walhal sehingga kini dia sendiri tidak tahu status sebenar mereka.

            Tuah Iskandar. Pemuda sombong itu sentiasa memenuhi ruang mindanya. Kadang-kadang dia tertanya-tanya. Sukakah dia pada Tuah Iskandar? Jika tidak suka, mengapa dia harus sentiasa memikirkan pemuda itu? Oh! Fikir tidak bermaksud suka. Banyak perkara yang boleh di katakan jika kita kerap memikirkan seseorang. Mungkin kerana benci menyebabkan kita mengingatinya. Tetapi, bencikah dia pada Tuah Iskandar?

            Hani tidak menafikan, kehadiran Tuah Iskandar memberikan kesan yang mendalam pada dirinya. Meskipun berkali-kali dia menafikan hubungan mereka namun Tuah Iskandar seakan-akan tidak memperdulikan malah pemuda itu terus menganggap dirinya sebagai teman istimewa sehingga menyebabkan dia tersepit dengan status diri sendiri.

            Apa lagi yang harus dia lakukan?

            Tiba-tiba Hani merasakan ada seseorang di sebelahnya. Menyangkakan Julia, terus dia berpaling dengan senyuman di wajahnya. Namun, senyuman yang terukir terus mati saat terpandangkan wajah di sebelahnya itu.

            “Awak?”

            Pemuda itu menoleh ke arahnya dengan wajah tanpa perasaan. Senyum tidak, marah juga tidak. Seperti biasa. Itulah Tuah Iskandar.

            “Apa awak buat kat sini?”  tanya Hani. Ternyata tidak senang dengan kehadiran pemuda itu.

            Tuah Iskandar tidak menjawab sebaliknya mengalihkan pandangan ke arah kelompok manusia yang melintasi  mereka.

            “Awak buat apa kat sini?” tanya Hani lagi. Kali ini suaranya agak kuat. Ah! Kenapa pemuda ini selalu muncul di hadapannya? Kenapa pemuda ini selalu ada di mana-mana sahaja?

            Tuah Iskandar masih begitu. Diam tidak bersuara. Melihat sikap diam Tuah Iskandar, Hani akhirnya mengeluh.

            Keadaan sepi seketika. Melihat keadaan yang sebegitu, Hani memulakan bicara.

            “Saya tak tahu kenapa awak berada di sini tetapi saya rasa lebih baik awak pergi. Sekejap lagi Julia akan datang. Nanti dia nampak awak pula,” ujar Hani mengharapkan agar Tuah Iskandar akan segera beredar. Sememangnya kemunculan Tuah Iskandar di situ sangat tidak di alu-alukan oleh dirinya tatkala ini.

            “Dia takkan datang,” buat kali pertama kedengaran suara garau Tuah Iskandar petang itu.

            “Apa yang awak merepek ni? Saya dah janji dengan Julia nak jumpa petang ni. Dah lama kita orang rancang nak jalan-jalan, tengok wayang. Dia mesti datang!” sahut Hani yakin. Tangannya digenggam kuat menyatakan keyakinannya yang mendalam.

            “Dia takkan datang,” sekali lagi Tuah Iskandar menyatakan perkara yang sama.

            “Kenapa awak kata macam tu?”

            “Aku dah pancitkan tayar kereta dia,”

            What?

            Serentak itu, telefon bimbit Hani berbunyi. Melihatkan nama Julia yang tertera di skrin telefon, cepat-cepat dia menjawab.

            “Hello Hani,” kedengaran suara Julia sedikit resah.

            “Ya Ju,” sahut Hani sambil matanya melirik ke arah Tuah Iskandar yang masih duduk di sebelahnya.

            “Hani, I’m really sorry. Aku tak dapat datang. Tayar kereta aku pancit. Tak tahu kenapa. Terkena paku agaknya,”

            Sah! Tuah Iskandar memang betul-betul melaksanakannya.

            So, kau ada kat mana sekarang ni?”

            “Aku kat shop lot depan kolej,”

            So, macam mana kau nak balik ni?”

            “Entahlah. Aku tengah fikir. Zain kerja pula. Nak tak nak, terpaksa aku tunggu Zain balik kerja,”

            Perbualan antara dua rakan itu berterusan beberapa minit. Sambil berbual di telefon, mata Hani tidak lekang dari merenung tajam ke arah Tuah Iskandar. Geram sungguh dia dengan pemuda itu. Sanggup menyusahkan Julia semata-mata untuk menghalang Julia dari bertemu dengannya. Kasihan Julia menjadi mangsa keadaan.

            Sebaik saja tamat perbualan, Hani terus menerus memandang Tuah Iskandar. Tangannya digenggam. Kecil saja rasanya Tuah Iskandar di saat itu. Terasa ingin saja ditumbuk muka yang di katakan kacak oleh pelajar-pelajar kolej. Geramnya bertambah apabila Tuah Iskandar menunjukkan muka selamba. Muka tidak bersalah.

            Isy!

            “Kenapa awak buat macam ni?” tanya Hani dengan suara yang tegas.

            Tuah Iskandar menoleh seketika dan kemudian tersenyum sinis

            “Kenapa awak kejam sangat? Awak dah susahkan Julia. Awak tak tahu macammana keadaan Julia sekarang ni? Macam mana nak panggil mekanik? Macam mana nak tukar tayar? Macam mana nak balik?” bertubi-tubi soalan yang di ajukan kepada Tuah Iskandar namun muka selamba pemuda itu membangkitkan lagi amarah Hani.

            “Kalau awak nak keluar dengan saya pun, awak tak sepatutnya susahkan Julia. Awak boleh terus cakap dengan saya,” ujar Hani lagi.

            “Kalau aku cakap dengan kau, kau nak keluar dengan aku?” soalan ringkas Tuah Iskandar menjerat dirinya sendiri. Hani terdiam seketika. Keluar dengan Tuan Iskandar? Tak mungkin! Selama ini, jika terserempak pun dia akan cuba nelarikan diri, inikan pula mengaturkan pertemuan?

            Tak Mungkin!

             Tuah Iskandar tidak mendesak Hani untuk menjawab. Pemuda itu kembali berdiam diri, memerhatikan manusia yang lalu lalang di hadapan mereka.

            “Apapun alasan awak, awak tak sepatutnya susahkan kawan saya!” Hani tetap berdegil mempersoalkan tindakan Tuah Iskandar.

            “Kau tak perlu risau. Lima minit lagi, Zul akan datang tolong kawan kau tu,”

            Buntang mata Hani mendengar jawapan Tuah Iskandar.

            “Oh, jadi awak dah rancang semua ni?”

            Tuah Iskandar tersenyum mengejek.

            “Oh, Tuhan. Kenapa saya yang harus tempuh semua ni? Kenapa awak perlu ada di sini?” Hani mengeluh sendiri.

            “Kerana aku jodoh kau,”

            “Jodoh?” kali ini Hani pula tersenyum mengejek.

            Tuah Iskandar diam.

            “Awak yakin saya jodoh awak?”

            “Aku yakin dengan apa aku buat,”

            Hani mengeluh. Gila! Pemuda ini memang sudah gila!

            “Jom,” Tuah Iskandar tiba-tiba bangun dari duduknya dan kini berdiri betul-betul di hadapan Hani.

            “Ke mana?” Hani bertanya pelik.

            “Kau kata nak jalan-jalan, window shopping, tengok wayang. Biar aku temankan kau,” ujar Tuah Iskandar bersahaja.

            “Tengok wayang dengan awak? No way,”

            Namun, belum sempat Hani melangkah, lengannya ditarik.

            “Lepaskan sayalah!” bentak Hani namun pegangan tangan Tuah Iskandar semakin kejap. Tidak berdaya untuk Hani mengalahkan tenaga kuat pemuda itu apatah lagi melihat beberapa pasang mata sedang memerhatikan mereka. Hani menjadi malu diperhatikan begitu. Namun, Tuah Iskandar bersikap selamba. Akhirnya Hani menurut sahaja langkah pemuda itu memasuki pusat membeli belah terkemuka di ibu kota.

                                                                        **********

            Hani memandang Tuah Iskandar yang sedang mengambil makanan. Serta merta bibirnya mengukir senyum. Tak sangka Tuah Iskandar akan bersetuju makan di warung tepi jalan. Sangkanya anak orang kaya akan makan di tempat high class. Tapi sangkaannya meleset apabila Tuah Iskandar terus saja bersetuju apabila dia cadangkan untuk makan tengahari di sebuah warung di tepi jalan.

            Beberapa minit kemudian, Tuah Iskandar sudah duduk di sisinya. Walaupun memegang status ‘kekasih’ tetapi dia tetap merasa janggal duduk berduaan dengan Tuah Iskandar. Dulu, dia pernah makan berdua dengan Fahmi. Itupun Fahmi duduk berhadapan dengannya. Senang untuk berbual sambil memandang di antara satu dengan lain, kata Fahmi. Tetapi..dengan Tuah Iskandar dia merasa gelisah. Mungkin kerana hubungan samar-samar mereka yang sejauh mana seriusnya.

            Sepinggan kerang rebus yang diletakkan di hadapan Hani membuatkan Hani menoleh ke arah Tuah Iskandar.

            “Awak suka kerang rebus?” tanya Hani.

            Tuah Iskandar menggeleng.

            So, kenapa awak beli kerang rebus?”

            “Kau yang suka,”

            Hani terdiam lagi.

            “Macam mana awak tahu saya suka makan kerang rebus?”

            “Jangan banyak cakap. Makan saje,”

            Hani memuncungkan mulutnya. Tanya pun tak boleh. Hani pantas mendekatkan pinggannya. Nasi kosong berlauk daging masak asam pedas itu disuakan ke dalam mulut. Walaupun rasanya sedap tetapi Hani tidak berselera untuk makan. Tuah Iskandar di sisinya dikerling.

            Dia tahu buku apa yang sedang aku cari. Dia tahu apa aku suka makan. Dia tahu cerita wayang apa yang aku hendak tonton. Apa lagi yang dia tahu tentang aku?

            Banyak dia tahu tentang aku. Adakah dia benar-benar serius dengan hubungan ini? dan...bagaimana dengan gadis yang di katakan kekasih dia? Gadis kolej lain yang cantik serta seksi itu?

            Hani bertanya kepada diri sendiri. Banyak perkara yang masih samar-samar padanya. Semua tentang Tuah Iskandar dia tidak tahu. Tetapi, Tuah Iskandar banyak tahu akan perihal dirinya.

            “Kenapa tak makan?” soalan Tuah Iskandar menghalau lamunannya. Serta merta dia menggaul nasi bersama kuah lalu disuakan ke mulutnya. Perlahan.

            “Nah, makan,” Tuah Iskandar meletakkan kerang yang siap dibuka kulitnya ke dalam pinggan Hani.

            “Tak apa. saya boleh buka sendiri,” Hani melarang namun Tuah Iskandar pantas saja membuka kulit kerang dan isinya diletakkan ke dalam pinggan Hani. Buat seketika Hani terasa dirinya dimanjakan. Buat seketika dia terasa seperti mempunyai seorang kekasih yang menyayangi dirinya. Tetapi..

            Hani melirik Tuah Iskandar yang sedang leka makan. Melihat wajah kacak pemuda itu membuatkan hatinya tenang. Entah kenapa dia merasa seperti sudah jatuh cinta. Adakah dia sudah jatuh cinta dengan pemuda itu?

            Tak mungkin baru sehari keluar dengan Tuah Iskandar, dia sudah jatuh cinta?

            Ingatannya kembali kepada peristiwa tengahari tadi. Saat tangannya ditarik Tuah Iskandar untuk masuk ke pusat membeli belah di ibu kota itu.

                                                                        **********

            Hani berjalan tanpa mempedulikan Tuah Iskandar di sebelahnya. Malas untuk dia melayan pemuda itu apatah lagi untuk berbicara. Marahnya terhadap Tuah Iskandar yang telah pancitkan tayar kereta Julia masih bersisa. Di tambah pula dengan paksaan keluar bersama pemuda itu. Dua tindakan yang kejam dalam satu masa!

            Buat seketika, hanya kesepian yang mengisi ruang di antara mereka. Baik Hani mahupun Tuah Iskandar langsung tidak bersuara. Bagi Hani, dia lebih selesa begitu. Dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dibualkan dengan pemuda yang dia tidak berapa kenal.

            Penat berjalan, Hani duduk di kerusi yang disediakan untuk berehat. Tuah Iskandar turut menuruti Hani, duduk di sebelah gadis itu. Sekali pandang, Tuah Iskandar lagak pengawal peribadi Hani. Menurut saja tanpa banyak bicara. Hal itu membuatkan Hani tersenyum kecil.

            “Ada masa setengah jam lagi,” tiba-tiba Tuah Iskandar memecah kesunyian antara mereka.

            “Setengah jam untuk apa?” tanya Hani dengan pandangan pelik.

            “Wayang akan bermula,”

            “Wayang?”

            Tuah Iskandar mengeluarkan sesuatu dari saku seluarnya. Kemudian dia menunjukkan pada Hani.

            “Tiket wayang?”

            “Kau nak tengok cerita Istanbul aku datang kan?”

            Hani terlopong. Bagaimana Tuah Iskandar tahu apa cerita yang ingin ditonton bersama Julia?

                                                                        **********

 

            Hani tersenyum apabila memikirkan di dalam panggung wayang. Sememangnya cerita Istanbul aku datang sudah lama di nanti-nantikan. Tidak sabar melihat filem lakonan Lisa Surihani, Beto Khusyairi dan juga Tomok. Cerita berlatar belakangkan Istanbul membuatkan dia teruja. Dia yang begitu asyik menonton Istanbul aku datang, tidak sedar Tuah Iskandar sudah terlelap di sebelahnya.

            Hani tersenyum melihat pemuda itu. Dalam kesamaran lampu, dia melihat wajah Tuah Iskandar. Wajah itu sememangnya kacak. Tuah Iskandar kelihatan tenang semasa tidur. Tidak seperti ketika sedar. Pemuda itu berwajah garang dan sukar tersenyum.

            Tiba-tiba ada satu perasaan menerpa ruang hatinya saat melihat wajah itu. Cepat-cepat Hani mengalihkan pandangan. Tidak mahu dari terus menatap wajah itu. Tidak mahu perasaan aneh tu datang. Tak mungkin!

            “Ehem..”

            Hani tersentak. Tuah Iskandar di sebelahnya dipandang. Cepat-cepat dia menghabiskan nasi yang masih banyak berbaki. Dalam mindanya terus berputar ligat.

            Apa sebenarnya hubungan dia dan Tuah Iskandar?

 

15 comments:

Siti Aisyah said...

mmg btul tuah suka kat hani ni...
'jaga' abis buah ati dia tu

HaNiTa aLMiZaN(BLaCKCaT) said...

susah btl nak dating dgn org yg xde mulut nie...ckp sebijik2 je...tapi nampak sweet bila tunjuk skp concern tu.

Unknown said...

Biasa la tu, mula2 dating memanglah malu... <3<3<3

ezi said...

tapi best jugak...tak banyak cakap tapi caring abis..hehe...

Ixorariana said...

Pelik ni camne Tuah boleh tau semua yg Hani suka.. saya sangat musykil. haha

Nik Ainaa said...

aduhai Tuah... suka memaksa.. tapi..... i like!!! hehe ^_^

ezi said...

ixora...Tuah Iskandar pasang spy kot...maklumlah...dah minat giler kat Hani..hihi...

ezi said...

Nik Ainaa...Tuah tu tak pandai nak romantik2..kena ajar ni..hehe..

ONE MOMENT IN TIME said...

Sambung2..hehe

ONE MOMENT IN TIME said...

Sambung2..hehe

Nurul Johari said...

alahai.. jatuh cinta la ngan tuah..
NEXT

Zakiah Halim said...

erkk.. sampai mcm tu skali tuah... kasar tapi romantik... i like it... ngeee ;)

ezi said...

one moment...
citer ni akan sentiasa disambung...rajin2lah ikuti ya :)

ezi said...

nurul...samalah kita..hihi..:)

ezi said...

zakiah...i like tooo...:)