My Novel

Sunday, August 25, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 3)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 3)
 
BAB 3
 
            “Nah, makan ubat ni,” suruh Julia sambil menghulurkan dua biji panadol dan segelas air masak kepada Hani. Hani yang sedang berbaring, bangun dari pembaringannya. Dia mengambil panadol dari tangan Julia dan terus menelannya.
            “Panas badan kau ni, Hani. Kita pergi klinik ya,” ajak Syasya sambil meletakkan tangannya pada dahi Hani.
            Hani pantas menggeleng.
            “Tak payahlah Sya. Demam aku ni bukannya teruk sangat pun. Demam biasa saja. Lepas makan panadol ni nanti, baiklah,” ujar Hani dengan suara yang perlahan di selang seli dengan batuk-batuk kecil.
            “Betul tak nak pergi klinik?” tanya Syasya sekali lagi sambil mengurut-urut belakang Hani.
            Hani hanya mengangguk. Manakala Julia dan Syasya saling berpandangan.
            “Agaknya, sebab inilah perangai kau pelik sejak kebelakangan ni. Rupa-rupanya, nak demam,” usik Julia sambil tersengih.
            “Ini demam apa pula ni? Nak kata demam exam, exam lambat lagi,” Syasya pula mengusik.
“Nak kata demam rindu, tak ada boyfriend,” Julia menyambung.
            Hani membalas usikan Julia dan Syasya dengan senyuman. Hmm…kalaulah Julia dan Syasya tahu perkara sebenar yang menyebabkan dia demam, pasti terguling-guling mereka tertawa. Demam kerana menerima renungan tajam daripada Tuah Iskandar? Sungguh tidak masuk akal!
            Namun, itulah hakikatnya. Sejak bertentang mata dengan Tuah Iskandar di kafeteria tempoh hari, badannya terus rasa tidak sedap. Malam itu juga dia demam. Dia sendiri tidak pasti kenapa cepat benar perubahan yang berlaku pada tubuh badannya. Mungkin dia terlalu takut dengan pemuda itu menyebabkan dia demam. Atau, dia takut Tuah Iskandar cam dirinya dan mahu membalas dendam. Lebih teruk lagi kalau-kalau mimpinya itu menjadi kenyataan.
            Ah! Begitu jauh imaginasi kau Hani. Mungkin apa yang berlaku tidak seperti apa yang kau bayangkan.
            Jadi, kalau bukan begitu…kenapa renungannya harus setajam itu? Kenapa pandangannya sangat berbeza sehingga dia dapat merasakan pandangan itu bukan pandangan biasa tetapi pandangan yang ada makna. Cuma, makna di sebalik pandangan itulah yang Hani kurang pasti tetapi ia benar-benar membimbangkan.
            Tiada jawapan.
            Hani melepaskan satu keluhan yang berat.
                                                                        **********
            Sudah dua hari dia demam. Masuk hari ketiga barulah dia pulih sepenuhnya. Pulih dari demam terkejut. Nasib baiklah dia demam pada hujung minggu. Jadi, tidak perlulah dia ponteng kuliah. Cuma, hujung minggunya menjadi bosan lantaran asyik duduk terperap di dalam bilik.
            Hani bersiap-siap untuk ke kuliah dengan begitu bersemangat. Selama dua hari berkurung di dalam bilik, rasa tidak sabar hendak menghirup udara segar. Macamlah setahun dia berkurung. Baru dua hari saja. Macam-macamlah kamu ni, Hani!
Hani menyarungkan baju kurung bewarna ungu di padankan dengan tudung ungu tanpa corak. Ringkas. Dengan wajahnya yang agak comel menjadikan penampilan ringkasnya kelihatan menarik. Hani tersenyum sendiri.
            “Siap?” wajah Julia tiba-tiba muncul di sebalik pintu.
            “Dah,” balas Hani sambil mencapai beg kuliahnya lalu keluar dari bilik mendapatkan dua orang sahabat karibnya itu.
            Sebelum ke dewan kuliah, mereka bertiga singgah di kafeteria seperti selalu. Bersarapan pagi, mengalas perut sebelum memulakan pembelajaran.
            Menjejakkan kaki di kafeteria membuatkan tubuh Hani mulai di basahi keringat. Masih teringat lagi renungan tajam pemuda itu. Renungan yang menyebabkan dia demam dua hari. Dasyat sungguh kuasa renungan pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu. Kuasa renungan atau dia sendiri yang terlebih penakut?
Sampai-sampai saja di kafeteria, mata Hani terus tertumpu pada meja di mana Tuah Iskandar duduk tempohari. Namun, tiada bayangan pemuda itu. Yang ada hanya sepasang pasangan yang sedang menikmati sarapan pagi.
            Hani menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya untuk jangkamasa yang sedikit ini, dia terselamat. Namun, dalam kelegaan, matanya turut melilau memerhati sekeliling. Takut-takut kalau Tuah Iskandar ada di situ. Sekali lagi dia menarik nafas lega kerana tiada bayangan pemuda itu di seluruh kafeteria itu.
            Ah, pemuda macam itu mana ada ambil sarapan pagi. Entah-entah selepas bangun terus saja pergi kuliah. Itu nasib baik ada kuliah awal pagi, kalau tak…pasti tengahari baru nak bangun.
            Hani membuat andaian sendiri.
            Hanya roti bakar yang menjadi pengalas perut pagi itu. Tidak seperti Julia dan Syasya yang mengambil nasi lemak, juadah sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia. Hani malas untuk mengambil makanan yang berat. Bimbang mengantuk di dalam kuliah dan yang selebihnya, dia tak lalu hendak makan. Semuanya kerana…
            Tuah Iskandar?
            Bodohnya dia. Kerana pemuda yang tidak di kenali itu, dia menjadi manusia yang kelam kabut.
            Aduh!
            “Cepatnya kau makan, Hani,” tegur Julia apabila melihat Hani sudah menghabiskan dua keping roti bakar dan segelas milo panas.
            “Cepat? Aku rasa biasa saja,”
            “Ju, kau tak payahlah tegur si Hani ni. Kau bukan tak tau dia ni kadang-kadang betul, kadang-kadang tidak,”
            Hani hanya tersengih. Tidak menyimpan rasa langsung apabila Syasya berkata begitu apatah lagi hendak marah. Dia turut mengakui kata-kata Syasya. Bukan saja rakan-rakannya, malah dia sendiri terasa keanehan pada dirinya sendiri. Dia sendiri dapat merasakan perubahan pada dirinya. Perubahan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana. Ah, sukar untuk dia menafsirkannya.
            Selesai saja menikmati sarapan pagi, tiga sahabat ini berjalan menuju ke dewan kuliah. Lagi 20 minit kuliah akan bermula. Masih awal. Tidak perlulah mereka tergesa-gesa untuk ke sana.
            Tiba di hadapan dewan kuliah, Hani dapat merasakan sesuatu. Seperti ada daya tarikan magnet yang membuatkan Hani menoleh ke satu sudut yang terpencil yang agak jauh dari situ. Dari jauh dia terlihat Tuah Iskandar. Pemuda itu sedang bersandar pada tiang sambil berpeluk tubuh. Pandangannya di tujukan ke arah mereka. Walaupun agak jauh, namun Hani dapat merasakan pandangan yang tajam itu sedang menghala ke arahnya.
            Jantung Hani kembali berdegup kencang.
            Hani cuba mengecilkan dirinya dengan berselindung di sebalik Julia. Walaupun tubuhnya terselindung, namun matanya sempat melirik ke arah Tuah Iskandar. Ternyata pandangan pemuda itu tidak lekang dari memandang ke arahnya.
            Sah! Tuah Iskandar sedang melihat ke arah mereka kerana tiada pelajar lain di situ. Mungkin Tuah Iskandar memandang Julia ataupun Syasya. Hani cuba memujuk dirinya tetapi..hanya dia yang ada kaitan dengan Tuah Iskandar dan perlanggaran itu yang mengaitkan mereka.
            Hani melirik lagi ke arah Tuah Iskandar. Aduh! Pasti Tuah Iskandar sedang memerhatikannya dan menunggu masa untuk membuat serangan.
            Habislah aku!

6 comments:

ayu salina said...

So far......jalan citernya menarik tapi naper pendek sgt setiap n3 tu. X puas baca dah abih.....huhuhu

ezi said...

ayu salina, ada bab yang panjang dan ada bab yang pendek..hehe..terima kasih sebab ikuti cerita ini..rajin2 lah jengah ke sini ya..:)

aisyah said...

mmg dh kna mark la ni hani...

ezi said...

aisyah..sure!..:)

Zakiah Halim said...

habis la hani sudah kena tanda dgn tuah... kekeke

Nurul Johari said...

aduh..ape sudh jdi ngan hani... tuah..y slalu pratikan hani.... nk balas dendam ke??.. ok next...............