Salam pembaca blog saya..Kali ini entry saya berbeza dengan yang sebelumnya. Apa bezanya? Hehe..saya nak letakkan karya saya yang berikutnya untuk pembaca-pembaca novel sekalian. Sambil membaca bolehlah berikan komen yang membina. Harap anda semua sudilah menjengok2 blog ini untuk sekian kalinya sebab saya akan update cerita ini dari bab ke bab...
Ok..selamat membaca..:)
KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 1)
BAB
1
Skrin telefon bimbit miliknya
dipandang lama. Hatinya dipagut sayu. Berkali-kali mesej yang tersimpan di
dalam peti inbox nya dibaca. Malah,
bagaikan sudah dihafal satu demi satu perkataan yang terkandung di dalam mesej
ringkas itu. Meskipun mesej itu bagaikan sudah sebati dalam mindanya namun
hatinya tetap tersentuh setiap kali membacanya.
Dua bulan sudah berlalu. Selama dua
bulan jugalah mesej itu masih setia menetap dalam peti inbox telefon bimbitnya. Tetapi entah kenapa dia masih tidak mahu
untuk memadamkan mesej yang mengguris hati perempuannya. Mungkin kerana dia
mahu mengingatkan dirinya sendiri. Mungkin dia mahu diri sendiri menerima
hakikat. Hakikat yang hubungan antara dia dan Fahmi sudahpun berakhir.
Sampai hati Fahmi meninggalkan dia
di saat-saat akhir persekolahan. Ketika rakan-rakan lain sedang bergembira
meraikan kertas terakhir peperiksaan SPM, dia menerima pesanan ringkas dari
kekasih hatinya. Sangkanya Fahmi ingin meraikan kegembiraan ini bersama saat
terpandang mesej Fahmi yang masuk tetapi...
Dia mencari Fahmi. Mencari pemuda
itu di merata-rata tempat namun Fahmi pergi meninggalkannya. Tanpa sebaris
kata, tanpa sebarang pesanan...pemuda itu terus menghilangkan diri.
Tergamak Fahmi meninggalkannya tanpa
sebab. Tergamak Fahmi membuatkan dia tertanya-tanya tanpa jawapan. Apakah
sebabnya Fahmi ingin memutuskan hubungan mereka? Apakah kesalahan yang dia
lakukan sehingga Fahmi tidak mahu bersemuka dengannya walaupun untuk
mengucapkan selamat tinggal? Benci benarkah Fahmi dengan dirinya?
Tetapi..kenapa? Kenapa?
Namun, persoalan yang kerap menerjah
mindanya terjawab seminggu sebelum dia melanjutkan pelajaran ke Kolej Putra di
dalam jurusan perubatan. Dia bertembung dengan Fahmi di bandar bersama seorang
gadis di sisi pemuda itu. Begitu mesra berjalan bersama sambil berpimpin
tangan. Gelak tawa serta kebahagiaan terpancar di wajah keduanya.
Oh Tuhan. Dia tidak kuat menghadapi
situasi itu. Balik saja dari bandar, air matanya turun mencurah-curah. Dia cuba
untuk menjadi seorang gadis yang kuat namun sayangnya terhadap Fahmi membuatkan
dia lemah. Lemah hati dan perasaan.
Berkali-kali dia menasihati diri
sendiri. Mengapa perlu dia menangis untuk lelaki yang telah melukai hatinya?
Mengapa perlu bersedih untuk orang yang sudah membuat dia menderita?
Mengapa perlu mengharapkan kasih pada
yang tak sudi?
Namun, dia tidak mampu untuk
menidakkan rasa sedih itu. Dia tidak mampu menepis rasa kecewa yang bertandang.
Ternyata dia masih bersedih untuk lelaki yang telah membuat dia menderita.
Malah, dia masih mengharapkan agar Fahmi kembali, menyinari hubungan mereka
seperti dulu. Dia masih menanti pemuda itu kembali kepadanya.
Tetapi…semuanya sudah berakhir.
Fahmi sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Fahmi sudah ada pilihan hatinya
sendiri. Dan dia..
Dia tidak sepatutnya mengharapkan
lagi pemuda itu.
Pantas dia meletakkan telefon
bimbitnya di tepi katil. Matanya dipejamkan. Terasa air hangat mengalir, jatuh
membasahi pipinya. Ternyata perpisahan itu masih lagi terasa kesakitannya.
**********
“Hani!”
Hani tersentak apabila tangannya disiku.
Segera dia berpaling. Kelihatan Julia yang berada di sebelahnya merenung tajam
ke arahnya. Dia tidak pasti kenapa Julia berwajah begitu. Segera dia menoleh
pula ke arah Syasya yang duduk berhadapan dengannya dan kemudian mengangkat
kening tanda bertanya. Syasya tidak menjawab. Hanya senyuman yang menghiasi wajah
manis gadis itu.
“Kenapa?” tanya Hani sambil
pandangannya di halakan ke arah Julia.
“Kenapa apa?’ soal Julia kembali.
Pura-pura tidak tahu.
“Kenapa kau pandang aku lain macam
saja?” tanya Hani lagi.
Julia mengeluh.
“Kau buat apa tadi?” soal Julia
tanpa menjawab soalan Hani.
“Study,”
jawab Hani ringkas.
“Kalau study, tak mungkin kau tak dengar aku panggil kau. Kau tahu tak dah
dekat sepuluh kali aku panggil. Itu belum kira Syasya yang panggil. Nasib baik
kita kat perpustakaan. Kalau tidak, dah lama aku jerit nama kau kuat-kuat
sambil bagi penumbuk sebiji,” bebel Julia panjang lebar.
Hani terdiam seketika. Julia dan
Syasya memanggil namanya? Tak dengar pun!
“Berangan lagilah tu,” sindir Syasya
pula.
“Tak..aku..aku..”
Erk..nak bagi alasan apa pula ni?
Takkan aku nak kata aku study maut
sampai tak dengar panggilan dia orang yang jaraknya tak sampai sekaki? Dan..tak
mungkin aku akan memberitahu perkara sebenar. Aku sedang memikirkan tentang
Fahmi. Insan yang telah memberikan aku kegembiraan dan insan itu jugalah yang
memberi aku penderitaan. Aku sedang mengimbas kenangan manis antara kami.
Sungguh! Bukan mudah untuk melupakan pemuda itu.
“Hello!” Julia menjentik jarinya di
hadapan muka Hani menyebabkan sekali lagi lamunannya terbang dibawa dek angin.
“Sudahlah tu Julia. Jomlah kita
pergi lunch. Kalau nak tunggu minah
seorang ni, sampai petang pun kita tak makan nanti,” kata Syasya sambil bangun
dari kerusinya.
Julia menuruti jejak Syasya,
menyusun buku-buku yang bersepah di atas meja lalu terus bergerak.
“Eh geng, tunggulah aku,” dengan
kelam kabut, Hani terus saja mengambil buku-buku miliknya lalu melangkah
mengekori Syasya dan Julia dari belakang.
Beberapa meter keluar dari
perpustakaan, Hani berhenti sambil menepuk dahinya. Julia dan Syasya berpandangan
sesama sendiri.
“Kenapa?” tanya Syasya apabila
melihat perilaku Hani yang seakan-akan blur hari itu.
“Ini semua kau orang berdua punya
pasal,” bebel Hani.
“Kenapa? Apa yang kita orang dah
buat?”
“Pasal kau orang cepat sangat nak
pergi lunch, aku terlupa nak
pulangkan buku ni. Sudahlah hari ini tarikh akhir pemulangan buku ni,” rungut
Hani sambil menunjukkan buku rujukan Patologi yang setebal hampir seribu
mukasurat itu.
Julia mengeluh. Sudahlah perutnya
terasa lapar. Ada juga yang melengah-lengahkan sesi mengisi perut ini.
“Macam nilah. Kau orang berdua pergi
makan dulu. Nanti aku datang. Kalau boleh ambilkan nasi aku sekali. Lauk
apa-apa saja. Tapi kalau ada kerang rebus, ambil banyak sikit ya,” pesan Hani sambil
tersenyum-senyum.
“Okaylah. Kalau macam tu, kita orang
pergi dulu. Cepat sikit. Kalau lambat, aku baham semua kerang rebus kau tu,”
sahut Syasya dengan wajah yang selamba.
Hani cepat-cepat melangkah kembali
menuju ke perpustakaan. Sebaik sahaja selesai memulangkan buku rujukan tersebut,
dia segera menuju ke kafeteria. Namun, tiba-tiba langkahnya menjadi perlahan.
Perutnya yang tadi berbunyi minta diisi, seakan sudah terhenti iramanya.
Hatinya tiba-tiba dipagut hiba. Sekali lagi dia teringatkan Fahmi.
Ah! Bukan mudah untuk melupakan
segala kenangan indah bersama Fahmi. Bukan dia tidak berusaha. Bukan dia tidak
mencuba, tetapi semakin dia mencuba, kenangan itu semakin mendekati dan terus
memaksa dia untuk memikirkan pemuda itu.
Apa yang Fahmi sedang buat sekarang?
Bahagiakah Fahmi dengan gadis
pilihannya itu?
Masih ingatkah Fahmi akan dirinya?
Masih adakah sisa rindu Fahmi akan
dirinya saat ini?
Oh Tuhan! Berikanlah aku kekuatan
untuk menghadapi semua ini.
Langkah Hani terhenti. Dia
memejamkan mata. Cuba mengawal air mata dari terus tumpah. Dia menarik nafas
dalam-dalam dan tiba-tiba..
“Ops!”
Hani terjatuh apabila tubuhnya
dilanggar. Habis berterabur buku yang dipegangnya. Seketika dia mengaduh sakit.
Beberapa saat kemudian, dia bangun sambil menepuk-nepuk tangannya yang berdebu.
Wajah pemuda di hadapannya itu
direnung. Pemuda yang melanggarnya itu hanya diam. Sepatah pun tidak bersuara
apatah lagi untuk memohon maaf.
Huh! Sudahlah langgar orang. Tak
minta maaf langsung. Lepas tu tunjuk muka sombong pulak. Macamlah aku pula yang
bersalah dalam hal ni. Bisik Hani dalam
hati.
Keadaan sepi seketika. Tiada
tanda-tanda pemuda itu ingin memohon maaf. Jadi, Hani segera memulakan bicara.
Malas dia untuk melayan kerenah pemuda sombong itu.
“Kalau awak tak nak minta maaf tak
mengapalah. Tapi, saya dah maafkan awak,” ujar Hani selamba lalu melangkah
pergi dari situ.
Harap muka saja hensem tapi perangai…
**********
“Kenapa lambat?” tanya Julia sebaik
saja Hani menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya.
“Komputer buat hal masa aku nak
pulangkan buku tadi,” dalih Hani. Malas dia nak bercerita tentang pemuda
sombong itu. Nanti banyak pula yang Syasya dan Julia tanyakan. Lagipun, bukan
penting pun!
“Ni, kerang rebus kau. Nasib baik
cepat, kalau tak kau boleh makan kulit sajalah,” ujar Syasya sambil menyedut
air sirap kegemarannya.
Terliur Hani melihat kerang rebus di
hadapannya. Memang kerang rebus merupakan salah satu makanan kegemarannya.
Kalau hari-hari makan kerang rebus pun dia tidak kisah.
Hani segera menikmati makanan di
hadapannya. Nasi putih berlaukkan kerang rebus, sayur kangkung goreng, ikan
masak sambal membangkitkan seleranya. Laju saja dia menikmati makanan sambil
mendengar perbualan dua sahabat yang duduk bertentangan dengannya.
“Kau pun tahu pasal dia?” tanya
Syasya kepada Julia.
“Mestilah aku tahu. Semua orang kat
sini tahu pasal dia,” sahut Julia.
“Wah, dia memang betul-betul glamor.
Dahlah hensem, kaya pula tu,”
“Hmm, untunglah siapa perempuan yang
dapat jadi makwe dia,”
Perbualan Julia dan Syasya menarik
minat Hani. Siapa yang di maksudkan oleh rakan-rakannya itu? Siapa yang di
katakan glamor, kacak dan kaya itu? Kenapa
dia boleh ketinggalan ini? Syasya dan Julia ini pun satu. Bercerita berdua
saja. Bagaikan dirinya tidak wujud di situ. Tidak adil langsung!
“Kalaulah aku dapat jadi makwe dia..wah,
bestnya,” kelihatan Syasya sedang berkhayal dapat mendampingi putera idaman.
Matanya dipejam dengan tangannya digenggam erat. Fuh! Berangan.
“Sya, kau jangan mimpilah. Tak ada
orang yang berani nak dekat dengan dia apatah lagi nak jadi awek dia,”
kata-kata Julia mematikan angan-angan Syasya. Terasa istana yang di impikan
sudah hancur berkecai.
“Tapi…kalau tak cuba tak tahu kan?” duga
Syasya.
“Kau berani?” Julia cuba mencabar.
Soalan Julia membuatkan Syasya
terdiam. Berkerut-kerut dahi Syasya memikirkan jawapan yang harus diberikan
untuk soalan Julia. Jawapan yang mudah. Ya atau tidak. Tapi, itupun Syasya tak
mampu jawab. Dan di kesempatan itu, Hani
mencelah.
“Nanti..nanti..nanti..korang cerita
pasal siapa ni ha?” tanya Hani ingin tahu siapa lelaki yang dipuja-puja Syasya
dan Julia itu.
“Kau tak tahu?” tanya Syasya sambil
merenung tepat ke arah Hani.
“Kau tak cakap manalah aku tahu,”
“Tuah Iskandar,” ujar Syasya separa
berbisik.
“Tuah Iskandar?”
“Syyyyyyhhh,” Syasya meletakkan
jarinya ke bibirnya menunjukkan isyarat agar suara di perlahankan apabila
menyebut nama pemuda itu. Kemudian, Syasya memandang ke kiri dan kemudian ke
kanan. Hani turut berbuat demikian. Nasib baik tiada mata yang memerhati ke arah
mereka. Tetapi..apa yang tidak kena dengan nama itu sehinggakan Julia dan
Syasya takut perbualan mereka di dengari orang?
Hani mengerutkan dahinya. Kenapa tak
boleh sebut kuat-kuat nama pemuda itu? Bahaya sangatkah kalau di dengari orang?
“Ya, Tuah Iskandar. Kau tak pernah
dengar?” tanya Syasya lagi.
Pantas Hani menggelengkan kepala.
“Kau ni slow lah, Hani. Orang yang paling glamor kat kolej kita ni pun kau
tak kenal,” ujar Julia.
“Manalah aku tahu. Aku ke hulu ke
hilir dengan korang berdua saje. Kalau korang tak cerita, manalah aku nak
tahu,”
“Hani, aku pun berkawan dengan
korang berdua juga tapi aku taklah ketinggalan zaman dalam bab-bab macam ini,”
Hani mencebik. Adakah kerana tidak mengenali
lelaki yang bernama Tuah Iskandar itu di anggap ketinggalan zaman? Tak masuk
akal langsung!
“Okay..okay..Apa hebat sangat tentang
Tuah Iskandar tu?” tanya Hani sambil memperlahankan suaranya apabila menyebut
nama Tuah Iskandar.
“Dia pelajar senior tahun akhir
jurusan pengurusan perniagaan. Anak orang kaya. Hensem pula tu. Rupa dia
ala-ala Farid Kamil sedikit. Aku rasa, dalam kolej ni, dialah lelaki yang
paling hensem sekali,” ujar Julia sambil mengerdip-ngerdipkan matanya. Gedik
sungguh!
“Dia tu memang glamor kat kolej ni.
Ramai student perempuan minat kat
dia,” celah Syasya pula. Nampaknya kedua sahabatnya itu berlumba-lumba
menceritakan tentang Tuah Iskandar. Glamor sungguh Tuah Iskandar itu.
“Kau orang pernah tengok dia ke?”
“Pernah, tapi mampu tengok dari jauh
aje,”
“Mampu pandang dari jauh? Maksud
kau,”
“Walaupun dia hensem, kacak, glamor…tapi
tak seorang pun berani tegur dia. Baik lelaki mahupun perempuan, semua tak
berani nak bertegur sapa dengan dia,”
“Kenapa?”
“Sebab, dia tu gangster,”
“Gangster?”
“Syyyhhh”
Kelam kabut Julia dan Syasya
mengawal keadaan apabila suara Hani melepasi tahap yang sepatutnya. Bimbang
perbualan mereka di dengari apatah lagi yang melibatkan Tuah Iskandar.
“Kolej kita ada gangster?” tiba-tiba
bulu roma Hani berdiri tegak. Teringat dia akan filem KL gangster, Evolusi KL
drift dan pelbagai filem-filem gangster yang ada di pawagam. Huh! Semuanya
ganas-ganas. Siap dengan pistol, pisau, parang..
“Dengar cerita, Tuah Iskandar ada
geng-geng motor kat luar kolej. Sebab tu budak-budak tak berani nak dekat
dengan dia. Budak-budak perempuan yang suka dia, hanya mampu pandang dari jauh sajelah,”
“Pernah sekali seorang budak kolej
kena pukul dengan geng-geng Tuah Iskandar. Semua berpunca apabila budak tu
terlanggar motor Tuah Iskandar. Masa tu budak tu tak tahu siapa Tuah Iskandar.
Jadi, budak tu mengamuk marahkan Tuah Iskandar. Malam itu juga budak tu kena
pukul sampai masuk hospital,”
Bulat mata Hani mendengar cerita
Syasya. Sampai begitu sekali?
“Pendek kata, kalau nak selamat
jangan ada kaitan langsung dengan Tuah Iskandar,”
Hani mengeluh. Minta di jauhkan dari
semua itu. Kalau boleh, mengenali Tuah Iskandar pun dia tidak mahu. Takut pula
dia apabila mendengar cerita Julia dan Syasya. Gangster? Siapa yang tidak
takut? Lebih-lebih lagi perempuan seperti dia. Penakut dan tidak kuat semangat.
Kalau jumpa Tuah Iskandar, pasti dia akan buka langkah seribu.
Tiba-tiba Hani mengerutkan dahinya.
Matanya tajam memandang ke arah Julia dan Syasya. Julia mengangkat kening tanda
bertanya kenapa Hani buat muka macam tak puas hati.
“Dah tahu dia tu teruk, kenapa masih
nak suka lagi?”
“Sebab dia tu hensem sangat,”
Hani mengeluh kecil. Hanya kerana
hensem saja? Tak masuk akal! Memang Julia dan Syasya sudah tidak betul.
“Wei..kau orang..” Julia tiba-tiba
bersuara. Perlahan separuh berbisik.
“Kenapa?” tanya Hani acuh tak acuh.
“Itu, Tuah Iskandar,”
Hani pantas menoleh ke belakang
namun cepat-cepat Julia menegah.
“Kenapa?”
“Janganlah nampak sangat kau nak
pandang dia. Cover lah sikit,”
“Tak boleh ke?”
“Kalau dia perasan, teruk kita
nanti,”
Hani mencebik. Nak pandang pun kena
sembunyi-sembunyi. Gangster besar betul ni! Namun, Hani ikutkan juga nasihat
Julia. Untuk keselamatan, apa salahnya. Tak kena bayar pun. Hani curi-curi
pandang ke belakang. Ingin sekali melihat wajah pemuda yang di katakan glamor
dan kacak di kolej itu.
“Dia…yang tengah-tengah tu,” bisik
Julia perlahan.
Dan saat matanya melihat pemuda itu,
jantungnya berdegup kencang.
Diakah Tuah Iskandar?
5 comments:
oh no..mesti org yg ko langgar tu kan hani..abis...
aisyah..hehe..tau2 saje..:)
ooppsss... terlanggar sudah tadi...
hep... ape sudh jdi ni..berdebar2.. ok next
Good ;)
Post a Comment