KERANA AKU SAYANG KAU (BAB 16)
BAB
16
Pagi-pagi lagi Hani dah nampak Tuah Iskandar
di kafeteria. Seperti biasa mereka saling curi-curi pandang. Entah kenapa
dengan hanya pandangan yang tanpa sebarang komunikasi lisan sudah membuatkan
hati Hani berbunga-bunga. Walaupun Tuah Iskandar tidak langsung mempamerkan
senyuman, namun renungan matanya seakan-akan ada kuasa yang membuatkan dia seperti
di awang-awangan.
Sewaktu melintasi Tuah Iskandar,
Hani sempat melirik ke arah pemuda itu. Bau harum minyak wangi yang dipakai
Tuah Iskandar menusuk masuk ke rongga hidungnya. Dadanya tiba-tiba bergetar.
Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Nafasnya bergerak laju menyeimbangi
kelajuan degupan jantungnya. Semuanya serba tidak kena.
Mesej pesanan ringkas di terima saat
dia baru saja duduk untuk menikmati makanan. Terus saja dia mengambil telefon
bimbitnya dari dalam beg yang baru diletakkan di kerusi kosong di sebelahnya.
Selamat
Menjamu Selera.
Tersenyum-sentum dia membaca mesej
ringkas dari Tuah Iskandar. Meskipun mesej yang serba ringkas namun cukup
bermakna buat Hani. Pantas dia membalas.
Terima
kasih. Selamat menjamu selera juga untuk awak.
Senyuman tidak lekang di bibirnya.
Tiba-tiba dia rasa seperti ada satu perasaan yang melanda dirinya. Perasaan
bahagia disayangi. Perasaan bahagia apabila ada orang mengambil berat akan
dirinya. Dan di saat ini, Hani sepeti sudah mengakui yang dirinya sudah di lamun
cinta. Dia benar-benar yakin yang dia sudah jatuh cinta dengan Tuah Iskandar.
Perasaan ini tersangat aneh tetapi
aku benar-benar menyukai keanehan ini.
Seketika Hani bagaikan di awang-awangan.
Bermimpikan dia sedang berjalan berduaan dengan Tuah Iskandar. Memandang
bintang di langit di waktu malam di atas bukit. Bintang yang berkelipan terasa
indah seindah hatinya yang sedang di lamun cinta.
“Woi Hani,”
Bintang-bintang yang berkelipan
serta-merta hilang saat suara Julia menerjah gegendang telinganya.
“Sibuk betullah si Julia ni. Aku
baru nak berangan, potong line
betul,” rungut Hani.
“Siapa mesej tadi?” tanya Julia
sambil mengangkat sebelah keningnya.
“Kenapa?”
Adakah Julia sedang mengesan
sesuatu?
“Yalah. Dapat mesej terus tersengih-sengih
macam kerang busuk,”
“Oh, mak aku yang mesej,”
“Mak mesej sampai senyum-senyum?”
“Mak aku buat lawak pula. Ada ke
patut dia suruh aku carikan dia menantu,”
Aduh! Sampai ke situ pula dia
memberi alasan. Hentam sajalah. Hanya itu yang spontan keluar dari mindanya.
“Ha, eloklah tu. Menantu dah ada,
tapi tak nampak muka dia. Secret admirer lah
katakan,”
Hani tersengih.
Menantu mak? Tuah Iskandar? Isy, gatal betul aku ni. Ada ke sampai bab
kahwin-kahwin aku fikirkan? Belajar pun tak habis, ada hati nak kahwin. Tak
senonoh betul aku ni.
Hani menggeleng sendiri dan kemudian terus memberi tumpuan pada makanan
yang sudah sejuk di hadapannya. Seketika dia melirik ke arah Tuah Iskandar.
Kelihatan tempat yang diduduki Tuah Iskandar sudah kosong.
Huh! Jauhnya dia berkhayal.
**********
Suasana di dalam restoran itu begitu menenangkan. Jauh dari kebisingan
dan kesibukan kota, sepadan dengan status restoran yang bertaraf lima bintang
itu. Keadaan sekitarnya yang damai di tambah dengan hiasan dalaman yang sangat
menarik menjadikan restoran itu di gemari golongan elit di ibu kota.
Di satu sudut, kelihatan dua orang lelaki sedang duduk bertentangan.
Kelihatan wajah lelaki yang lebih muda itu begitu tegang manakala lelaki yang
agak berusia itu kelihatan tenang saja. Buat beberapa ketika, masing-masing
hanya berdiam diri sehinggalah minuman yang dipesan sampai ke meja.
“Terima kasih kerana sudi keluar dengan papa,” ujar Dato’ Hasyim
memulakan bicara pertemuan anak beranak itu.
Tuah Iskandar tidak menjawab. Sebaliknya dia memilih untuk berdiam diri,
mendengar saja penjelasan daripada papanya itu.
“Papa tahu Tuah marah. Papa tahu
Tuah kecewa dengan apa yang berlaku. Tapi papa tak seperti yang Tuah fikirkan,”
“Apa yang Tuah fikirkan?”
“Papa tahu dalam hati Tuah akan mengatakan papa curang, papa duakan
mama,”
“Jadi, adakah dengan berkahwin lain tu bukan curang? Bukan menduakan
mama?”
“Ya, papa tahu. Tapi pernah tak Tuah fikirkan kenapa papa lakukan semua
ni?”
Tuah Iskandar mendiamkan diri. Wajah Hani serta merta terlintas di
fikirannya. Hani berkata pasti ada sebab kenapa papa melakukan semua ini dan
sekarang ini, papa ingin menjelaskannya. Perlukah dia mendengar? Jujurkah papa
atau papa sengaja mereka sebuah cerita bagi memancing simpatinya?
“Papa kenal dengan Zanariah lima tahun yang lalu. Zanariah seorang
perempuan yang baik. Dia seorang yang sopan santun dan baik budi pekerti.
Selepas mengenali hati budinya, papa mengambil keputusan untuk berkahwin
dengannya,”
“Tanpa pengetahuan mama? Tanpa pengetahuan Tuah?”
“Ya kerana papa takut Tuah tak boleh terima semua ini. Kerana papa takut
mama akan berang dengan apa yang berlaku. Papa tak mahu itu semua berlaku,”
“Itu semua alasan papakan? Yang sebenarnya papa memang nak kahwin lagi.
Papa tak sayangkan mama kan?”
Dato’ Hasyim menggeleng beberapa kali. Sedih sungguh dia atas tuduhan
anak tunggalnya itu tetapi dia tidak pernah menyalahkan Tuah Iskandar. Tuah
Iskandar tidak mengerti apa-apa. Tuah Iskandar tidak tahu apa yang berlaku di
dalam rumah tangganya.
Dia harus menceritakan semuanya. Bukan untuk memburuk-burukkan sesiapa
tetapi dia ingin Tuah Iskandar faham kenapa dia melakukan semua ini.
“Tuah, berkahwin dengan Zanariah membuatkan papa terasa dihormati sebagai
seorang suami,”
Tuah Iskandar mengerutkan dahinya. Dihormati sebagai seorang suami? Apa
maksud papanya itu?
“Dua puluh tahun hidup dengan mama, kami hanya bahagia di awal
perkahwinan. Namun, selepas kamu dilahirkan, segalanya berubah,”
“Apa yang berubah?”
“Mama sering mengungkit di mana datangnya kekayaan yang kita perolehi.
Papa tahu, semua yang kita ada sekarang ini adalah hasil daripada keluarga
mama. Papa hanya orang biasa. Datuk Minhat, ayah mama kamu yang ambil papa
bekerja di syarikatnya kerana papa adalah bakal menantunya. Dia mahu papa berjaya
dan seterusnya menjaga anak perempuan tunggal keluarga itu,” Dato’ Hasyim
berhenti seketika. Wajahnya muram sahaja tatkala dia menceritakan kebenaran.
Kemudian dia menyambung.
“Papa cuba melakukan yang terbaik sehingga papa di naikkan pangkat dan berjaya
menerajui syarikat hingga berjaya ke hari ini tetapi, mama kamu selalu
mengungkit tentang harta. Mama kamu selalu mencari kesalahan papa. Mama kamu
selalu marah-marah papa sehinggakan papa rasa tidak aman di rumah itu. Papa
tidak dapat rasa lagi perasaan kasih sayang sebagaimana di awal perkahwinan
kami. Papa juga tidak rasa dihormati sebagai seorang suami. Namun, kerana kamu,
papa teruskan hidup dengan mama kamu.”
“Bukan itu saja, mama kamu selalu merendah-rendahkan papa di hadapan
rakan-rakannya. Mama kata papa orang miskin. Mama kata harta papa semua adalah
harta keluarganya. Dan paling menyedihkan, mama kata papa hidup adalah hasil
ihsan keluarga dia. Papa sangat sedih,”
“Bertemu Zanariah memberikan satu sinar dalam hidup papa. Bersama
Zanariah membuatkan papa terasa hidup dalam satu keluarga yang cukup bahagia,”
Tuah Iskandar mendengar satu persatu penjelasan panjang lebar oleh
papanya. Perasaan marah pada awalnya perlahan-lahan bertukar menjadi simpati.
Sehingga begitu sekali kehidupan Dato’ Hasyim, lelaki korporat yang berjaya di
Malaysia ini? Selama ini dia tidak menduga begitu berat cabaran yang digalas
oleh papanya.
“Apa yang papa cuba sampaikan bukan untuk memburuk-burukkan mama. Papa cuma
nak Tuah tahu akan perkara sebenar. Papa dah cuba menjadi yang terbaik untuk
mama tetapi..”
Tuah Iskandar memejamkan matanya. Memang selama ini mama lebih
mendominasi papa. Selama ini mama lebih bersuara ke atas papa. Jadi, Tuah Iskandar
tidak merasa pelik apabila mendengar cerita papanya itu malah dia yakin ada kebenaran
di sebalik cerita Dato’ Hasyim itu.
“Papa tak tahu apa yang Tuah fikirkan tetapi jika Tuah inginkan
keyakinan, pergilah bertemu dengan Zanariah dan Tuah akan tahu kenapa papa
terpikat dengannya,”
Kata-kata papa membuatkan dia mengerutkan dahinya. Bertemu dengan ibu
tirinya? Untuk apa? Untuk mengeruhkan lagi keadaan?
“Tuah, mungkin papa bersalah kerana merahsiakan hal ini dari pengetahuan
kamu. Ada sebab kenapa papa buat semua ini. Papa harap Tuah faham,”
Diam.
“Tuah, kita hidup hanya sekali dan papa hanya ingin bahagia. Papa ingin
gembira dan itulah yang papa rasa apabila bersama Zanariah tetapi tidak bersama
mama kamu,”
Tuah Iskandar menarik nafas panjang dan menghembus kasar. Entah apa
perasaannya sekarang ini dia tak pasti. Marah? Sedih? Kasihan?..Yang mana satu
perasaan yang lebih mendominasi kerana semuanya bercampur baur sehingga membuat
dia pening.
Dia mengeluh.
7 comments:
kesian nyer ayah tuah...harap2 tuah tak salahkan ayah dia 100%
best....
haila...bsr betul masalah papa tuah tu...mmg kesianlh...
Best!! Ade sambungan lagi?
Suka sngat cara tuah dgn hani bercinta secara diam2.rasa sweet sgt.:-)
alhamdulillah...terbuka jua pintu hati tuah utk mendengar penjelasan ayahnya kawin baru....
Next en3 plis?.ada lagi tak sambungann?? >_<
Post a Comment