KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 7)
BAB
7
Keadaan sunyi sepi, hanya kedengaran
suara Prof. Jamilah yang sedang memberi kuliah. Subjek anatomi, yang
membincangkan kajian tentang struktur badan makhluk bernyawa, langsung tidak
masuk ke dalam kepalanya. Fikirannya tidak dapat menerima pembelajaran hari itu
dan nota pun tidak sempat disalin. Dia menjadi tidak menentu hari itu.
Semuanya gara-gara Tuah Iskandar.
Walaupun sudah dua hari perkara itu berlalu namun dia masih sukar untuk
percaya. Benarkah apa yang Tuah Iskandar tuturkan? Tak mungkin pemuda itu
menyukai gadis biasa seperti dirinya.
Selama dua hari ini dia tidak
terserempak dengan Tuah Iskandar. Dia benar-benar menarik nafas lega. Kalau
boleh dia tidak mahu bersemuka langsung dengan pemuda itu. Bagaimana kalau
pemuda itu benar-benar maksudkannya? Bagaimana kalau Tuah Iskandar bertanyakan
jawapannya nanti?
Tidak! Itulah jawapan yang patu di berikan
kepada Tuah Iskandar.
Sedang ramai gadis mengimpikan untuk
memiliki cinta Tuah Iskandar…dia pula menolak. Tetapi, pelikkah jika dia
menolak pemuda itu?
Tidak! Tidak pelik kalau dia
menolak. Yang pelik adalah kalau dia menerima pemuda itu yang tiba-tiba hadir
dalam hidupnya. Tanpa berkenalan, tanpa mengetahui antara satu dengan lain
apatah lagi dengan ketakutan dia kepada gangster dan tiba-tiba hendak bercinta?
Itu yang pelik.
Tetapi, mampukah dia memberikan
jawapan kerana setiap kali berhadapan dengan Tuah Iskandar, lututnya akan kaku.
Lidahnya kelu. Seluruh tubuhnya bagaikan menggigil. Dia bagaikan patung yang
tegak berdiri tanpa sedikitpun berbunyi. Hanya mengiyakan kata-kata Tuah
Iskandar.
Hai, kalaulah Julia dan Syasya tahu
akan hal ini, pasti mereka sudah menjerit-jerit bagaikan orang terkena histeria.
Tentu Julia dan Syasya akan terlompat-lompat bagaikan orang kurang siuman. Atau
lebih dasyat lagi, Julia dan Syasya akan mengadakan jamuan sempena berita baik
itu.
Berita baik? Baik sangatlah!
Tetapi, dia tidak mahu menceritakan perkara ini kepada rakan-rakannya
kerana bagi dirinya, tiada yang penting berkenaan perkara ini. Dia sendiri
tidak tahu akan niat sebenar Tuah Iskandar. Mungkin Tuah Iskandar sengaja mahu
mempermainkan dirinya. Mungkin Tuah Iskandar mahu membalas dendam atas
perilakunya yang dulu. Mungkin!
“Woi,”
Tangannya disiku. Hani terkejut.
Segera dia berpaling pada Julia yang duduk di sebelahnya.
“Tak nak balik?” tanya Julia sambil
mengangkat keningnya.
“Dah habis kuliah ke?” soalan bodoh
yang ditanya menampakkan dia tidak fokus pada kuliah sebentar tadi.
“Kau berangan atau tidur ni?” sindir
Julia. Syasya yang duduk di sebelah Julia hanya tersenyum.
Hani tersengih-sengih.
“Dahlah. Jom kita pergi makan.
Biarlah si Hani ni berangan ke tidur ke, asalkan dia tak kena histeria kat
dalam kuliah ni sudah la,”
Hani tersengih lagi mendengar
kata-kata Syasya. Sebelum keluar dari dewan kuliah, sempat Hani meminjam nota
Julia. Julia yang faham sangat akan perangai rakannya itu terus memberikan nota
kuliah kepada Hani.
**********
“Hani!”
Hani yang terbongkok-bongkok di
belakang Julia terus tersondol Julia yang berjalan di hadapannya.
“Aduh!” Hani menggosok-gosok
kepalanya yang sakit manakala Julia menggosok pinggangnya yang dilanggar Hani.
Bagai mahu patah pinggang kerengga Julia apabila terkena kepala Hani.
“Sakitlah, Hani,” bentak Julia
sambil menampar bahu Hani.
“Yang kau berhenti tu kenapa?”
“Yang engkau terbongkok-bongkok kat
belakang aku ni kenapa?”
Keadaan sepi seketika. Tiada jawapan
daripada Hani mahupun Julia. Hani berdiri tegak namun matanya sempat melirik ke
arah bangunan perpustakaan yang terletak tidak jauh dari tempat dia berdiri.
Dia nampak Tuah Iskandar sebentar
tadi sedang berdiri di luar perpustakaan sambil memeluk tubuh dan memerhatikan
dirinya. Tiba-tiba lututnya menggigil. Pantas dia menyembunyikan diri di
belakang Julia meskipun dia tahu tak mungkin dia dapat berselindung di sebalik
tubuh kecil Julia.
Hani memanjangkan lehernya. Tuah Iskandar
sudah tiada di situ. Cepatnya dia hilang. Macam biskut pula. Sekejap ada
sekejap tak ada.
“Hani!”
Serentak Hani berpaling apabila
Julia mula meninggikan suara.
“Ha?”
“Boleh aku tanya sikit?”
“Tanya apa?”
“Kenapa dengan kau ni ha? Sejak
akhir-akhir ni perangai kau pelik sangat. Jalan pun nyorok-nyorok. Kenapa? Ada
paparazzi ikut kau ke?”
“Erk..tak adalah. Siapalah aku yang
nak dikejar paparazzi,”
“Tahupun. Kalau paparazzi kejar
engkau aku hairan tapi kalau paparazzi kejar Tuah Iskandar aku tak hairan sebab
dia tu kacak, kaya…”
“Dah..dah..dah..kau ni Julia, kalau
bercakap tentang Tuah Iskandar siap buat mimik muka macam orang angau.
Menyampah aku,” ujar Syasya.
“Kau cemburu ya?”
“Aku cemburu? Sorry. Cemburu-cemburu pun bukannya boleh dapat Tuah Iskandar tu,”
Maka, berlaku sedikit perdebatan di
antara Julia dan Syasya. Dan topik debat kali ini adalah Tuah Iskandar.
Hani tiba-tiba rasa sesak nafas.
**********
Topik tentang Tuah Iskandar masih
tidak berhenti-henti sehinggakan mereka sudah berada di kafeteria fakulti untuk
menikmati makan tengahari. Hani hanya memasang telinga. Macam-macam cerita yang
didengar termasuklah perbincangan bagaimana untuk membuatkan Tuah Iskandar
jatuh hati kepada perempuan. Bolehkah gangster seperti itu cair dengan seorang
gadis?
Memang sudah tidak betul
rakan-rakannya itu. Mereka terlupa agaknya yang mereka tu makwe orang. Kalaulah
Zain dan Taufiq tahu, pasti kena tinggal Julia dan Syasya. Padan muka.
Hani tergelak sendiri. Sudah sedia
maklum akan hubungan antara Julia dan Zain serta Syasya dan Taufiq. Zain
sudahpun bekerja manakala Taufiq melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya.
Hani tahu walaupun Julia dan Syasya sibuk-sibuk dengan Tuah Iskandar namun
dalam hati mereka tetap nama Zain dan Taufiq yang terpahat.
“Eh Hani, kita orang main-main saje.
Bukannya serius. Kau rasa bolehkah kita orang dapat si Tuah Iskandar tu?”
Itulah jawapan Julia saat Hani
menaikkan nama Zain. Tahu takut!
“Tapi kalau dapat…” Julia sudah
berada di alam angan-angannya. Tangannya digenggam sambil matanya
dikerdip-kerdip. Benci sungguh!
“Aku beritahu Zain nanti,” ugut
Syasya.
“Macamlah aku tak boleh beritahu
Taufiq,” ugutan dibalas dengan ugutan oleh Julia. Hani cuma tertawa melihat
perihal rakan-rakannya itu.
Tiba-tiba dia teringatkan Fahmi.
Kalaulah dia dan Fahmi masih bersama, tidaklah sebeban ini perasaannya. Pasti
mereka bertiga bahagia dengan pasangan masing-masing.
Keadaan sepi seketika. Masing-masing
menumpukan perhatian pada makanan yang terhidang di depan mata. Sebentar lagi
kuliah petang akan bermula.
“Kau orang rasa Tuah tu dah ada
makwe tak? Tak mungkin dia gay kan?”
tiba-tiba Syasya bersuara dan topiknya masih tidak lari berkisar mengenai Tuah
Iskandar. Apa yang hebat sangat pemuda itu sehingga namanya tak henti-henti disebut.
“Entah. Tapi aku ada dengar cerita,”
Kata-kata Julia menarik minat Hani.
Entah kenapa dia begitu berminat dengan cerita mengenai Tuah Iskandar. Adakah
kerana pertemuan tempohari?
“Cerita apa ni?” tanya Syasya cepat.
Hani cuma curi dengar. Tidak mahu di anggap gelojoh untuk mengetahui tentang
Tuah Iskandar.
“Aku dengar Tuah tu ada awek
kat luar kolej. Budak kolej lain.”
“Betulke? Hmm, patutlah dia tak
layan budak-budak kolej kita,”
“Aku dengar lagi, makwe dia tu
cantik, putih, seksi pula tu. Budak-budak sosial jugalah. Sesuailah dengan
Tuah. Dia kan gangster,”
Kata-kata Julia membuatkan Hani
terdiam. Kemudian dia mula berfikir. Benarkah Tuah Iskandar dah ada makwe? Jika
benar, kenapa pemuda itu melamarnya menjadi kekasih tempohari? Sah! Tuah
Iskandar ingin mempermainkannya.
Meskipun dia mahu menolak permintaan
Tuah Iskandar, namun hatinya sedikit terguris mendengar cerita Julia tadi. Tuah
Iskandar memang sengaja hendak mempermainkannya. Meskipun tiada langsung
perasaan terhadap pemuda itu tetapi pemuda itu tidak berhak mempermainkan soal
hati dan perasaan.
Sekali lagi dia teringatkan Fahmi.
Kenapa semua orang ingin
mempermainkan dirinya?
Jahat sangatkah dia sehingga semua
orang ingin mengguris perasaannya?
Hani teringat semula kata-kata
Julia. Makwe Tuah Iskandar seorang yang cantik dan seksi. Memanglah. Bukankah
Tuah iskandar itu gangster. Mana ada gangster kawan dengan orang bertudung.
Kalau tengok di dalam filem atau drama-drama, gangster pasti dapat makwe yang
cantik dan seksi, yang akan membonceng motosikal si gangster itu pergi ke
mana-mana. Lepak dengan geng-geng motor sehingga larut malam. Dan kemudian
menemani gangster itu pergi berlumba, pergi kelab malam, menari terkinja-kinja
sambil berpelukan.
Mungkin itulah kehidupan Tuah
Iskandar. Begitu berbeza dengan kehidupan yang dia lalui. Ternyata dunia mereka
berbeza. Jadi, tak padan langsung jika mereka bergelar kekasih.
Isy, apa yang kau fikirkan ini, Hani?
Kenapa perlu fikirkan semua ini? Bukankah kau tak ada perasaan langsung pada
Tuah Iskandar? Bukankah kau ingin menolak lamaran dia tempohari? Jadi, tiada
persoalan dunia yang berbeza dan tiada persoalan sama ada sesuai atau tidak.
Hani terdiam mendengar bisikan
hatinya.
Ya! Kenapa dia perlu memikirkan
semua itu walhal ia sangat tidak penting untuk dirinya.
**********
Berkali-kali dia menasihati diri
sendiri supaya tidak memikirkan sangat tentang Tuah Iskandar yang sudah
mempunyai teman istimewa. Tetapi dalam cuba menafikan, hatinya benar-benar
terguris. Mungkin, kecewa akibat percintaan yang lepas masih belum sembuh dan
kini ada orang yang ingin memperainkan dirinya. Mungkin, dia terasa dirinya
begitu murah pada pandangan lelaki-lelaki itu. Lantaran itu, hatinya mudah tersentuh.
Lelaki semuanya sama. Suka
mempermainkan hati perempuan.
Dia ingat dia tu siapa? Walaupun
gangster kat kolej ni. Walaupun glamor tetapi dia tiada hak pun untuk mempermainkan
perasaan orang lain. Walaupun dia anak orang kaya yang mempunyai harta
berlimpah ruah sekalipun tetapi dia juga tiada hak untuk berbuat sesuka hati.
Dia tiada hak langsung!
Hani mengepal-kepal penumbuknya.
Rasanya ingin saja dia menghayunkan penumbuk itu ke arah Tuah Iskandar. Biar
pemuda itu insaf dan meminta maaf tetapi…
Adakah kemungkinan perkara itu
berlaku?
Mungkin tidak!
Sedang asyik melayan perasaan,
tiba-tiba tangannya ditarik. Hani terkejut. Ingin dia menjerit tetapi apabila
melihat wajah di hadapannya, terus dia menjadi kaku.
“Kau ingat kau boleh lari dari aku?”
sergah Tuah Iskandar. Tangannya sengaja diletakkan di dinding, menghalang Hani
daripada melepaskan diri.
“Awak..awak nak apa?” tergagap-gagap
Hani bertanya. Huh, tadi bukan main garang lagi. Siap nak tumbuk-tumbuk Tuah Iskandar.
Nah, sekarang hendak bercakap pun dia tidak berani.
“Kau tanya aku nak apa?” pertanyaan
dijawab dengan pertanyaan membuatkan Hani kecut perut. Apatah lagi melihat
renungan tajam Tuah Iskandar terus-terus menikam dalam anak matanya.
Hani tidak tahu hendak berbicara
apa. Masakan dia tidak ingat akan lamaran Tuah Iskandar tempohari. Dia masih
ingat dan dia tahu Tuah Iskandar sedang menantikan jawapan. Malah dia sudah
menyediakan jawapannya tetapi kenapa berat sangat mulut ini untuk menyebutnya?
“Apa jawapan kau?” pertanyaan Tuah
Iskandar membuatkan nafasnya bertambah sesak. Terasa jantungnya berhenti
mengepam darah ke seluruh badan menyebabkan tubuhnya terasa lemah tidak
bermaya.
“Saya…erk..saya..” kenapa dia tak
mampu bersuara? Jawablah Hani yang kau tak mahu jadi awek dia.
“Kau dengar sini. Mulai saat ini,
kau adalah awek aku,”
Hani merenung Tuah Iskandar. Matanya
bulat mendengar kenyataan yang dibuat oleh Tuah Iskandar.
“Dan aku tak suka kau buat
perkara-perkara yang aku tak suka,” ujar Tuah Iskandar lalu terus berlalu dari
situ meninggalkan Hani terkebil-kebil berseorangan.
12 comments:
Best.....tp nk lg
Huhuhu
Tq sis
ayu,
rajin2 lah jengah blog ini nanti ya..:)
Sedap pulak cerita ni.. hehe.. tapi belum sempat baca dari bab 1.. nnt ada masa free nak marathon dari awal la..hehe
Ixora..terima kasih jengah ke blog ni..sudi2lah ikuti cerita Tuah dan Hani..:)
Dah habis marathon dari bab 1. Hihihi.
Asyik baca kisah org dewasa yg dh keje.. projek juta2.. sekali sekala baca kisah Tuah dan Hani ni best jugak. Menarik! =)
Nnt kalau rajin, sambung ye.. tak sabar nak tau apa jadi dengan Hani lepas tu. ;)
Ixora..terima kasih sudi baca kisah Tuah dan Hani..happy juga saya bila ada orang suka cerita ni..nanti saya update lagi ye..:)
Dh baca dr bab 1-7.tk sbar nk tggu bab yg seterusnya..
Mas Buang..kalau tak sabar, kenalah selalu jengah ke blog ni..hihi..InsyaAllah saya akan update dari masa ke semasa..
oh no....kan terpaksa...ei...tuah ni..tumbuk kang...hahaha
sis aisyah..hikhik..:)
OMGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGG
ok..x tau nk kate prasaan ku ini.. NEXT
mak aiii... sampai mcm tu skali si tuah ni nak suh hani jadik girl dia...
Post a Comment