My Novel

Tuesday, August 27, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 5)
 
BAB 5
                        Bunyi telefon bimbit mematikan langkahnya yang sedang menuju ke kafetaria. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari saku seluarnya. Nama yang tertara di skrin membuatkan dia mengeluh.
            “Hello,” dengan malas, Tuah Iskandar menjawab juga panggilan tersebut.
            “Hai Tuah,” sapa Lilia girang.
            “Kau nak apa?”
            “Kau tengah buat apa tu?”
            “Tak penting untuk kau tahu,”
            Kedengaran Lilia mendegus kasar.
            “Kau nak apa call aku?” tanya Tuah Iskandar untuk kali ke dua. Biasanya dengan Lilia dia akan straight to the point. Dia malas hendak melayan kerenah Lilia.
            “Jom kita keluar malam ni,” ajak Lilia. Suaranya masih kedengaran girang. Entah betul atau pura-pura.
            “Aku tak senang,”
            “Malam ni kan ada game,”
            “Kojek tak cakap apa-apa pun dengan aku,”
            “Kojek yang beritahu aku,”
            “Aku hanya akan datang kalau Kojek yang hubungi aku,”
            Lilia mendegus lagi. Nampaknya Tuah Iskandar tidak percayai dengan cerita yang sengaja direka. Sengaja dia berbuat begitu untuk keluar dengan Tuah Iskandar tetapi nampaknya pemuda itu masih dengan sikap sombongnya.
            “Kalau tak ada apa-apa, aku off dulu,”
            Tuah Iskandar akhirnya mematikan talian tanpa menunggu bicara selanjutnya dari Lilia.
            Seketika Tuah Iskandar bersandar di dinding bangunan akedemi. Matanya dipejam. Otaknya berputar ligat memikirkan arah perjalanan hidupnya yang terumbang ambing tidak menentu. Entah kenapa dia rasakan hidupnya sudah terpesong, bukan pada landasan yang betul tetapi dia tidak tahu. Tidak tahu bagaimana untuk kembali kerana semuanya berserabut!
            Lilia. Gadis itu sering mengganggu hidupnya. Semua gadis itu lakukan untuk menarik perhatiannya namun sedikitpun tidak dilayan. Dia bukan bodoh dan buta. Dia tahu Lilia lakukan semua untuk menakluki hatinya. Dia tahu gadis itu menyimpan perasaan padanya. Namun, hatinya kosong. Tiada perasaan yang terbit saat melihat gadis itu apatah lagi perasaan yang di namakan cinta. Dia akui Lilia mempunyai pakej yang lengkap sebagai seorang gadis tetapi…dia tidak pernah jatuh hati.
            Bayangan Lilia di ganti dengan wajah seseorang. Wajah yang manis bertudung mampu menarik perhatiannya. Kemarahan yang wujud di awal pertemua mereka terus hilang saat pandangan mata mereka bertemu. Gadis yang kelihatan biasa itu bagaikan mempunyai kuasa yang mampu memadamkan amarahnya serta menerbitkan satu perasaan dalam dirinya.
            Perasaan itu sungguh aneh!
            Ya…amat aneh!
            Tuah Iskandar membuka matanya perlahan. Cuba untuk menidakkan perasaan aneh itu dari terus menyusup dalam hatinya. Pantas kakinya dihayun. Namun, baru beberapa tapak dia melangkah, matanya terpandangkan seseorang.
            Hani!
            Tuah Iskandar melangkah mendekati gadis itu. Perlahan saja langkahnya. Kelihatan gadis itu sedang berjalan berseorangan. Mulut gadis itu terkumat kamit membaca sesuatu. Sikap pelik Hani membuatkan Tuah Iskandar mengerutkan dahinya.
            Baca doa ke budak ni?
            Tuah Iskandar kini berdiri betul-betul di hadapan Hani. Hani yang jalan menunduk itu tidak sedar akan kehadiran Tuah Iskandar. Hanya beberapa langkah saja mereka akan bertembung.
            Satu…dua…tiga…
            Hani terlanggar Tuah Iskandar yang berada di hadapannya.
            “Erk..maaf. Maafkan saya. Saya tak sengaja,” pantas Hani bersuara seraya mengangkat wajahnya.
            Bulat mata Hani apabila melihat Tuah Iskandar berdiri di hadapannya. Seketika dia kaku di situ, memandang Tuah Iskandar tanpa berkelip-kelip
            Tuah Iskandar mengeluarkan telefon bimbitnya lalu diangkat selaras dengan wajah Hani.
            Klik!
            Sekeping gambar Hani ditangkap.
            Seketika Hani tersedar. Pantas dia berpusing ke belakang lalu melarikan diri. Entah macam mana nasibnya kurang baik. Dia terpijak kainnya yang sedikit labuh. Apalagi, jatuh berdebuk dia di situ macam nangka busuk.
            Tuah Iskandar terkejut melihat situasi itu. Dia cuba untuk membantu. Namun, kelihatan Hani segera berdiri dan terus menghilangkan diri. Tuah Iskandar mengerutkan dahinya dan tidak lama kemudian bibirnya mengukir senyum.
                                                                        **********
            Hani segera menutup pintu biliknya. Seketika dia bersandar di balik pintu nafasnya turun naik bagaikan penjahat yang melarikan diri dari pihak polis.
            Aduh! Kenapa boleh jadi macam ini? Macam mana dia boleh terserempak dengan Tuah Iskandar ? Macam mana dia boleh tidak sedar yang Tuah Iskandar berada betul-betul di hadapannya?
            Gila! Memang hari ini hari malang bagi dirinya. Setelah sekian lama dia cuba sedaya upaya menghindarkan diri dengan pemuda itu namun hari ini mereka tertembung pula. Nampaknya, Tuah Iskandar memang tidak melupakan perlanggaran antara mereka. Memang Tuah Iskandar mahu melancarkan perang. Memang Tuah Iskandar mahu menjadikan dia target seterusnya hanya kerana kesalahan kecil yang dia lakukan.
            Kesalahan kecil? Tidak! Bukan dia yang bersalah. Pemuda itu yang bersalah. Tetapi dia sanggup meminta maaf jika Tuah Iskandar melepaskannya.
            Hani memejamkan matanya. Masih terbayang peristiwa beberapa minit yang lalu. Wajah Tuah Iskandar begitu rapat dengannya. Tatkala itu, jantungnya berdegup kencang saat terpandang renungan tajam pemuda itu.
            Dan…yang paling dia tidak boleh lupa, macam mana dia boleh terjatuh di hadapan pemuda itu? Malu betul! Entah apa yang difikirkan Tuah Iskandar tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu. Cuma, dia berharap setelah melihat keadaan dirinya, Tuah Iskandar akan bersimpati dan akhirnya melupakan semuanya.
            Hani ingin bebas. Dia ingin melepaskan diri dari pemuda itu. Dia tak mahu ada sebarang kaitan dengan Tuah Iskandar.
                                                                        **********
            Tuah Iskandar membelek-belek telefon bimbitnya. Gambar yang baru ditangkap beberapa minit yang lalu membuatkan dia tersenyum. Gambar seorang gadis bertudung dengan mata yang bulat serta mulut yang sedikit terlopong membuatkan senyumannya meleret.
            Kelakar betul apabila mengenangkan gadis itu. Sama sekali dia tidak menduga sehingga begitu sekali gadis itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Sehingga begitu sekali gadis itu takut kepadanya.
            Namun, apa yang telah berlaku membuatkan dia terhibur. Bukan kerana melihat gadis itu takut akan dirinya tetapi terhibur dengan wajah comel itu, gayanya yang ringkas serta matanya yang seakan mempunyai sinar ketenangan.
            Tiba-tiba perasaan aneh itu datang menerjah ruang hatinya yang kosong. Perasaan aneh itu bagaikan menyuntik semangat dalam dirinya untuk mengenali gadis itu dengan lebih dekat.
            Tetapi bagaimana?
            Zulkifli yang sedang menjamu makanan mengerling sahabat yang duduk di hadapannya. Makanan Tuah Iskandar masih belum dijamah sebaliknya pemuda itu asyik membelek-belek telefon bimbitnya. Entah apa ang dibuat pemuda itu, dia tidak pasti.
            Namun, Zulkifli terlihat sebuah senyuman terukir di bibir Tuah Iskandar. Seketika Zulkifli mengerutkan dahinya. Tuah Iskandar tersenyum? Bukan senang hendak lihat Tuah Iskandar tersenyum. Apa yang membuatkan pemuda itu tersenyum agknya.
            “Kau tengok apa tu?” tanya Zulkifli benar-benar ingin tahu.
            “Ha?” Tuah Iskandar terpinga-pinga seketika.
            “Apa yang kau tengok dalam telefon bimbit tu?”
            “Tak ada apa-apa,” balas Tuah Iskandar seraya menutup telefon bimbitnya. Wajahnya kembali serius. Senyuman yang terukir sebentar tadi hilang.
            “Ada perkara baik ke?” tanya Zulkifli lagi. Teringin benar untuk mengatahui apa yang menyebabkan Tuah Iskandar mampu mengukir senyuman.
            Nothing,” balas Tuah Iskandar pendek.
            Zulkifli tidak lagi bertanya apabila Tuah Iskandar seperti tidak mahu berkongsi cerita. Namun dia dapat rasakan seperti ada sesuatu yang menggembirakan hati rakannya itu.
            Zulkifli mengerling seketika ke arah Tuah Iskandar. Pemuda itu tersenyum lagi sebelum menyua makanan ke dalam mulutnya.
                                                                                    **********
            Telefon bimbit yang berbunyi membuatkan Hani yang sedang tekun belajar, tersentak. Dia mengurut-urut dadanya sebelum mencapai telefon bimbit itu. Nama yang terpapar di skrin membuatkan dia berfikir samada untuk menjawab ataupun sebaliknya.
            Belum sempat dia membuat keputusan, deringan telefon itu terhenti. Hani menarik nafas lega sambil mengharapkan si pemanggil tidak membuat panggilan untuk kali ke dua. Namun, tidak sampai seminit, ia berbunyi kembali. Masih pemanggil yang sama. Akhirnya Hani mengambil keputusan untuk menjawab sahaja. Orang berbuat baik, kenapa mesti kita membalas dengan kesombongan?
            “Assalamualaikum, Hani,”
            Hani menjawab salam sambil bertanya khabar.
            “Abang sihat. Hani bagaimana?”
            “Hani sihat saja. Abang kat mana ni?”
            “Abang kat kampung. Tadi singgah rumah Hani. Tengok-tengok mak cik dan pak cik,”
            “Oh, abang pergi rumah Hani tadi? Ayah dengan mak sihat?”
            “Sihat Alhamdulillah,”
            Hani tersenyum. Wajah ibu dan ayahnya terpapar di hadapan matanya. Tiba-tiba rindunya menebal pada kampung halaman. Bilalah agaknya dia dapat balik ke kampung?
            “Abang nak beritahu Hani yang abang kena transfer kerja di KL,”
            “Abang bertukar ke Kuala Lumpur? Bila?”
            “Bulan depan,”
            “Oh tahniah,”
            Hani mengukir satu senyuman. Entah ikhlas entah tidak. Dia sendiri tidak tahu kenapa seperti ada satu perasaan yang tidak mengizinkan Halim datang ke Kuala Lumpur. Ada satu perasaan yang berat untuk bersemuka dengan Halim.
            Kenapa?
            Mungkinkah kerana ungkapan yang pernah Halim ucapkan suatu ketika dulu?
            “Abang sukakan Hani,”
            Masih terngiang-ngiang di telinganya saat Halim meluahkan perasaannya. Semestinya dia terkejut kerana dia menganggap Halim seperti abang kandungnya sendiri. Halim merupakan anak angkat emak. Halim memang rapat dengan keluarga Hani. Sebab itu tidak terfikir langsung di fikirannya untuk menyukai Halim lebih dari seorang abang. Apatah lagi saat itu dia sedang hangat bercinta dengan Fahmi.
            “Maafkan abang kalau Hani tak suka dengan pengakuan abang ni. Harap Hani lupakan saja apa yang abang dah cakap ni,”
            Kata Halim apabila melihat Hani hanya diam tak bersuara.
            “Hani menganggap abang macam abang kandung Hani,” jawapan yang selamat. Penolakan yang lembut tetapi penuh dengan alasan yang teramat kukuh.
            Saat itu Halim tunduk menyebabkan Hani rasa bersalah kerana mengecewakan seorang lelaki yang baik seperti Halim. Namun, hati tak mungkin dapat dipaksa. Hani sayangkan Fahmi.
            Namun, tidak lama kemudian, Halim mengangkat mukanya sambil tersenyum. Berbeza benar wajahnya berbanding beberapa saat yang lepas. Dengan senyuman yang terukir di bibirnya, Halim berkata.
            “Maafkan abang. Lupakan apa yang abang cakap tadi. Hmm, boleh abang anggap Hani macam adik kandung abang?”
            Hani benar-benar tidak tahu adakah Halim ikhlas ataupun sedang memujuk diri sendiri lantaran hasratnya ditolak. Namun, Hani tiada pilihan lain. Jika dia menganggap Halim seperti abang kandung, tidak salah jika Halim menganggap dirinya seperti adik kandung. Mungkin itu yang terbaik buat mereka. Dan sehingga saat ini, setelah dia sudah berpisah dengan Fahmi pun, Halim masih mengambil berat atas dirinya membuatkan Hani adakalanya curiga. Benarkah Halim menganggapnya seperti adik kandung? Atau Halim masih menanti dirinya?
            Namun, Hani cuba beranggapan baik kerana sejak Hani menolak lembut perasaan Halim, Halim tidak pernah sekalipun berbicara soal perasaan. Meskipun Halim tahu Hani sudah berpisah dengan Fahmi. Mungkin Halim benar-benar mengotakan janjinya, menganggap dia seperti adik kandung ataupun Halim sudah mempunyai teman istimewa.
            Halim lelaki yang baik. Moga yang baik-baik sahaja terjadi dalam hidup pemuda itu.
            “Hani,”
            Semua kenangan serta merta hilang apabila suara Halim menerjah gegendang telinganya. Seketika baru dia tersedar yang dia masih lagi sedang berbicara dengan Halim di talian.
            “Er..ya. Hani ada di sini,”
            “Okaylah Hani. Abang harap, bila dapat bertukar ke KL nanti, dapatlah abang jumpa Hani,”
            “Erk..okay,”
            Tidak lama kemudian, talian di matikan. Hani meletakkan telefon bimbit di sisinya. Kemudian dia termenung. Wajah Halim terpapar di mindanya. Ah, kenapa perasaan ini berat untuk menerima kehadirannya. Halim seorang lelaki yang baik. Mempunyai ciri-ciri suami yang soleh. Keluarga Halim pun datang daripada keturunan baik-baik. Dan dia sendiri mengakui bertuahnya perempuan yang dapat menjadi isteri Halim. Namun…
            Cinta itu tak boleh dipaksa.
            Ia akan datang, apabila sampai waktunya.
            Kita tak perlu mencari, ia akan datang sendiri.
            Dengan siapa, kita tidak pernah tahu
            Mungkin cinta itu masih jauh dari kita
            Ataupun ianya begitu hampir dengan kita
            Namun, kita tak sedar kerana
            Cinta itu tidak siapa yang tahu bila saat dan waktunya.
                                                                        **********
            Sudah hampir dua minggu peristiwa tertembung Tuah Iskandar itu berlalu. Maka, sudah hampir dua minggu jugalah Hani berkelakuan seperti orang bodoh. Setiap kali dia terserempak dengan Tuah Iskandar, dia pasti akan melarikan diri. Dia benar-benar yakin Tuah Iskandar mengenalinya kerana setiap kali mereka bertemu, pasti pemuda itu merenung tepat ke arahnya. Dia pasti!
            Namun, sudah dua minggu jugalah tiada apa-apa perkara yang berlaku. Tiada sebarang serangan dan dendam yang di tunjukkan oleh Tuah Iskandar kepadanya. Kenapa? Adakah Tuah Iskandar menganggap perlanggaran itu perkara biasa yang tidak di sengajakan? Ataupun Tuah Iskandar tak mahu melancarkan serangan setelah melihat dia berada dalam ketakutan selama ini? Iyalah..setiap kali terlihat Tuah Iskandar dia akan menikus, bersembunyi di sebalik Julia dan Syasya. Kemudian, dia berusaha mencari jalan lain supaya tidak melintasi Tuah Iskandar yang sibuk berbual-bual dengan rakan-rakannya. Dan pernah juga dia terjatuh ke dalam longkang semata-mata ingin lari dari Tuah Iskandar. Mungkin kerana itu, Tuah Iskandar tidak jadi untuk melancarkan serangan.
            Ataupun, Tuah Iskandar tidak membuli kaum perempuan? Lebih-lebih lagi perempuan yang comel sepertinya? Tiba-tiba Hani tertawa dengan andaian yang diciptanya sendiri.
            Comel sangatlah tu!
            Ah! Lupakanlah tentang pemuda itu. Buat penat saja selama ini dia melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Lebih baik dia berlagak biasa saja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin pemuda itu pun sudah melupakannya.
            “Hani, kau baliklah dulu. Aku ada perjumpaan kumpulan,” ujar Julia sambil mengemas nota yang disalin semasa kuliah tadi dan dimasukkan ke dalam fail.
            “Aku pun ada perjumpaan kumpulan,” ujar Syasya pula.
            “Kau orang berdua ada perjumpaan kumpulan?”
            “Ya. Minggu depan kan ada presentation kumpulan. Kumpulan kau tak buat discussion ke?”
            “Kumpulan aku berkumpul malam ni,”
            “Oh, kalau macam tu, jumpa petang nantilah,”
            Julia dan Syasya terus menuju ke kumpulan masing-masing di mana perbincangan berkumpulan akan di adakan bagi tugasan yang diberikan oleh Prof. Baha sebentar tadi.
            Lambat-lambat Hani mengemas nota-notanya. Dengan perasaan malas, dia bangun dari duduknya dan keluar dari dewan kuliah yang sederhana besar. Langkahnya menuju ke kafeteria. Niatnya hanya untuk membungkus makanan untuk di bawa ke bilik. Malas untuk makan di kafeteria memandangkan dia hanya berseorangan. Tiada teman untuk bersembang.
            Dalam berjalan berseorangan, mindanya sempat menerawang mengingatkan Halim. Lagi dua minggu saja lagi Halim akan bertukar ke Kuala lumpur. Ini bermaksud, jarak antara mereka tidaklah jauh sangat. Memandangkan Halim sudah bekerja, pasti tiada masalah untuk pemuda itu datang ke Kolej Putra. Tiada masalah dari segi masa, kewangan dan sebagainya.
            Aduh! Bagaimana ni? Dia tak mampu untuk mengelakkan diri. Untuk menerima, dia benar-benar di landa rasa bersalah. Tetapi, tidak adillah jika dia berkelakuan sebegini andai Halim benar-benar ikhlas. Tiada niat lain selain menganggap dirinya sebagai adik.
            Ah! Hani. Kau ni suka berfikiran jauh. Tak perlu difikirkan sangat. Tak payah nak pening-peningkan kepala memikirkan perkara yang belum tentu betul atau tidak.
            Tiba-tiba Hani terpandangkan seseorang. Seseorang yang sejak akhir-akhir ini kerap memerhatikannya. Tiba-tiba Hani menjadi gabra. Terus langkahnya sumbang. Cepat-cepat dia mencari jalan alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada Tuah Iskandar. Meskipun berkali-kali menasihati diri sendiri untuk bersikap biasa namun renungan Tuah Iskandar membuatkan dia kecut perut. Mana mungkin dia tidak takut, gangster Kuala Lumpur sedang memerhatikan seorang perempuan comel. Oh!
            Sampai di satu penjuru, Hani bersandar di dinding. Nafasnya turun naik akibat kepenatan melarikan diri daripada Tuah Iskandar. Persis berlari pecut 100 meter walhal hanya berjalan tidak sampai 10 meter. Namun, penangan Tuah Iskandar ternyata berbahaya.
            Hani menjegulkan kepalanya keluar. Ke kiri ke kanan dia menoleh namun bayangan pemuda itu sudah tidak kelihatan. Hani menarik nafas lega. Setelah melihat keadaan selamat, dia keluar dari persembunyiannya. Namun, baru saja dia menapak selangkah, tiba-tiba tangannya ditarik dari belakang. Kuat menyebabkan Hani terdorong ke belakang dan serentak dengan itu, tubuhnya ditolak ke dinding. Hani tersandar pada dinding batu itu.
            Bulat mata Hani memandang pemuda di hadapannya. Menggigil kepala lututnya saat terlihat pemuda itu. Pemuda itu benar-benar berada di hadapannya. Sebelah tangan pemuda itu diletakkan di dinding, menghalang Hani dari berganjak dari situ.
            Ya! Pemuda yang sering merenung tajam dirinya dari jauh kini berada benar-benar di hadapannya yang jarak antara mereka tidak sampai sejengkal.
            Dan kini..pemuda itu merenung ke arahnya seperti selalu cuma kali ini..renungan pemuda itu sangat dekat. Hanya sejengkal sahaja jarak di antara wajah pemuda itu dengan wajahnya. Benar-benar dekat sehinggakan dia dapat merasa bahang hela nafas pemuda itu.
            Renungan pemuda itu terus ke arah matanya. Tepat hinggakan dia merasa tidak selesa. Sangat tidak selesa. Hani ketakutan. Namun, entah kenapa dia tidak cuba untuk melepaskan diri. Ketakutan yang teramat sangat membuatkan dia kaku.
            “Ada sesuatu yang aku nak cakap dengan kau,” pemuda itu bersuara. Garau dan tegas. Memang memenuhi ciri-ciri seorang samseng yang amat digeruni.
            “Erk..cakap dengan saya? Tentang apa?” Hani cuba memberanikan diri untuk bertanya. Dalam hatinya cuba meneka apa yang ingin di perkatakan oleh pemuda itu. Pasti tentang perlanggaran yang lepas dan juga kata-kara sinis yang dihamburkan kepada Tuah Iskandar suatu masa dahulu.
            Apa lagi yang menghubungkan dia dengan pemuda itu selain perlanggaran yang berlaku di awal pertemuan mereka? Ternyata Tuah Iskandar masih mengingati semuanya sedangkan dia amat berharap pemuda itu sudah melupakan.
            Ah! Jika Tuah Iskandar ingin dia memohon maaf, dia akan lakukan asalkan dia tidak berhadapan dengan pemuda itu seperti saat ini.
            “Tentang cinta,”
            Sebaris kata Tuah Iskandar membuatkan Hani terdiam. Tentang cinta? Cinta apa? Siapa yang bercinta? Tentang cinta siapa? Cinta antara siapa dengan siapa? Dan kenapa tentang cinta perlu dibicarakan dengan dirinya?
            “Aku suka kau. Aku nak kau jadi awek aku,”
            Hani terlopong.
            “Aku beri kau masa,” ujar Tuah Iskandar. Matanya tak lekang dari merenung ke anak mata Hani. Hani bagaikan terkena renjatan elektrik apabila mendengar kata-kata Tuah Iskandar, bagaikan mahu pengsan. Antara percaya dan tidak.
            Tuah Iskandar mengangkat tangannya dari dinding lalu berdiri di hadapan Hani. Berpeluk tubuh.
            “Sampai masanya, aku nakkan jawapan dari kau,” ujar Tuah Iskandar lagi lalu terus berlalu meninggalkan Hani.
            Hani masih bersandar di dinding, tidak berganjak. Matanya tidak berkelip-kelip. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Sekelip mata bagaikan selaju cahaya, Tuah Iskandar membicarakan tentang cinta. Dan Hani benar-benar tidak faham kenapa mesti dia?
            Adakah kerana Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memainkan perasaannya? Atau Tuah Iskandar ingin membalas dendam dengan memalukan dirinya nanti?
            Hani bingung.

6 comments:

ayu salina said...

best......
menarik.....
dan up n3 lg yer dik

ezi said...

terima kasih sis..
nanti update lagi..:)

aisyah said...

amboi...direct to the point..

ezi said...

aisyah..hehe..

Zakiah Halim said...

erkk.. hamboi tuah... direct gitu...

Nurul Johari said...

chMCOReOMG... terlalu berterus terang la tuah.... x sabo nk tau jawapn hani..ok next