KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 8)
BAB
8
“Mulai saat ini, kau adalah awek
aku.”
Masih terngiang-ngiang kata-kata itu
di telinganya. Kata-kata dari seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Dari
seseorang yang tidak pernah langsung terlintas di fikirannya untuk menjalinkan
hubungan yang istimewa. Dari seseorang yang langsung tiada dalam diari hatinya.
Sukar untuk di percayai tetapi
inilah hakikatnya.
Adakalanya, Hani tidak ingin
mempercayai semua yang berlaku. Adakah pemuda kacak seperti Tuah Iskandar akan
menyukai dirinya yang serba serbi kekurangan? Tak mungkin!
Namun, andainya Tuah Iskandar
sengaja mencipta lakonan, pasti dia tidak akan memaafkan pemuda itu kerana
lakonan Tuah Iskandar membuatkan dia rasa seperti mahu demam.
“Demam ke?” tanya Hana, kakak Hani
yang tiga tahun lebih tua daripadanya.
“Taklah,” Hani menafikan walhal
mukanya jelas pucat seperti orang tidak sihat.
“Pucat aje akak tengok kau ni. Iya
ke tak demam ni?” Hana tidak berpuas hati. Pantas diletakkan tangannya ke dahi
adiknya itu.
Sejuk!
“Hani tak demam lah kak. Cuma letih
sikit,” ujar Hani apabila melihat wajah Hana berkerut seribu. Mungkin merasa
suhu badan Hani tidak selaras dengan wajahnya yang pucat.
Hana memandang ke arah Hani sambil
menggeleng kecil.
“Kenapa balik kampung minggu ni? Tak
ada kuliah ke?” tanya Puan Asyikin sambil menatang dulang yang berisi air kopi
serta kuih karipap. Lalu diletakkan di atas meja makan. Masa untuk minum
petang. Selalunya Puan Asyikin akan menghidang kuih muih dari air tangannya
sendiri. Wanita itu memang pandai membuat kuih sehinggakan ada saja yang
menempah kuih muih jika ada kenduri kahwin atau apa-apa majlis.
“Ayah mana mak?” tanya Hani. Malas
untuk menjawab soalan ibunya itu. Bukan tidak suka tetapi menjawab soalan itu
mengingatkan dia kepada Tuah Iskandar. Kerana pemuda itu, dia berada di kampung
hujung minggu itu.
“Ayah kamu tu ada kat kebun
belakang,” jawab Puan Asyikin sambil menuang air kopi ke dalam cawan. Aroma air
kopi yang masih berasap benar-benar membangkitkan selera.
Segera dicapai secawan kopi lalu
didekatkan padanya.
“Soalan mak kamu tak jawab lagi,”
kata Puan Asyikin. Tidak mahu soalannya tergantung begitu sahaja tanpa jawapan.
“Soalan apa?” Hani pura-pura tidak
faham. Aduh! Kenapalah ibu bertanyakan soalan begitu. Tak suka kah anaknya ini
pulang ke kampung?
“Tak ada kuliah minggu ni?” ulang
Puan Asyikin.
“Hujung minggu mana ada kuliah, mak”
“Biasa hari sabtu mak telefon kamu
selalu ada kuliah,”
“Sabtu ni tak ada kuliah,”
Puan Asyikin diam mendengar jawapan
Hani. Mungkin berpuas hati dengan jawapan anaknya itu.
Keadaan sepi seketika. Masing-masing
menghirup air kopi yang masih panas dengan hati-hati. Kepekatan kopi membuatkan
Hani terbuai seketika. Sungguh sedap kopi buatan emak. Pekat dan sedap.
Encik Karim tiba-tiba muncul di muka
pintu. Sambil mengelap peluh di dahi, Encik Karim duduk di muka pintu,
melepaskan penat berkebun sebentar tadi. Encik Karim memang suka berkebun.
Walaupun tanah di belakang rumah tidaklah besar sangat tetapi Encik Karim masih
boleh bercucuk tanam pelbagai sayurr-sayuran.
“Makan, ayah,” pelawa Hani.
“Makanlah dulu. Ayah nak bersihkan
badan sekejap,”
Encik Karim menghilangkan diri ke
dalam bilik. Beberapa minit kemudian, Encik Karim muncul di antara mereka
bertiga. Sambil duduk di sebelah emak, ayah mencapai kuih karipap lalu
mengunyahnya.
“Kuliah macam mana, Hani?” tu tanya
Encik Karim sambil mencapai secawan air kopi yang baru dituang Puan Asyikin.
“Macam biasalah ayah. Okay saja,”
“Boleh bawak tak? Belajar doktor ni
bukannya senang, Hani,”
“So
far okay ayah. Insya’Allah Hani akan cuba yang terbaik,”
“Belajar rajin-rajin. Dah lulus
nanti boleh cari kerja yang baik. Kita bukan orang senang,”
Hani diam saja. Selalu sangat dia
mendengar ayahnya berkata begitu. Namun dia tahu dan akui, mereka bukan dari
keluarga yang senang tetapi bukanlah susah sangat. Cukup makan dan pakai.
Tetapi kalau hendak bermewah-mewah, mungkin tidak mampu.
“Hei Hani. Kat sana tak ada
pakwe-pakwe yang hensem tak?” Hana menyiku Hani sambil mengenyitkan mata dan
tersenyum-senyum penuh makna.
“Isy, ke situ pula kamu ni Hana.
Hani ke sana untuk belajar bukan untuk cari pakwe,” sangkal Puan Asyikin. Hani
memandang Hana yang sudah memuncungkan mulutkan. Hani tersenyum melihat telatah
kakaknya yang baru putus cinta beberapa bulan lepas. Walaupun Hana sudah
berpisah dengan kekasihnya Munir namun Hana tetap dengan sikapnya yang periang.
Jika orang yang tidak tahu pasti mereka tidak boleh meneka yang Hana baru putus
cinta. Berbeza benar dengan dirinya yang lembik apabila putus dengan Fahmi
dulu.
“Alah, apa salahnya sambil menyelam
minum air,”
“Kalau air tu sedap tak mengapa,
kalau air tu pahit..tak ke mana kamu menyelam,”
“Mak ni…”
Hani tersenyum mendengar perbualan
dua anak beranak itu. Hana memang suka bertelagah dengan Puan Asyikin
berbanding dirinya yang hanya menurut saja kata emak.
Dalam pada itu, Hani teringatkan
seseorang. Pakwe yang kacak? Ya, dia sudah jumpa dan pakwe kacak itu ingin
menjadikan dia kekasih. Untungnya! Tetapi, ini bukan cerita dongeng Cinderella.
Seorang gadis biasa yang dicintai seorang putera raja. Bukan juga cerita-cerita
di televisyen, heronya seorang ahli koperat, pegawai besar..Ini kisah hidupnya,
di mana Tuah Iskandar adalah seorang gangster.
Aduh!
**********
Memandang langit yang membiru
membuatkan hatinya sedikit tenang. Memandang laut yang terbentang luas, hatinya
rasa tenteram. Namun bayangan itu masih tidak mampu diusir dari mindanya.
Melekat saja ke mana saja dia pergi.
“Mulai saat ini, kau adalah awek aku.”
Adakah benar-benar Tuah Iskandar
memaksudkannya? Waraskah Tuah Iskandar ketika mengungkapkannya? Jika begitu,
apakah status dirinya yang sebenar?
Mulai saat ini..maksudnya bermula
sekarang, saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar tempohari. Kau adalah awek
aku..maksudnya dia adalah kekasih kepada Tuah Iskandar. Jadi, ayat itu
bermaksud..mulai saat dia berdepan dengan Tuah Iskandar kelmarin, dia sudahpun
menjadi kekasih pemuda itu?
Maksudnya sekarang ini aku adalah kekasih
Tuah Iskandar?
Maksudnya sekarang ini, aku tidak
keseorangan?
Maksudnya sekarang ini, aku dah ada
pakwe?
Tidak! Tidak!
Hani menggeleng beberapa kali.
Menafikan segala tafsiran yang di buat.
“Hai,”
Suara yang menyapanya membuatkan dia
tersentak. Segera dia berpaling kepada tuan empunya suara. Spontan senyuman
terukir saat terlihat Halim yang sedang berdiri di sebelahnya.
“Boleh abang duduk?”
“Erk
duduklah,”
Pantas Halim melabuhkan punggungnya
di sebelah Hani.
“Hani okay?”
“Kenapa abang tanya macam tu? Nampak
Hani macam tak okay ke?”
“Dari jauh tadi abang tengok Hani
macam bermasalah aje. Siap mengeleng-geleng kepala. Ada apa-apa yang boleh
abang bantu?”
Alamak! Rupa-rupanya Halim sudah
memerhatikan dirinya dari jauh. Malu betul!
“Erk..tak ada apa-apalah abang. Hani
cuma menikmati pemandangan indah ciptaan Tuhan ni. Cantik betul,” dalih Hani.
“Ya, memang cantik dan kita harus
bersyukur kerana dapat menikmatinya,”
Hani tersenyum. Kemudian, pandangannya
diloloskan ke hadapan. Angin yang bertiup nyaman menyapa lembut wajahnya.
Begitu mengasyikkan. Seketika dia terbuai dengan hembusan angin yang begitu
menyenangkan.
“Bila abang akan bertukar ke KL?” tanya
Hani menghidupkan suasana. Rimas juga apabila masing-masing berdiam diri.
“Lagi dua minggu,” jawab Halim
pendek.
“Oh, baguslah macam tu. Nanti nak
balik kampung, boleh Hani tumpang abang. Tak payah bersesak-sesak beli tiket
bas,”
Aduh! Apa yang kau cakapkan ni,
Hani? Sudahlah kau tidak selesa apabila bertemu Halim inikan pula hendak menumpang
balik? Itulah, terlajak kata memang dah tak boleh diundur!
“Boleh. Tapi kena bayar tambang
juga,”
Hani melirik ke arah Halim dengan
muncung yang sedepa. Halim tertawa.
“Abang main-main saja,”
Serentak itu Hani tertawa. Entah
ikhlas atau tidak tawanya dia sendiri tak pasti. Mungkin senang dengan gurauan
Halim atau mungkin sekadar untuk mengambil hati saja.
Kedua insan itu terus saja
berbual-bual sambil menikmati suasana nyaman di pantai Telok Kemang itu.
**********
“Kau pergi mana?” tanya Hana yang
sedang duduk di serambi rumah sambil tangannya memegang majalah Mingguan
Wanita.
“Dari pantai,” jawab Hani sambil
melunjurkan kakinya di sebelah Hana.
“Jumpa Halim?” tanya Hana sambil
mengunyah kerepek pisang yang dibuat oleh Puan Asyikin.
Hani melirik ke arah Hana. Mana Hana
tahu dia bertemu dengan Halim?
“Halim datang rumah tadi. Lepas tu
dia tanya mana kau,” terang Hana seolah-olah mengerti apa yang bermain di
fikiran adiknya itu.
“Oh,” Hani terangguk-angguk.
“Apa yang oh?”
“Ha?”
“Kenapa kau terangguk-angguk bagai?”
“Tak adalah. Patutlah Abang Halim
tahu Hani kat pantai. Rupanya dia singgah rumah dulu,”
Hana dan Hani sama-sama tersenyum.
Kemudian, Hana meneruskan pembacaannya. Menyelak helaian demi helaian. Cepat
saja diselaknya. Membaca atau sekadar melihat gambar saja?
“Hani,”
Panggilan Hana membuatkan Hani
menoleh.
“Apa?”
“Kau dengan Halim….”
Hani faham apa yang ingin di
perkatakan Hana walaupun Hana tak meneruskan kata-katanya. Dia faham benar.
“Dia dah macam abang kandung sendiri,”
jawab Hani jujur.
“Betul ke?”
“Betullah. Kenapa?”
“Kau tak ada hati kat Halim tu ke?
Diakan baik. Rupa pun boleh tahan,”
“Mungkin sebab Hani dah anggap dia
macam abang kandung sendiri jadi…nak suka lebih dari itu agak susah,”
Hana tersenyum-senyum menyebabkan
Hani pelik dengan perangai kakaknya yang seorang ini.
“Kenapa?” soal Hani. Dahinya
berkerut-kerut melihat sikap Hana.
“Kalau kau tak suka, aku boleh masuk
line,”
Hani terlopong mendengar pengakuan
berani Hana. Tak sangka Hana menyimpan perasaan pada Halim. Wajah Hana
ditenung. Hana kembali memandang wajahnya sambil mengangkat-angkat keningnya.
Ah! Hana memang begitu. Ceria
sentiasa walaupun Hana sedia maklum yang Halim pernah menyimpan perasaan pada
Hani.
7 comments:
Pendek sgt lh dik
Erkk, takde Tuah ke bab ni?? Ahaha.. rindu pulak kt Tuah ;p
kak ayu...mmg stail kita macam ni kot..dalam 6-7 page ajer satu bab..hihi..:)
Ixora..Tuah ada di bab seterusnya ya..rindu Tuah? Aduh, jelesnya saya..hehe..:)
selamba hana..ekeke..tp bagus gak..x yah la hani dgn halim...
hana tu ceria..bagus jugak..tak makan hati nanti..:)
hani x nak halim... hana masuk line... brani betul hana ckp gitu... kekeke
Post a Comment