My Novel

Sunday, August 25, 2013

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 2)

KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 2)
 
BAB 2
            Hani merebahkan tubuhnya di atas katil. Matanya merenung kipas yang ligat berpusing. Udara nyaman dari kipas memenuhi ruang bilik. Bilik yang tadinya panas menjadi sedikit sejuk. Namun, udara sejuk itu tidak mampu membuatkan dirinya tenteram.
            Aduh! Lepas satu masalah, satu lagi masalah lain yang muncul.
            “Huh!” Hani melepaskan satu keluhan yang berat.
            Masalah yang lama belum selesai, kini dia terpaksa berdepan dengan masalah baru. Baru saja dia ingin membuka buku baru, hidup dengan aman dan tenteram…tetapi...
            Aduh!
            Benarkah pemuda yang dilihat di kafeteria sebentar tadi adalah Tuah Iskandar? Pemuda yang telah melanggar dia semasa dalam perjalanan pulang dari perpustakaan itu adalah Tuah Iskandar? Pemuda yang berwajah sombong itu Tuah Iskandar? Pemuda yang dia perli kerana tidak mahu meminta maaf itu Tuah Iskandar? Tuah Iskandar, pemuda paling kacak dan glamor di Kolej Putra? Tuah Iskandar,  salah seorang ahli kumpulan gangster di Kuala Lumpur ini? Benarkah?
            Kalau nak selamat, jangan ada apa-apa kaitan dengan Tuah Iskandar.
            Kata-kata Julia terngiang-ngiang di telinga Hani. Tiba-tiba Hani terasa kecut perut.
            Minta-mintalah Tuah Iskandar tidak ambil kira tentang kes perlanggaran antara mereka. Minta-mintalah pemuda itu tidak cam akan wajahnya lagi. Minta-mintalah pemuda itu tidak ingat langsung akan perlanggaran itu. Tetapi…itu bukan salah dia. Tuah Iskandar yang melanggar dia dan menyebabkan dia terjatuh. Tetapi..kes dia ini hampir sama seperti kes pelajar yang diceritakan oleh Julia cuma perlanggaran antara dia dengan Tuah Iskandar tidak melibatkan sebarang kenderaan. Hanya perlanggaran biasa yang membuatkan punggungnya sedikit sakit dan tiada apa-apa kesan langsung pada Tuah Iskandar!
            Jadi, tidak wajar dia di persalahkan. Tidak adil jika dia dipukul. Dipukul?
            Terbayang di minda Hani bagaimana dia dipukul oleh sekumpulan gangster yang berwajah bengis. Aduh! Bagaimana? Sudahlah dia tidak tahu sebarang seni mempertahankan diri. Setakat cubit-cubit, tumbuk-tumbuk, tendang-tendang, tahulah dia sikit-sikit. Itupun selalunya tak mengena.
            Hoi, Hani. Kenapalah engkau fikir begitu jauh? Entah-entah Tuah Iskandar tak fikir apa-apa pun. Engkau tu siapa yang dia nak fikir? Tak masuk langsung dalam kamus hidup dia. Entah-entah, terlintas sedetik pun tidak. Engkau saja yang lebih-lebih.
            Hani terdiam mendengar kata-kata hatinya sendiri. Baguslah jika dia tidak masuk langsung dalam kamus hidup pemuda itu. Lagi bagus kalau Tuah Iskandar tak ingat langsung akan dirinya. Bolehlah dia hidup dengan aman dan tak akan melibatkan diri dengan Tuah Iskandar. Tetapi, kalau yang berlaku adalah sebaliknya, bagaimana?
            Hani sebenarnya fobia. Fobia dengan kes buli membuli kerana dia pernah mengalami situasi dibuli. Peristiwa yang berlaku di sekolah menengah menjadikan dia seorang yang penakut. Takut dengan gangster!
            Semasa di dalam tingkatan empat, Hani pernah dibuli oleh samseng-samseng sekolah. Ini semua gara-gara bola yang dibaling Hani semasa sedang bermain bola jaring terkena kepala seorang pelajar lelaki yang kebetulan lalu di kawasan itu. Lebih buruk lagi, pelajar itu merupakan senior tingkatan lima dan merupakan salah seorang geng budak-budak nakal yang terkenal di sekolah. Walaupun sudah meminta maaf namun, pemuda itu serta rakan-rakannya sering membuli Hani. Yang paling dia tidak boleh lupa, Hani diejek dan digelar Hani Kitty semata-mata kerana dia memakai dompet yang ada gambar Hello Kitty.
            Jahat sungguh mereka. Mereka dera perasaan Hani!
            Apabila masuk tingkatan lima, Hani boleh menarik nafas lega kerana semua senior sudah keluar selepas tamat peperiksaan SPM. Namun, gelaran Hani Kitty tetap melekat sehinggalah dia masuk ke Kolej Putra. Tiada orang yang mengenalinya di sini dan tiada lagi gelaran Hani Kitty.
            Dan…adakah gelaran Hani Kitty akan kembali dengan munculnya Tuah Iskandar? Tidak! Tak mungkin. Tuah Iskandar bukan pengacau dari masa lampaunya. Tuah Iskandar adalah manusia yang muncul sekarang ini! Dan mungkin akan datang!
            Oh tidak! Tolonglah. Minta di jauhkan aku dari pemuda yang bernama Tuah Iskandar itu.
            Tiba-tiba Hani bangun dari pembaringan. Dia mencapai dompet yang dicampak di atas meja sebentar tadi. Dompet yang ada gambar Hello Kitty itu membuatkan dia tersenyum. Bukan dia suka sangat dengan watak kartun Hello Kitty itu tetapi dompet itu merupakan pemberian Fahmi. Fahmi kata dia comel macam Hello Kitty dan kerana kata-kata Fahmi, dompet itu menjadi begitu berharga buat dirinya.
            Wajah Fahmi kembali terlayar di mindanya, menggantikan wajah Tuah Iskandar yang dari tadi mengganggu ketenteraman hidupnya.
                                                                        **********
            “Kenapa nak jumpa saya?” tanya Hani sambil matanya merenung Fahmi yang duduk berhadapan dengannya. Entah dari mana kekuatan yang di perolehi sehingga mampu bertentang mata dengan Fahmi. Kalau sebelum ini, sebut saja nama pemuda itu, air matanya sudah mengalir.
            “Saja, tak boleh ke?” pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. Menyampah pula Hani dengar. Sengaja nak berjumpa dengan dia? Tidak ingatkah dengan makwe awak yang ada kat rumah tu? Kalau makwe awak tu tahu awak sengaja nak jumpa bekas kekasih awak ini, tentu perang besar nanti.
            “Saya rindu awak,” bicara yang keluar dari mulut Fahmi membuatkan Hani terkejut. Bulat matanya memandang Fahmi.
            “Awak ni sakit ke? Tak makan ubat?” berang juga Hani apabila Fahmi berkata begitu. Walaupun masih ada sedikit perasaan sayang terhadap pemuda itu tetapi dia rasa tidak adil jika Fahmi merindui dirinya sedangkan pemuda itu sudah ada teman istimewa.
            Lelaki! Semuanya sama!
            “Saya sihat dan masih waras lagi,”
            “Kalau macam tu, mungkin ada salah satu wayar kat dalam kepala awak terputus,”
            Fahmi tersenyum mendengar kata-kata Hani. Hani kelihatan comel bila marah-marah macam itu.
            “Sebenarnya, kenapa awak nak jumpa saya ni?” Hani masih lagi bertanya. Pasti ada sebab kenapa Fahmi ingin bertemu dengannya. Takkanlah hanya sebab saja-saja?
            “Nak tengok awak,” ringkas jawapan Fahmi tetapi jawapan itu sangat tidak memuaskan hati Hani.
            “Tak payahlah awak nak buang masa jumpa orang macam saya. Lebih baik awak jumpa teman wanita awak tu. Ada juga faedahnya,” perli Hani sambil membuat muka.
            Sebut saja tentang teman wanita, Fahmi terus diam. Dia menundukkan wajahnya. Wajah itu kelihatan sayu. Hani cuba meneka maksud di sebalik wajah itu tetapi otaknya tidak dapat mentafsir maksud yang tersirat.
            Tiba-tiba telefon bimbit Fahmi berbunyi. Lekas-lekas pemuda itu menjawabnya. Hani lihat dahi Fahmi berkerut seribu. Nampak tegang saja apabila bercakap dengan si pemanggil.
            “Hani, saya kena pergi. Ada hal kecemasan. Awak balik naik teksi ya,” ujar Fahmi lalu meletak not sepuluh ringgit di hadapan Hani bagi membayar harga minuman mereka. Tidak sempat Hani bertanya apa-apa, Fahmi sudah hilang dari pandangan.
            Balik naik teksi? Hani mengeluh.
                                                                        **********
            Suasana malam itu sunyi benar walhal jam baru menunjukkan jam sepuluh malam. Hani menapak sendirian. Melambai-lambai teksi yang lalu, minta berhenti. Namun, tiada satu teksi pun yang kosong. Agak lama Hani berbuat demikian tetapi masih tidak dapat menahan walau sebuah teksi.
            Kalau tak dapat teksi, matilah aku. Dah malam ni. Nak minta tolong siapa?
            Dalam fikiran Hani hanya terbayangkan Julia yang memiliki sebuah kereta kancil. Itu pilihan terakhir andai dia tidak dapat menahan teksi malam itu.
            Hani menahan lagi teksi tetapi tiada teksi yang mahu berhenti.
            Tiba-tiba Hani di datangi beberapa orang lelaki. Kesemua lelaki itu mengelilingi Hani. Hani ketakutan. Dia berundur beberapa tapak kebelakang menjauhi lelaki-lelaki itu namun langkahnya dihalang. Dia sudah menggigil.
            “Kau orang semua nak apa?” tanya Hani dengan suara yang tersekat-sekat. Terasa takut apabila dikelilingi lelaki-lelaki yang tidak di kenalinya itu. Ingin saja dia menjerit meminta tolong tetapi tiada orang yang lalu lalang di kawasan itu. Aneh! Kenapa sunyi saja Kuala Lumpur malam ini? Di mana semua warga kota yang gemar berpeleseran pada waktu-waktu begini?
            “Bos kami nak jumpa kau,” ujar seorang lelaki yang berbadan gempal serta berkulit gelap.
            “Siapa bos kau?” tanya Hani memberanikan diri untuk bertanya.
            “Aku!”
            Satu suara dari belakang mengejutkan Hani. Laluan diberi kepada empunya suara. Terbeliak mata Hani apabila melihat pemuda itu.
            “Tuah Iskandar?”
            “Ya, aku.”
            “Awak…awak nak apa?”
            “Balas dendam,”
            “Balas dendam? Balas dendam untuk apa? Saya tak faham,”
            “Aku tak suka orang yang berlagak dengan aku,”
            Hani terdiam. Apa maksud Tuah Iskandar? Adakah pemuda itu maksudkan tentang perlanggaran antara dia dan Tuah Iskandar tempohari?
            “Tapi..”
            “Orang yang berlagak dengan aku akan terima pembalasannya,”
            Hani kecut perut.
            “Pukul dia,”
            What?
            Hani pandang lelaki-lelaki yang sedang menghampirinya. Wajah masing-masing kelihatan bengis dan menakutkan. Adakah mereka sampai hati untuk memukul seorang gadis yang lemah ini? Tetapi, gangster bukannya ada sifat belas kasihan.
Hani sudah takut. Dia sudah membayangkan bagaimana dia dipukul, ditumbuk dan ditendang sesuka hati oleh kumpulan gangster itu. Pasti patah riuk tubuh kerdilnya atau mungkin dia menemui ajalnya malam itu.
            “Tidak!!!!”
            “Hani! Hani! Are you okay?
            Hani terbangun dari tidurnya. Kelihatan Syasya sedang duduk di birai katilnya.
            “Kenapa kau meracau ni?” tanya Syasya.
            Hani masih terpinga-pinga. Seketika dia termenung. Tidak sangka dia akan bermimpi buruk seperti itu.
            “Kau mimpi?”
            Hani meraup wajahnya. Mimpi ngeri itu benar-benar mengganggu tidurnya.
            “Pergi bersiap cepat. Lepas ni kita nak pergi makan.”
            Hani terdiam seketika. Syasya sudah berlalu keluar dari bilik. Hani menarik nafas dalam-dalam  dan menghembusnya keluar. Bayangan Fahmi melekat di ingatannya. Kenapa dia mimpikan Fahmi? Adakah Fahmi sedang mengingatinya? Namun, apabila mengingatkan Tuah Iskandar, nafas Hani jadi sesak tiba-tiba. Adakah Tuah Iskandar akan datang untuk membalas dendam?
            Hani tiba-tiba menggigil.
                                                                        **********
            Hani memandang ke kiri, kemudian ke kanan. Terhendap-hendap bagaikan seorang pencuri yang sedang melarikan diri daripada polis. Sekejap dia berjalan laju, sekejap dia memperlahankan langkahnya. Langkahnya terasa sumbang. Semuanya serba tak kena.
            Sampai sahaja di mana-mana simpang, dia akan menyorok di belakang Julia mahupun Syasya. Dia takut terserempak dengan Tuah Iskandar. Dia takut kalau-kalau pemuda itu akan teringat kes perlanggaran apabila terserempak dengan dia nanti.
            Sudah dua hari dia berkelakuan begini. Sudah macam orang tidak siuman. Macam orang tidak betul saja. Tapi nasibnya baik sebab selama dua hari ini dia tidak tertembung dengan Tuah Iskandar. Terlihat dari jauh pun tidak. Mungkin Tuah Iskandar sudah melupakan itu semua.
            Kadang-kadang dia rasa dia yang melebih-lebih. Dia yang gedik sangat merasakan Tuah Iskandar berdendam dengannya walhal entah ingat entah tidak pemuda itu akan dirinya. Entah-entah memang tidak terlintas langsung di fikiran Tuah Iskandar akan perlanggaran tempohari. Entah-entah semua itu tidak penting langsung bagi pemuda itu untuk mengingatinya. Jadi, kenapa dia pula yang beriya-iya bersembunyi? Kenapa dia pula yang bersungguh-sungguh melarikan diri daripada pemuda itu?
            Memang perasan sungguh!
            “Ops!”
            Dalam berkhayal-khayal, Hani tersondol belakang Syasya. Entah bila pula Syasya berhenti dia tidak sedar pula.
            “Woi, kau ni apasal? Tak nampak aku kat depan ni?” tanya Syasya persis seorang ibu tiri yang sedang memarahi anak tirinya. Siap bercekak pinggang lagi dengan mata dibulatkan. Syasya memang ada tokoh jadi ibu tiri!
            “Yang kau berhenti mengejut tu apasal?” balas Hani pula. Sengaja mencari salah Syasya agar tingkah lakunya yang pelik tidaklah begitu ketara sangat.
            “Yang kau jalan kat belakang kita orang daripada tadi kenapa? “ Syasya buat muka tidak puas hati. Sudahlah dia disondol, dia pula yang disalahkan. Tidak adil langsung!
            “Erk..kaki aku ni sakit sikit. Tu yang aku jalan lambat,” sekali lagi alasan yang entah apa-apa dicipta Hani. Mana mungkin dia beritahu perkara sebenar kepada rakan-rakannya. Mahu ditertawakannya nanti oleh Julia dan Syasya.
            Bantai sajalah. Takkan nak cakap aku bersembunyi dari Tuah Iskandar? Sungguh tidak logik bunyinya!
            Syasya hanya mengeluh kecil. Kemudian, mereka meneruskan perjalanan menuju ke kafeteria. Kali ini Hani sudah berjalan seiring dengan Syasya dan Julia cuma matanya sahaja masih melingas merata-rata. Takut terserempak dengan orang yang paling ingin dielak.
            Sampai saja di kafeteria, Hani terus duduk sambil menghembus nafas lega. Lega kerana hari ini dia tidak terserempak dengan Tuah Iskandar. Tetapi, sampai bila dia harus berkelakuan sebegini? Sampai bila dia harus menyembunyikan diri? Sampai Tuah Iskandar melupakan semuanya? Tetapi bagaimana dia nak tahu yang pemuda itu sudah melupakan insiden antara mereka?
            Tiba-tiba Hani tersenyum sendiri apabila mengingati apa yang berlaku. Terasa dirinya seperti orang gila sehingga sampai begitu sekali dia takutkan Tuah Iskandar. Memang tak betul!
            “Woi,”
            Terkejut Hani apabila dirinya disergah. Segera dia menumpukan perhatian pada Julia yang sedang merenung tajam ke arahnya.
            “Kenapa?” Hani terpinga-pinga seketika.
            “Hani, kau ni kenapa ye?”
            “Kenapa apa?”
            “Sejak kebelakangan ni, aku tengok kau macam orang tak betul saje. Sekejap masam, sekejap termenung, sekejap senyum sorang-sorang. Dah macam orang gila tahu tak?”
            Hani terdiam. Seketika dia berfikir. Apa lagi alasan yang dia nak cipta ni?
            “Entah-entah kau ni ada sejarah gila tak?”
            “Isy! Sampai hati kau kata aku macam tu Ju,”
            Julia tertawa.
            “Aku gurau sajalah,”
            Hani memasamkan muka. Moga dengan pura-pura merajuk, Julia tidak lagi bertanyakan hal berkaitan kelakuan peliknya. Ternyata sukar untuk dia menjawab apabila soalan sebegitu di tujukan kepadanya.
            “Eh, jom kita pergi beli makanan. Aku dah lapar sangat ni,” ajak Syasya seraya bangun dari duduknya.
            Fuh! Selamat. Tiada lagi topik tentang dirinya di perbualkan.
            Hani sekadar mengambil sedikit saja nasi beserta lauk sayur bayam, sambal belacan dan sekali lagi kerang rebus. Fuh! Kecur air liur dia apabila melihat kerang rebus yang bergolek-golek minta di makan. Hani tersenyum sendiri.
            Selesai saja membayar harga makanan, Hani terus berjalan mendapatkan Julia dan Syasya yang sudahpun menanti di meja makan. Kelihatan Syasya sudah ternganga menjamah makanan. Tidak sabar sungguh!
            Tiba-tiba langkah Hani terhenti. Dia seperti merasakan satu keanehan tiba-tiba wujud. Terasa ada mata yang sedang memerhatikan dirinya. Segera dia menoleh ke arah meja yang berada di hadapannya, tidak jauh dari tempat dia berdiri. Jantungnya terasa bagaikan berhenti berdenyut. Darahnya terasa tidak mahu mengalir. Mukanya terasa pucat.
            Tuah Iskandar!
            Pemuda itu merenung tajam ke arahnya. Renungan itu menikam ke dalam anak matanya dan terus menusuk ke jantung. Dan jantung kembali bergerak laju mengepam darah ke seluruh tubuh badannya menjadikan dia rasa panas, seperti ingin demam.
            Tubuhnya tiba-tiba menggeletar. Dengan perasaan bercampur baur, Hani terus melangkah. Langkah yang longlai dan tidak bermaya.     
            Dan pandangan Tuah Iskandar terus menerus menikam ke jantungnya.

4 comments:

aisyah said...

amboi smpi ngigau2...tuah ingat ko hani..abis

ezi said...

aisyah..haha..

Zakiah Halim said...

sampai ngigau dibuatnya... adehh la hani...

Nurul Johari said...

sian nye haniii,... ok next